Sunday, May 20, 2018

Najib, Rosmah tiba di Pekan

FMT Reporters
May 20, 2018

Ini penampilan pertama Rosmah di khalayak ramai, selepas siasatan polis yang mengejutkan rakyat dengan rampasan wang tunai dan barang mewah bernilai berjuta ringgit.

Rosmah Mansor bersalam dengan penyokong di Pekan, penampilan pertamanya di khalayak ramai sejak pilihan raya 9 Mei lalu.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Pekan hari ini, kunjungan pertama ke kawasan Parlimen bekas perdana menteri itu sejak kekalahan mengejut Barisan Nasional pada 9 Mei lalu.

Najib berbaju biru tua, manakala Rosmah berbaju kurung bunga kuning dan selendang kuning.

Ia adalah penampilan pertama Rosmah di khalayak ramai sejak polis memulakan pemeriksaan di rumahnya di Taman Duta yang menyaksikan rampasan wang tunai dan barang mewah bernilai berjuta ringgit.

Mereka tiba di kediaman rasmi Seri Kenangan kira-kira 12.15 tengah hari, kira-kira 3 jam selepas meninggalkan Kuala Lumpur pagi tadi.

“Rakyat mahu saya balik,” kata Najib yang merupakan ahli Parlimen Pekan selama 4 dekad.

“Mereka mahu menunjukkan penghargaan mereka dan terus menyokong saya untuk semua perkara yang saya buat.

“Mereka mahu saya terus berkhidmat kepada mereka sebagai ahli Parlimen. Saya saya bersyukur pulang ke sini,” katanya kepada wartawan dalam siaran langsung Facebook oleh Sin Chew Daily, tetapi enggan menjawab soalan lain.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-