Showing posts with label LHDN. Show all posts
Showing posts with label LHDN. Show all posts

Thursday, August 24, 2023

LHDN beku akaun bank Hamzah, keluarga

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 23, 2023 
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dilaporkan mengambil tindakan membekukan akaun bank milik seorang pemimpin pembangkang dan ahli keluarganya.

Sumber yang tahu berkenaan perkara itu mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa ahli politik tersebut adalah Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin.

Sumber itu juga berkata akaunnya dibekukan bermula hari ini.

Tindakan berkenaan dipercayai ada kaitan dengan siasatan berterusan Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ahli politik berkenaan.

Malaysiakini telah menghubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki untuk mendapatkan maklum balasnya berkenaan perkara ini.

'Sasaran politik'

Terdahulu hari ini, The Star memetik sumber yang tidak didedahkan berkata pembekuan akaun tersebut berlaku pada hari ini, namun laporan itu tidak menyatakan nama ahli politik itu secara khusus.

LHDN enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan menjelaskan hanya pihak yang terlibat boleh mengesahkan pembekuan akaun berkenaan.

Pun begitu beberapa "sumber yang rapat dengan pemimpin" terbabit memberitahu The Star tindakan yang diambil ke atas tokoh politik pembangkang berkenaan memang benar.

"Ya, ia berlaku tetapi dia (ahli politik berkenaan) tidak terganggu dengan langkah tersebut.

"Saya pasti dia ada alternatif lain, sebab itu dia tidak bimbang mengenai pembekukan akaun tersebut," dakwa sumber itu.

Sementara itu, Sinar Harian memetik sumber menyatakan ahli politik terbabit ialah Hamzah.

“Bukan sesuatu yang mengejutkan dan memang Hamzah menjadi sasaran politik,” kata sumber tersebut.

Pada Jun lalu Malaysiakini melaporkan pegawai LHDN menyerbu kediaman Hamzah di Kuala Lumpur dan sejumlah fail serta dokumen berkaitan akaun dan pemilikan asetnya dikatakan disita.

Awal bulan ini, Hamzah yang juga ketua pembangkang parlimen menghantar surat tuntutan kepada kerajaan dan Azam dengan menuduh mereka menyalahgunakan kuasa untuk mendakwanya atas jenayah yang tidak dilakukan.

[Baca laporan penuh]

Wednesday, February 15, 2023

Polis, Bank Negara dan LHDN turut siasat Kertas Pandora

malaysiakini.com
Raveena Nagotra
Diterbitkan: Feb 15, 2023 9:27 PM
Selain SPRM, Bank Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis turut menyiasat kandungan bocor melalui Kertas Pandora pada 2021.

Menteri undang-undang Azalina Othman Said berkata siasatan masih dijalankan dan memerlukan maklumat daripada pihak luar negara.

Dalam jawapan bertulis di parlimen hari ini, Azalina juga mengesahkan siasatan dibuat terhadap sesetengah individu yang dinamakan dalam Kertas Pandora.

Siasatan itu berkaitan isu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.
Azalina Othman Said
Azalina berkata demikian ketika menjawab soalan Fong Kui Lun (Pakatan Harapan-Bukit Bintang) samada kerajaan akan membuka semula siasatan terhadap kertas pandora.

Kertas Pandora merujuk kepada kebocoran maklumat kewangan dan rekod-rekod lain daripada 14 perkhidmatan luar persisir yang menubuh dan menguruskan syarikat cengkerang serta amanah di kawasan besar cukai di seluruh dunia.

Dokumen-dokumen itu didedahkan kepada Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasatan (ICIJ), yang seterusnya memberikan akses kepada rakan kongsinya, termasuk Malaysiakini.

SPRM dilapor merakamkan kenyataan seorang bekas menteri dan anak seorang bekas perdana menteri.

Antara individu dinamakan dalam Kertas Pandora ialah Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.

Bagaimanapun mereka sebelum ini berkata akaun mereka digunakan untuk urusan yang sah.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika menjadi ketua pembangkang pada 2021 mengusulkan supaya perkara itu dibahaskan di parlimen tetapi ditolak oleh speaker ketika itu Azhar Azizan Harun.

