Thursday, May 31, 2018

Tabung Harapan Malaysia kutip RM7juta dalam satu hari

SITI AZIELAH WAHI
31 MEI 2018

Nik Shazarina menyerahkan replika cek kepada Guan Eng dalam membantu Tabung Harapan Malaysia
.
PUTRAJAYA - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan, sehingga jam 3 petang tadi, Tabung Harapan Malaysia (THM) mencatat kutipan lebih RM7 juta, selepas dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam.

Guan Eng berkata, jumlah kutipan tabung tersebut akan sentiasa dikemaskini setiap hari jam 3 petang melalui laman web Kementerian Kewangan.

"Kesemua wang sumbangan akan dipastikan disalur untuk mengurangkan hutang kerajaan persekutuan yang mencecah RM1trillion,"katanya.

Sementara itu, Guan Eng memaklumkan, kesemua penyumbang dalam THM akan mendapat faedah pengecualian cukai pendapatan.

"Simpan resit selepas membuat sumbangan dan kemukakan kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mendapatkan pengecualian cukai,"ujarnya.

Beliau turut memaklumkan, sumbangan kepada THM tidak terhad kepada individu malah boleh tabung berkenaan turut terbuka kepada syarikat yang juga boleh mendapat pengecualian cukai.

"Sekiranya ada syarikat ingin menyumbang RM15,000, maka syarikat itu akan mendapat pengecualian cukai sebanyak RM15,000, jelasnya.

Sementara itu, Guan Eng berkata, tiada nilai minimum dan maksimum terhadap nilai sumbangan dan ianya terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dalam Ringgit Malaysia (RM).

"Nilai derma tidak penting namun ianya merupakan 'nilai' kasih sayang dan semangat bersatu padu rakyat Malaysia.

Sementara itu menjawab mengenai persepsi segelintir masyarakat yang memberi tanggapan negatif terhadap tindakan kerajaan menubuhkan tabung tersebut, Guan Eng berkata, apa yang dilakukan rakyat sebagai tanda cintakan negara.

"Tindakan seperti ini (menubuhkan tabung), turut dilakukan dibeberapa negara seperti Korea Selatan namun ia menjejaskan ekonomi negara bahkan negara itu lebih maju berbanding Malaysia," katanya.

Sebelum itu, beliau menerima replika cek daripada seorang peguam Nik Shazarina Bakti yang memulakan usaha mengumpul dana untuk membantu Malaysia menyelesaikan hutang itu.

Sejumlah RM13,476.57 berjaya dikumpulkan dalam laman Go Get Funding bertajuk “Please Help Malaysia” yang diwujudkannya.

Rakyat Malaysia yang ingin menyumbang kepada Tabung Harapan Malaysia (THM) bagi menangani masalah hutang negara boleh menyalurkan sumbangan mereka menerusi akaun Maybank 5660-1062-6452.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-