Tuesday, May 22, 2018

Saya lari ke Washington, hampir mati, kata ketua baru SPRM

Faiz Zainudin
May 22, 2018

Shukri Abdull berkata beliau menerima ugutan dan tekanan daripada pihak pentadbiran sebelum ini.
VIDEO INSIDE
Shukri Abdull menceritakan pengalamannya 3 tahun lalu kepada wartawan di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA: Datuk Seri Shukri Abdull mendedahkan beliau terpaksa meninggalkan Malaysia kerana merasakan nyawanya terancam ketika mengetuai siasatan ke atas skandal kewangan berkaitan SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB, 3 tahun lalu.

“Pengalaman saya dalam kes SRC-1MDB amat menakutkan, saya hampir mati dalam kes ini. Saya takut nak balik ke sini,” kata ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru dilantik itu dalam sidang berita pertama beliau di sini.

Menurutnya, susulan pelbagai tekanan daripada kerajaan ketika itu, beliau memutuskan untuk melarikan diri ke Washington selepas mendapat tahu dia akan ditahan.

Beliau memberitahu orang-orang di sekelilingnya yang dia mahu ke Arab Saudi, dan menurut Shukri, orang Najib menunggunya di lapangan terbang di Jeddah.

Setibanya di Washington, dia merasakan dirinya diekori ejen Malaysia. Dia mendakwa perasaannya terbukti betul, lalu menghubungi polis New York untuk mendapatkan perlindungan.

Polis New York memberikan perlindungan selama 1 minggu kepadanya, termasuk 3 pengawal peribadi.

“Saya kembali ke Washington bila keadaan kembali reda. Saya terima khabar pegawai saya ditahan dan 2 pegawai kanan turut ditukarkan.

“Masa di Washington, saya menangis macam budak-budak. Saya rasa ‘very guilty’ sebab anak buah kena tukar.

“Kita (SPRM) hadapi tekanan cukup hebat. Saksi kami dilarikan. Saya sendiri diugut untuk dipecat, saya diminta untuk bercuti awal, bersara awal, dipinjamkan ke bahagian latihan,” kata Shukri.

Shukri berkata ekoran langkah tegas SPRM menyiasat perdana menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak, beliau dan bekas ketua SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed dituduh cuba menggulingkan kerajaan Barisan Nasional.

“Saya rasa sedih. Saya dan Abu Kassim dituduh pembelot untuk menjatuhkan kerajaan. Kami buat kerja bersunguh-sungguh untuk selamatkan negara dan membawa balik wang (1MDB) dari luar negara,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-