Saturday, August 25, 2018

Kita tak tahu siapa kita nak bagi, kata Dr M

Bernama | August 25, 2018

Perdana menteri tidak tahu sebab apa Istana Negara tidak memberi anugerah kebesaran tahun ini.

LANGKAWI: Penganugerahan darjah kebesaran hanya akan diberikan kepada mereka yang berjasa kepada negara dan bukannya mereka yang menyokong pemimpin yang memerintah semata-mata, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Katanya, penganugerahan ini tidak seharusnya diberikan sewenang-wenangnya seperti yang diamalkan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

“Masa Najib dulu semua orang dapat hadiah supaya sokong Najib. Kita tak bagi hadiah. Tapi kita nak bagi kepada orang yang patut dapat,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau mengulas keputusan Istana Negara untuk tidak memberi anugerah kebesaran sempena sambutan Keputeraan Yang DiPertuan Agong, Sultan Muhammad V 9 September ini.

“Saya tak tahu sebab apa tapi saya ingat sebabnya waktu ini kita tak tahu siapa kita nak bagi,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir menyelar kenyataan Pergerakan Pemuda Umno baru-baru ini yang menyifatkan keputusan kerajaan menghentikan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sebagai sia-sia.

Menurutnya keputusan kerajaan itu dibuat mengambilkira kemampuan kewangan semasa negara.

“Kita tak ada duit pasal duit itu orang tertentu curi, sebab itu kita tak boleh bayar.

“Kalau Pemuda Umno boleh kutip sebanyak RM55 bilion, kita boleh teruskan dengan ECRL ini,” katanya.

Dr Mahathir tiba di sini untuk lawatan singkat bertemu mangsa bencana ribut dan banjir kilat di Kuala Teriang baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-