Wednesday, October 26, 2022

PN tak letak individu ada kes mahkamah sebagai calon

agendaily.com
26/10/2022
Setiausaha Agung Perikatan Nasional Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Perikatan Nasional (PN) tidak akan meletakkan individu yang sedang berdepan kes mahkamah sebagai calonnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November depan.

Selain keperluan memastikan integriti calonnya bersih, PN tidak mahu sekiranya calon yang mempunyai kes mahkamah terpaksa melepaskan kerusi dimenangi sekiranya mahkamah mendapati dia bersalah, sekali gus menyebabkan Pilihan Raya Kecil perlu diadakan.

Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata semua calon PN perlu melepasi saringan ditetapkan antaranya melibatkan polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Insolvensi dan beberapa agensi lain.

Katanya proses tapisan calon PN dibuat secara menyeluruh bagi memastikan hanya mereka yang tidak boleh dipertikaikan integriti akan diletakkan pada PRU-15.

Tanpa merujuk kepada apa yang dipanggil “kluster mahkamah” dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN), beliau memberi contoh, mereka yang menghadapi tindakan undang-undang di mahkamah tidak akan dianggap sebagai calon PN.

“Kita bukan sahaja akan menyemak sama ada calon terlibat dalam kes mahkamah atau aktiviti jenayah, tetapi kita juga akan menyemak latar belakang mereka dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri dan agensi lain seumpamanya bagi memastikan calon kita benar-benar ‘bersih’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan di Simposium Sains Forensik Kebangsaan bagi Penguatkuasaan Undang-undang yang ketiga di Maktab Polis Diraja Malaysia di Cheras, hari ini (26 Oktober 2022).

Hamzah berkata PN bukan sahaja akan menyemak sama ada calon terlibat dalam kes mahkamah atau aktiviti jenayah, tetapi juga akan menyemak latar belakang mereka dengan LHDN dan agensi lain bagi memastikanmereka benar-benar bersih.

“Sebab itu kita nak benar-benar calon kita bersih. Kita dah ambil nama untuk dikemukakan kepada agensi untuk periksa latar belakang.

“Ia bermula dengan menjadi calon sehingga mereka dipilih oleh rakyat. Tetapi calon mestilah seorang yang ‘bersih’ dan bertanggungjawab terhadap rakyat, dan bukannya individu dan kumpulan tertentu.,” katanya lagi.

“Kluster mahkamah” ialah istilah yang sering dirujuk kepada ahli politik UMNO yang sedang dan telah menghadapi pertuduhan di mahkamah, termasuk presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Hamzah juga berkata pengundi akan memutuskan sendiri sama ada proses tapisan UMNO adalah benar atau “drama yang mereka tonton di televisyen”.

PN juga akan memerhati parti-parti lain untuk melihat sama ada mereka akan mengikut serta dalam menentukan calon mereka melalui tapisan menyeluruh sebelum bertanding.

Wednesday, October 5, 2022

Saman tuntut RM10.3j cukai tertunggak anak Najib dengan LHDN selesai

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Oct 5, 2022 11:03 AM
Saman yang difailkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menuntut RM10.3 juta cukai tertunggak daripada Nooryana Najwa Najib selesai.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Nooryana hari ini mengesahkan LHDN menarik balik rayuan berkaitan kes itu yang sebelum ini difailkan di Mahkamah Rayuan.

Rayuan itu berkenaan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 ogos 2020 yang menolak permohonan LHDN untuk penghakiman ringkas terhadap anak bekas perdana menteri Najib Razak itu.

Mengikut undang-undang sivil, sesebuah mahkamah dibenarkan membuat penghakiman ringkasan bagi sesuatu memutuskan hal perundangan tanpa menjalani perbicaran penuh.

Jika ia dibenarkan, Nooryana tidak boleh membela dirinya terhadap saman tersebut.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Farhan mengesahkan LHDN telah menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan.

"Rayuan LHDN terhadap penolakan Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan penghakiman ringkas telah ditarik balik, memandangkan isu cukai ini telah diselesaikan.

"Berkenaan saman di Mahkamah Tinggi, tarikh perbicaraan telah dikosongkan namun proses pembatalan secara rasmi masih belum tamat," katanya.

