Saturday, May 12, 2018

PH berjaya dapat majoriti mudah 31 kerusi bentuk kerajaan negeri Perak

MUHAMAD TARMIZE MOHD. NOR
12 Mei 2018 2:15 PM

Ahmad Faizal Azumu dikerumuni pemberita sejurus selepas selesai menghadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi tujuan sembah maklum parti itu memperoleh majoriti mudah 31 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri Perak.

IPOH – Pakatan Harapan (PH) berjaya mendapatkan majoriti mudah 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bagi membentuk kerajaan di negeri itu.

Pengerusi PH Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, parti itu berjaya menubuhkan kerajaan selepas mendapat sokongan daripada dua wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN).

“Kita mendapat sokongan daripada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BN.

“Dijangkakan akan lebih ramai lagi ADUN menyertai PH selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan Istana Kinta di sini selepas menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini.

Difahamkan, dua ADUN daripada BN yang menyatakan sokongan kepada PH adalah ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Tambah Ahmad Faizal, majli Angkat Sumpah Menteri Besar Perak akan diadakan di Istana Iskandariah namun beliau masih belum menerima pengesahan daripada pihak Istana.

Ketika ditanya mengenai calon Menteri Besar, Ahmad Faizal berkata, calon untuk jawatan itu ditentukan Majlis Presiden PH.

“Saya tidak pasti berapa nama yang dicalonkan Majlis Presiden namun kami telah bersetuju memutuskan cadangan nama calon Menteri Besar itu kepada baginda,” jelasnya.

 - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-