Monday, August 27, 2018

Anwar kini tak menonjol, tapi…

27 OGOS 2018

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat gambar muka hadapan buku 'Anwar Returns, The Final Twist' yang ditulis oleh penulis Mark Trowell pada majlis pelancaran buku tersebut yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di sebuah hotel hari ini. Foto - Bernama

KUALA LUMPUR - 'Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin tidak lagi menonjol sebagai pencetus perjuangan politik lantang seperti dulu, namun beliau tetap punya semangat membara untuk membawa pembaharuan kepada negara'.

Ini pandangan Mark Trowell, pengarang siri terakhir perbicaraan sodomi Anwar berjudul: “Anwar Returns, The Final Twist. The Prosecution and Release of Anwar Ibrahim.”

“Beliau (Anwar) memberi pujian kepada Mahathir (Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) kerana berusaha keras untuk melakukan perubahan kepada negara dan kesediaan bekerjasama dengan beliau (Mahathir) jelas menunjukkan sejauh mana mereka sedia berjuang untuk Malaysia.

“Bayangkan bagaimana Anwar dan Mahathir dapat bekerjasama,” katanya.

Trowell yang berasal dari Australia dan seorang peguam berkata buku itu ditulis untuk menerangkan kepada pembaca cara Anwar dilayani oleh sistem kehakiman jenayah dan konspirasi terakhir untuk menghapuskan pemimpin PKR itu dari arena politik.

Anwar baru saja dipilih sebagai Presiden PKR.

Trowell berkata bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sedar bahawa Anwar merupakan ancaman kepada kerajaan Barisan Nasional ketika itu dan beliau berusaha menghapuskan Anwar menerusi pendakwaan atas tuduhan sodomi (liwat).

“Najib sedar Anwar menjadi ancaman (kepada kerajaan Barisan Nasional) semasa Piihan Raya Umum 2008,” kata beliau.

Trowell berpendapat Anwar, bekas timbalan perdana menteri, sudah banyak berusaha sejak dipenjarakan pada 2015 selepas disabitkan kesalahan liwat.

“Beliau akan menjadi PM (Perdana Menteri) berikutnya. Namun, perjalanan masih jauh,” kata Trowell.

“Kini, beliau merasa agak lega setelah kesihatannya pulih dan dapat berhubung semula dengan anggota keluarga dan partinya (PKR) sebelum beliau bertanding untuk kerusi parlimen,” kata Trowell.

“Mahathir kini 93-tahun, Anwar agak muda berbanding dengan beliau (Mahathir),” kata Trowell berseloroh.

Trowell, seorang Queen’s Counsel, dalam buku terakhirnya, menulis dengan cukup analitikal tentang apa yang berlaku semasa perbicaraan Anwar.

“Perbicaraan Liwat II jelas sekali satu ‘persendaan kehakiman’ dan tingkah laku kehakiman yang memualkan,” kata beliau.

Perbicaraan dan pemenjaraan Anwar meliputi masa 20 tahun, hingga mendorong Trowell menyifatkan sistem kehakiman sebagai korup dan memihak kepada kerajaan BN sebelum ini.

Trowell menulis “Sodomy II: The Trial of Anwar Ibrahim” pada 2012; diikuti buku kedua, “The Prosecution of Anwar Ibrahim: The Final Play”, diterbitkan pada 2015: dan edisi terakhir pada tahun ini, “Anwar Returns: The Final Twist. The Prosecution and Release of Anwar Ibrahim.”

 - Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-