Seorang lagi peguam Nooryana, Wee Yeong Kang turut mengesahkan pembatalan permohonan LHDN serta penyelesaian isu tuntutan cukai antara lembaga itu dengan anak guamnya.

Dalam kumpulan WhatsApp Istana Kehakiman dengan pengamal media, seorang pegawai mahkamah juga memaklumkan LHDN telah menarik balik permohonannya.

Selain Nooryana, LHDN turut memfailkan tindakan sivil untuk menuntut RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada anaknya, Mohd Nazifuddin.

Najib dan Nazifuddin kini sedang merayu kepada Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan penghakiman ringkas terhadap mereka.

Terdahulu, LHDN turut menyelesaikan saman tuntutan cukai berjumlah RM13.16 juta terhadap seorang lagi anak Najib iaitu Mohamad Nizar.

Dalam penyelesaian itu, Nizar setuju untuk menyelesaikan cukai taksiran tambahan bagi tahun taksiran mulai 2011 hingga 2017.

[Baca berita asal]

Wednesday, September 21, 2022

Cukai tertunggak RM1.7 bilion: Najib, anak berjaya gantung penghakiman terus

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Sep 21, 2022 10:42 AM
Najib Razak dan anaknya Mohd Nazifuddin berjaya mendapatkan perintah mahkamah tertinggi negara untuk menggantung pelaksanaan penghakiman terus dalam kes cukai tertunggak lebih RM1.7 bilion dihadapi mereka sementara menunggu pelupusan rayuan.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan permohonan penangguhan itu, berikutan tiada bantahan yang dibangkitkan oleh wakil Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), peguam kanan persekutuan al-Hummidallah Idrus.

Panel itu - juga dianggotai oleh hakim mahkamah persekutuan Mary Lim Thiam Suan dan Rhodzariah Bujang - membenarkan penangguhan sementara menunggu pelupusan pendengaran merit rayuan oleh bekas perdana menteri dan Nazifuddin di Mahkamah Persekutuan.

Pada 2020, dua Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Nazifuddin, bagi tempoh antara 2011 dan 2017.

Najib dan Nazifuddin gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada September tahun lalu bagi mengetepikan penghakiman terus itu.

Sementara itu, Bernama melaporkan Datuk Seri Najib Razak dan anak lelakinya Datuk Mohd Nazifuddin hari ini berjaya mendapatkan perintah untuk menggantung pelaksanaan penghakiman terus diperoleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kes cukai tertunggak berjumlah lebih RM1.7 bilion dihadapi mereka sementara menunggu pelupusan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Perintah itu direkodkan oleh panel tiga hakim terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Rhodzariah Bujang.

"Perintah untuk menggantung pelaksanaan penghakiman terus dibenarkan sementara menunggu pelupusan rayuan kedua-dua perayu di Mahkamah Persekutuan," kata Tengku Maimun dalam prosiding yang dijalankan melalui sidang video, hari ini.

Terdahulu, peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee, yang mewakili Najib dan Mohd Nazifuddin memaklumkan kepada panel tiga hakim bahawa LHDN selaku responden tidak membantah permohonan dua beranak itu untuk menggantung pelaksanaan penghakiman terus diperoleh LHDN sementara menunggu rayuan mereka diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Perkara itu turut disahkan oleh Peguam Kanan Hasil Al-Hummidallah Idrus mewakili LHDN.

Pada 10 Mei lepas, Najib dan Mohd Nazifuddin diberi kebenaran oleh Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan LHDN memasukkan penghakiman terus itu bagi mendapatkan semula lebih RM1.7 bilion cukai tertunggak daripada mereka.

Pada 2020, dua Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin, bagi tempoh antara 2011 dan 2017.

Penghakiman terus adalah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Najib dan Mohd Nazifuddin gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada 9 Sept 2021 untuk mengetepikan penghakiman terus itu.

Monday, September 5, 2022

Shahrir tak tahu sumber RM1 juta diterima daripada Najib, kata saksi

freemalaysiatoday.com
Bernama
-September 5, 2022 8:25 PM
Bekas pengerusi Felda, Shahrir Samad, berdepan tuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
(Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus bank memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Shahrir Samad, tidak mengetahui daripada mana bekas perdana menteri Najib Razak memperoleh wang RM1 juta, yang diberikan kepada bekas pengerusi Felda itu.

Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan, R Uma Devi mengesahkan perkara itu berkata, beliau berpengalaman dalam bidang perbankan selama 12 tahun, juga tidak mengetahui sumber wang tersebut.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam yang mewakili Shahrir, Dzulkifli Ahmad, pada perbicaraan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang berhadapan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib, kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dzulkifli: Sebagai pegawai bank berpengalaman, jika cek bank tersebut (RM1 juta) ditunaikan bermakna tiada apa-apa isu berkenaan sumber wang tersebut.

Uma Devi: Ya, pada ketika itu tiada (isu).

Dzulkifli: Cik Uma boleh mengesahkan cek ini tiada masalah, apatah lagi Tan Sri Shahrir juga boleh beranggapan bahawa cek tersebut tiada masalah ketika menerima dan memasukkan (wang) ke dalam akaunnya.

Uma Devi: Ya.

Selain itu, Uma Devi bersetuju dengan Dzulkifli bahawa pihak LHDN tidak merakam percakapannya, memandangkan kes itu berkaitan dengan pengubahan wang haram yang mana Shahrir didakwa tidak melaporkan pendapatan sebenar kepada LHDN, bukan melibatkan rasuah.

Kata saksi itu, hanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia merakam percakapannya.

Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan, yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek, yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014, mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Muhammad Jamil Hussin bersambung esok.

Monday, October 18, 2021

Kerajaan tamatkan kontrak CEO LHDN

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 18, 2021 8:25 PM

Kerajaan telah menamatkan kontrak CEO Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sabin Samitah.

Utusan Malaysia memetik LHDN sebagai berkata, keputusan untuk memendekkan kontrak itu dipersetujui bersama agar Sabin dapat "menceburi bidang lain yang bersesuaian dengan minat beliau".

Dia akan digantikan oleh Timbalan CEO (Operasi Percukaian) LHDN Mohd Nizom Sairi.

Di bawah pentadbiran Sabin, LHDN menjadi perhatian berhubung isu tuntutan cukai terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan ahli keluarganya.

Ia termasuklah penyerahan notis kebankrapan terhadap Najib atas dakwaan gagal membayar tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion.

Najib yang mencabar tindakan itu telah mengkritik badan tersebut.

Pada 9 September lalu, dia pernah membuat laporan polis terhadap LHDN dengan mendakwa saman tuntutan cukai yang dikenakan terhadapnya bermotifkan politik.

Sebahagian daripada tunggakan cukai itu berkaitan wang berbilion ringgit yang didakwa Najib merupakan "derma Arab", namun menurut penyiasat diselewengkan daripada 1MDB.

Thursday, September 30, 2021

Pembebasan Ahmad Maslan 'amalan dua darjat' - MP

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 30, 2021 5:13 PM

Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar mengecam pembebasan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan yang dilepas dan dibebaskan daripada dua pertuduhan selepas bersetuju membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta.

"Kes ini membuktikan wujudnya amalan ‘dua darjat’ dalam sistem keadilan di negara kita.

"Saya pasti perkara ini tidak mungkin berlaku jika tertuduh itu bukanlah seorang ahli parlimen yang berpengaruh," dakwanya pada satu kenyataan media hari ini.

"Adakah ini bermakna kerajaan hari ini akan mencari jalan untuk membebaskan semua kluster mahkamah dengan ‘beat the system’ yang sedia ada," soalnya.

Dia berkata demikian susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam membebaskan Ahmad Maslan atas dua pertuduhan tidak mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadap Ahmad Maslan.

Ini selepas ahli parlimen Pontian bersetuju membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta.

Sivakumar juga mendakwa integriti dan kredibiliti institusi Peguam Negara telah terhakis sepenuhnya apabila sistem perundangan negara "dipermainkan semata-mata untuk berpihak kepada kuasa kerajaan yang memerintah."

"Rakyat melihat tindakan ini sebagai satu kompromi yang amat menjejaskan imej institusi kehakiman dan Peguam Negara. Penarikan semula pendakwaan terhadap Ahmad Maslan adalah tidak wajar

"Apakah ini sengaja dilakukan untuk memberi peluang dan membuka jalan kepada beliau untuk dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat,"soalnya lagi.

