Friday, June 1, 2018

Rafizi tak perlu ke penjara kerana dedah laporan 1MDB

V Anbalagan
June 1, 2018

Peguamnya, Ahmad Nizam Hamid memberitahu mahkamah anak guamnya berbuat demikian demi kebaikan negara dan tindakan itu tidak mengancam keselamatan negara.

Panel 3 hakim memerintahkan Rafizi Ramli membayar ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

PUTRAJAYA: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli diberikan hukuman bukan berbentuk penjara kerana membocorkan laporan audit 1MDB dalam sidang media di bangunan Parlimen, 2 tahun lalu.

Ia susulan kelakuan baik Rafizi selama 2 tahun ini.

Panel 3 hakim yang dipengerusikan Datuk Ahmadi Asnawi turut memerintahkan bekas ahli Parlimen Pandan itu membayar ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Ini selepas peguam Rafizi, Ahmad Nizam Hamid memaklumkan panel itu yang anak guamnya menarik balik rayuannya terhadap sabitan itu.

Nizam berkata, Rafizi hanya akan merayu untuk mengurangkan hukuman penjara 18 bulan yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud memberitahu mahkamah, beliau diarahkan menarik balik rayuan terhadap pembebasan Rafizi kerana memiliki halaman ke-98 laporan audit itu yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Nizam berkata, hukuman penjara itu keterlaluan.

“Beliau melakukannya demi kebaikan negara, bukan untuk kepentingan dirinya. Pendedahannya bukan ancaman terhadap keselamatan negara.”

Katanya, kerajaan baru sudah mengeluarkan laporan 1MDB oleh ketua audit negara itu daripada OSA.

Awang Armadajaya tidak membantah penghujahan itu.

“Ia bukan lagi satu kesalahan dalam keadaan sekarang.”

Pada 23 Ogos 2017, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak rayuan Rafizi untuk mengetepikan sabitan bersalah kerana mendedahkan satu halaman laporan itu.

Hakim, Datuk Azman Abdullah bagaimanapun membenarkan rayuan Rafizi untuk mengetepikan sabitan atas pertuduhan memiliki halaman ke-98 laporan audit itu.

Pada 14 November 2016, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 36 bulan secara keseluruhannya terhadap Rafizi atas 2 pertuduhan memiliki halaman 98 laporan audit 1MDB dan mendedahkan kandungan dokumen itu dalam sidang media pada 24 Mac 2016 di bangunan Parlimen.

Mahkamah memerintahkan beliau menjalani 2 hukuman penjara 18 bulan itu serentak.

Sabitan itu menyebabkan beliau tidak boleh bertanding pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Perkara 48 (1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan seorang wakil rakyat hilang kelayakan selama 5 tahun, jika dia sabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara lebih setahun atau denda lebih RM2,000.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-