Thursday, July 19, 2018

Akaun Najib tiada kaitan RM2.6 bilion

MUHAMMAD AFHAM RAMLI
18 JULAI 2018

Najib

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan pelepasan pembekuan akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah disebabkan tiada kaitan dengan siasatan SRC International dan juga dana RM2.6 bilion, yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam satu kenyataan semalam, SPRM berkata, pihaknya ingin menegaskan tindakan melepaskan pembekuan akaun tersebut, bukan dilakukan atas desakan mana-mana pihak tetapi disebabkan siasatan terhadap akaun itu telah selesai dilaksanakan.

“Terdapat akaun-akaun bank lain milik Najib yang juga terlibat dengan SRC International Sdn Bhd dan 1MDB (RM2.6 bilion) tidak dibekukan kerana akaun tersebut telah ditutup sebelum siasatan SRC International Sdn Bhd dan 1MDB bermula pada Julai 2015.

“Ini bermakna, pembekuan akaun bank Najib berkaitan isu SRC International dan dana RM2.6 bilion ketika itu tidak dapat dilakukan kerana akaun berkenaan telah ditutup lebih awal sebelum siasatan dimulakan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, bagaimanapun SPRM juga menegaskan sehingga kini siasatan berhubung dana RM2.6 bilion masih diteruskan.

Sementara itu, SPRM menjawab terdapat tuduhan bahawa suruhanjaya itu membuat publisiti besar-besaran berhubung pembekuan akaun bank Najib, namun menyepi apabila pembekuan itu ditarik balik.

Katanya, pihaknya menegaskan isu itu tidak timbul kerana SPRM tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi berkaitan pembekuan akaun tersebut.

Malah katanya, SPRM juga hanya mengesahkan pelepasan akaun tersebut apabila persoalan itu ditimbulkan pihak media.

“Didapati juga terdapat kekeliruan fakta dilaporkan segelintir pihak menerusi media susulan pembekuan dan pelepasan akaun bank bekas Presiden Umno itu. SRPM tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi berkaitan pembekuan akaun tersebut,” katanya.

Pada 2 Julai lalu, pasukan Petugas Khas (Task Force) 1MDB mengeluarkan satu kenyataan menyatakan 408 akaun bank membabitkan dana RM1.1 bilion dibekukan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-