Friday, August 13, 2021

Satu kumpulan mohon pengampunan diraja untuk Najib

malaysiakini.com
Diterbitkan 13 Aug 2021, 12:58 pm
Dikemaskini 1:20 pm

Satu kumpulan menghantar petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong supaya memberikan pengampunan terhadap Najib Razak atas sabitan kes mahkamah sebelum ini dan yang sedang berjalan.

Pertubuhan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) memohon perkara itu supaya dia boleh menjadi perdana menteri sementara.

Pengerusinya Syed Muhammad Imran S N Syed Abdul Aziz berkata Najib adalah salah seorang daripada Orang Besar Berempat Pahang.

“Ini peluang untuk selamatkan Malaysia,” katanya.

Katanya, selain dipercayai oleh Seri Paduka, Najib juga mempunyai pengalaman memimpin negara.

Najib juga, katanya, secara konsisten memberikan nasihat kepada kerajaan bagaimana untuk menguruskan ekonomi dan kebajikan rakyat.

Tindakan mereka itu tidak dimaklumkan kepada Najib terlebih dahulu, katanya,

Ketika dihubungi, jurucakap Najib berkata mereka tidak tahu-menahu berkaitan perkara itu.

Pada 7 Julai lalu, Najib didapati bersalah atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM42 juta daripada syarikat kerajaan SRC International Sdn Bhd.

Najib merayu terhadap sabitan itu di Mahkamah Persekutuan.

Najib juga berdepan perbicaraan lain melibatkan dana 1MDB Bhd, pertuduhan meminda laporan audit berkaitan 1MDB selain tuntutan cukai RM1.69 billion daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

[Baca berita asal]

Monday, June 14, 2021

Najib gagal batalkan notis bankrap LHDN

tuncarlos.com
June 14, 2021 


Najib Razak gagal mendapatkan penangguhan berhubung keputusan mahkamah yang berkaitan dengan tuntutan cukai kerajaan sebanyak RM1.69 bilion terhadap dirinya.

Sehubungan itu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) boleh meneruskan notis kebankrapan terhadap bekas perdana menteri itu.

Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Ahmad Bache melalui e-mel kepada pasukan peguam yang mewakili Najib dan LHDN.

Bekas perdana menteri itu mengemukakan permohonan berkenaan atas alasan notis yang dikeluarkan LHDN bertarikh 4 Februari lalu adalah berniat jahat, menindas dan penyalahgunaan proses mahkamah.

Dia juga mendakwa notis itu merupakan taktik konspirasi politik yang bertujuan untuk merosakkan karier politiknya.

Kerajaan, melalui LHDN, memfailkan notis kebankrapan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur terhadap Najib selaku penghutang.

Berdasarkan notis itu, Najib perlu membayar RM1.69 bilion dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 22 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Februari 2021 iaitu RM45.9 juta serta kos RM15,000 dan setakat 4 Februari 2021, jumlah itu menjadi RM1,738,804,204.16.

Pada 22 Julai tahun lalus, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Najib memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan yang menetapkan 16 Jun ini untuk pendengaran.

Mengikut Seksyen 103 (2) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ITA), seseorang yang diperintahkan membayar taksiran itu perlu menjelaskan bayaran tersebut kepada LHDN walaupun rayuan difailkan.

-MalaysiaKini

Tuesday, April 6, 2021

LHDN serah notis kebankrapan pada Najib

malaysiakini.com
Hariz Mohd
Diterbitkan 6 Apr 2021, 6:16 pm

Bekas perdana menteri, Najib Abdul Razak menerima notis kebankrapan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) semalam, menurut sumber yang rapat dengan ahli politik itu.

Notis berkenaan berhubung cukai sebanyak RM1.7 bilion yang dikehendaki oleh LHDN daripada Najib.

Malaysiakini difahamkan pegawai LHDN datang ke kediaman Najib semalam dan menyampaikan notis itu kepadanya secara peribadi.

"Kes ini telah ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Kuala Lumpur pada 5 Mei ini," kata sumber itu.

