Tuesday, July 24, 2018

Ismail Sabri: Umno, PAS setuju anjur program bersama di Sg Kandis

Lum Chee Hong
Diterbitkan 24 Jul 2018, 12:20 tengah malam


PRK SG KANDIS | Datuk Seri Ismail sabri Yaakob mendakwa Umno dan PAS sudah sepakat untuk mengadakan satu program bersama sempena kempen PRK itu.

Beliau yang baru menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor mendakwa, program itu akan mempertemukan dua tokoh parti itu di pentas yang sama tetapi secara rasmi tidak dianjurkan atas nama parti.

"Tadi saya sudah berbincang dengan seorang pemimpin PAS dan dia setuju. Kita mahu tunjukkan ada kerjasama antara Umno dan PAS

"Sebagai contoh, (boleh diadakan) forum perdana Islam yang menampilkan Syamsul Debat yang mewakili Umo dan Ustaz Azhar Idrus yang mewakili PAS.

"Kalau boleh, mungkin kita letakkan setiausaha agung Umno dan PAS pada malam terakhir (kempen)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pengenalan calon BN Datuk Lokman Noor Adam dan Penyerahan Anak Angkat Bahagian Negeri Selangor di Kampung Sungai Kandis, malam ini.
Untuk rekod, PAS setakat ini belum mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi yang jelas menunjukkan parti itu akan berpihak kepada mana-mana pihak pada PRK kali ini.

Setiausaha agungnya Datuk Takiyuddin Hassan sebelum ini berkata ketiadaan calon PAS bukanlah bermakna mereka akan bekerjasama dengan Umno.

Beliau juga hanya menggesa anggota parti di DUN itu agar membuat pilihan "berpandukan pertimbangan yang wajar demi kepentingan Islam-Melayu".

Bagaimanapun dua pemimpin parti itu - Ketua Penerangan Nasrudin Hassan dan Anggota Perhubungan Selangor Ahmad Dusuki Abd Rani - menggesa anggota parti menolak calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa berkata Tun Dr Mahathir tidak perlu masuk campur dalam soal hubungan PAS dan Umno.

Ia susulan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan langkah PAS untuk tidak meletakkan calon kerana kedua-dua parti itu adalah "adik-beradik".

"Ini adalah urusan pembangkang," katanya.

Turut hadir dalam program itu adalah Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hassan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-