Wednesday, May 9, 2018

Azhar Idrus yakin T'ganu tukar kerajaan negeri

Shakira Buang
Diterbitkan 9 Mei 2018, 2:31 petang


PRU14 | Penceramah terkenal, Azhar Idrus menyatakan keyakinannya bahawa akan berlaku perubahan pada pentadbiran kerajaan negeri Terengganu sebaik sahaja keputusan penuh pilihan raya umum (PRU) ke-14 diumumkan malam nanti.

“Saya rasa akan berlaku perubahan (pada PRU kali ini), insya-Allah dan perubahan itu sememangnya kita harapkan,” katanya ketika ditemui Malaysiakini.

Penceramah bertaraf selebriti yang popular dengan pendekatan jenaka dalam kuliah agamanya itu juga berkata PRU kali ini dilihat lebih teratur.

“Dan saya tengok keadaan keselamatan di sini yang terbaik kalau nak banding tahun-tahun lepas. Alhamdulillah, terbaik tahun ini,” katanya.

Azhar turut menyeru pengundi khususnya golongan muda untuk keluar mengundi bagi menunaikan tanggungjawab kepada negara.

“Bagi yang belum mengundi tu ingat petang ini (pusat pengundian) tutup jam 5 petang, jadi jam 4 petang paling akhir keluar rumah untuk tunaikan tanggungjawab.

“Raya ini lima tahun sekali, insya-Allah kita buat yang terbaik,” tambahnya.

Minggu lalu, Azhar membuat kemunculan dalam siri kempen PAS di Kuala Terengganu dan secara terbuka menyatakan sokongan terhadap parti Islam itu.

Baca: PAS pilihan terbaik untuk umat Islam

Terdahulu kehadiran penceramah terkenal itu di Sekolah Kebangsaan Ladang Gemilang 1 mencuri tumpuan ramai khususnya pengundi muda.

Azhar yang juga merupakan pengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang hadir ke sekolah terbabit bagi menunaikan tanggungjawabnya kepada negara.

Selain menjalankan tanggungjawab, kehadiran Azhar juga dikatakan dapat memberi semangat kepada orang ramai untuk mengundi.

Di kesempatan itu juga orang ramai yang hadir dilihat turut bergambar bersama beliau.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-