[Berita penuh menyusul]

Friday, November 6, 2020

Bicara kes Ahmad Maslan: Pendakwaan akan panggil 10 saksi

malaysiakini.com
Diterbitkan Hari ini 12:17 pm
Ahmad Maslan
Pihak pendakwaan akan mengemukakan 10 saksi pada perbicaraan kes Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan yang didakwa atas dua pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata pihak pendakwaan telah menyerahkan penyataan-penyataan saksi kepada mahkamah dan pasukan pembelaan, awal bulan lepas.

Perbicaraan kes itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad.

Sebelum ini, perbicaraan kes Ahli Parlimen itu ditetapkan pada 16 dan 23 Okt serta 6 Nov (hari ini), bagaimanapun prosiding telah dilapangkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Pihak pendakwaan menerima e-mel daripada mahkamah baru-baru ini yang memaklumkan pengurusan kes ditetapkan pada 27 Nov ini bagi menetapkan tarikh perbicaraan baharu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Peguam Hamidi Mohd Noh yang mengetuai pasukan pembelaan ketika dihubungi turut mengesahkan perkara itu.

Ahmad didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri itu kepada LHDN dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau dituduh telah menerima wang tersebut, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013, dan cek itu telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di Kuala Lumpur, pada 30 April, 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa telah memberi penyataan palsu kepada SPRM semasa percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal, berhubung isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

- Bernama

Tuesday, January 21, 2020

Ahmad, Shahrir mengaku tak bersalah

BERITA

Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan, mengaku tidak bersalah atas tuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Beliau didakwa gagal membuat pengisytiharan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung dana RM2 juta yang diterimanya daripada Najib Razak.

Ahmad yang juga bekas ketua penerangan Umno turut didakwa memberi kenyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pertuduhan berkenaan dibacakan di depan hakim Azman Ahmad.

Sementara itu, di mahkamah berlainan, bekas ahli parlimen Johor Bahru yang juga bekas menteri, Shahrir Samad, turut mengaku tidak bersalah atas satu tuduhan.

Beliau didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar kepada LHDN.

Mengikut kertas pertuduhan Shahrir didakwa menerima RM1 juta daripada Najib Razak melalui sekeping cek AmIslamic Bank Bhd bertarikh 27 Nov 2013.

Shahrir, 71, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan itu dibacakan kepadanya di depan hakim Azura Alwi.

[Berita lanjut menyusul]

Thursday, July 4, 2019

LHDN tuntut Najib bayar cukai tambahan RM1.69b

News | Diterbitkan Hari ini 4:54 petang


Najib Razak dituntut membayar cukai tambahan ditaksirkan berjumlah RM1.69 bilion membabitkan tempoh 2011 hingga 2017.

Tuntutan itu dibuat LHDN selepas bekas perdana menteri itu gagal memberikan jawaban pada pertanyaan awal mengenai taksiran cukai tambahan pada Mac lalu.

Ketika itu cukai yang ditaksirkan ke atas Najib ialah RM1.47 bilion. Disebabkan ia dikenakan kadar kenaikan 10 peratuspada April dan lima peratus pada Mei, jumlah yang dituntut meningkat kepada RM1.69 bilion.

Menurut portal theedgemarkets.com tuntutan tersebut diketahui berdasarkan dokumen mahkamah yang mereka perolehi.

Ia sekali gus mengesahkan laporan The Edge Financial Daily bertarikh 1 April 2019 yang mendakwa LHDN menambah cukai tambahan sebanyak RM1.5 bilion ke atas Najib untuk tahun taksiran 2011 hingga 2017.

Menurut portal itu tuntutan saman tersebut bertarikh 25 Jun 2019 dan dihantar selepas notis taksiran tambahan pertama bertarikh 20 Mac 2019.

“Notis taksiran tambahan dihantar melalui pos berdaftar kepada defendan pada 25 Mac 2019 ke alamat terakhir yang diketahui plaintif (kerajaan) pada masa itu.

“Notis taksiran tambahan tidak pernah dikembalikan kepada plaintif,” katanya.

Menurut laporan, tambahan 10 peratus pertama yang dituntut pada Najib dibuat sesuai dengan peruntukan Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Ia dikemukakan apabila Najib gagal membayar RM1.47 bilion dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis diserahkan.

Seterusnya, Najib gagal melangsaikan jumlah yang diperbaharui dalam tempoh 60 hari di bawah akta yang sama, yang mengakibatkan kenaikan lima peratus kompaun.

“Plaintif mempunyai hak untuk mengambil balik cukai pendapatan yang masih terhutang, seperti kenaikan yang dikenakan ke atas defendan sebagai cukai yang perlu dibayar,” kata writ saman berkenaan.

Monday, October 15, 2018

Umum cukai baharu 2 November

MyMetro
Utama
Luqman Arif Abdul Karim


PENGENALAN cukai baharu bagi menampung penjanaan pendapatan negara akan diumumkan dalam pembentangan Bajet 2019, pada 2 November ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengakui peralihan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) menyaksikan penyusutan pendapatan bersih kerajaan sebanyak RM17 bilion pada tahun ini.

"Sebahagian pengurangan kutipan cukai ini akan diimbangi hasil petroleum dan dividen syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tertentu, selain beberapa langkah lain.

"Ia merangkumi peningkatan hasil Kerajaan Persekutuan menerusi audit dan siasatan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi aspek pematuhan cukai.

"Kadar cukai baharu yang akan dikenakan, tinggal dua minggu lagi, sebelum bajet dibentangkan, justeru saya harap Yang Berhormat (YB) Bera sabar sikit, tunggulah seperti rakyat Malaysia," katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN UMNO-Bera) di Dewan Rakyat, mengenai jenis cukai baharu, selain unjuran pendapatan yang bakal diperoleh kerajaan.

Menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH DAP-Kota Melaka) berhubung aspek penjimatan kerajaan menerusi semakan semula beberapa projek, Guan Eng berkata, bukan semua pembangunan kemudahan demi manfaat rakyat dibatalkan.

Beliau sebaliknya menjelaskan, langkah pembatalan atau semakan semula hanya tertakluk kepada projek mega yang kosnya tidak mampu ditanggung kerajaan susulan pemindahan bebanan hutang melampau oleh pentadbiran terdahulu.

"Projek biasa akan diteruskan tapi mengikut kaedah baharu, iaitu sistem tender terbuka, tetapi kita akan minta pertimbangan pengurangan kos daripada kontraktor.

"Hal ini kerana kita tahu projek sebelum ini dijalankan secara rundingan terus, membabitkan (kepentingan) kroni pihak tertentu," katanya.

Tuesday, September 4, 2018

Najib Cabar Kerajaan PH Tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja Buktikan Tuduhan RM16 Bilion Hilang

SUARA TV
Suara Tanpa Sempadan
September 4, 2018 Abdul Mursyid Zainuddin



KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencabar kerajaan Pakatan Harapan (PH) menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kehilangan wang tuntutan bayaran balik Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebanyak RM16 bilion.

Menerusi entrinya Facebooknya hari ini, Najib berkata, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng seolah-olah mengaku tidak faham sistem perakaunan kerajaan apabila mendakwa wang tuntutan balik LHDN sebanyak RM16 bilion masih ‘hilang’.

Katanya, bukan semua tuntutan balik kepada LHDN oleh pembayar cukai semestinya diluluskan serta-merta kerana perlu diaudit untuk kesahihan mengikut undang-undang oleh lembaga percukaian tersebut.

“Berhentilah mahu menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lama oleh kerana kelemahan pentadbiran sendiri.

“Lebih baik jika prosiding Jawatankuasa Kira-kira Parlimen (PAC) atau RCI diadakan secara telus untuk mencari kebenaran. Ini soal RM35.4 bilion termasuk RM19.4 bilion cukai jualan dan perkhidmatan (GST)). Takkan isu ini tidak layak dijalankan RCI ataupun PAC untuk mencari kebenaran secara telus,” katanya.

Guan Eng semalam memberitahu, sebanyak RM16 bilion cukai yang tidak dibayar balik tetap hilang daripada Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC) sama ada kerajaan menggunakan sistem perakaunan tunai terubah atau sistem akruan.

Sementara itu, Najib berkata, mengikut penyata akaun Akauntan Negara bagi akhir 2017, kedudukan kumpulan wang disatukan kerajaan pusat adalah sebanyak RM42.184 bilion (2016: RM39.37 bilion) iaitu RM18.064 bilion dalam bentuk wang tunai dan simpanan tetap (FD) jangka pendek dan RM24.12 bilion dalam Pelaburan Kumpulan Wang Amanah dan Pelaburan Am.

Katanya, fakta-fakta itu boleh diakses Guan Eng memandangkan beliau adalah Menteri Kewangan.

“Saya juga tidak faham mengapa Guan Eng perlu masa tiga bulan setengah untuk menyedari bahawa RM16 bilion wang LHDN sudah ‘hilang’ dan hanya membangkitkan isu ini selepas menyedari bahawa kerajaannya sudah berkurangan hasil sebanyak RM31 bilion oleh kerana tiga bulan pengecualian cukai dan pungutan hasil SST bakal jauh lebih rendah dari GST.

“Besar kemungkinan kerajaan PH sudah menggunakan sebahagian besar dari kumpulan wang disatukan sebanyak RM42.184 bilion yang kerajaan BN tinggalkan bagi menampung kerugian atau kelompongan ketika tax holiday dan kini mahu menuding jari dan mempersalahkan kerajaan BN dahulu,” tegasnya.

 – UTUSAN

Thursday, May 31, 2018

Tabung Harapan Malaysia kutip RM7juta dalam satu hari

SITI AZIELAH WAHI
31 MEI 2018

Nik Shazarina menyerahkan replika cek kepada Guan Eng dalam membantu Tabung Harapan Malaysia
.
PUTRAJAYA - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan, sehingga jam 3 petang tadi, Tabung Harapan Malaysia (THM) mencatat kutipan lebih RM7 juta, selepas dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam.

Guan Eng berkata, jumlah kutipan tabung tersebut akan sentiasa dikemaskini setiap hari jam 3 petang melalui laman web Kementerian Kewangan.

"Kesemua wang sumbangan akan dipastikan disalur untuk mengurangkan hutang kerajaan persekutuan yang mencecah RM1trillion,"katanya.

Sementara itu, Guan Eng memaklumkan, kesemua penyumbang dalam THM akan mendapat faedah pengecualian cukai pendapatan.

"Simpan resit selepas membuat sumbangan dan kemukakan kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mendapatkan pengecualian cukai,"ujarnya.

Beliau turut memaklumkan, sumbangan kepada THM tidak terhad kepada individu malah boleh tabung berkenaan turut terbuka kepada syarikat yang juga boleh mendapat pengecualian cukai.

"Sekiranya ada syarikat ingin menyumbang RM15,000, maka syarikat itu akan mendapat pengecualian cukai sebanyak RM15,000, jelasnya.

Sementara itu, Guan Eng berkata, tiada nilai minimum dan maksimum terhadap nilai sumbangan dan ianya terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dalam Ringgit Malaysia (RM).

"Nilai derma tidak penting namun ianya merupakan 'nilai' kasih sayang dan semangat bersatu padu rakyat Malaysia.

Sementara itu menjawab mengenai persepsi segelintir masyarakat yang memberi tanggapan negatif terhadap tindakan kerajaan menubuhkan tabung tersebut, Guan Eng berkata, apa yang dilakukan rakyat sebagai tanda cintakan negara.

"Tindakan seperti ini (menubuhkan tabung), turut dilakukan dibeberapa negara seperti Korea Selatan namun ia menjejaskan ekonomi negara bahkan negara itu lebih maju berbanding Malaysia," katanya.

Sebelum itu, beliau menerima replika cek daripada seorang peguam Nik Shazarina Bakti yang memulakan usaha mengumpul dana untuk membantu Malaysia menyelesaikan hutang itu.

Sejumlah RM13,476.57 berjaya dikumpulkan dalam laman Go Get Funding bertajuk “Please Help Malaysia” yang diwujudkannya.

Rakyat Malaysia yang ingin menyumbang kepada Tabung Harapan Malaysia (THM) bagi menangani masalah hutang negara boleh menyalurkan sumbangan mereka menerusi akaun Maybank 5660-1062-6452.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-