Saturday, August 25, 2018

Hapus BR1M hukum rakyat miskin, kata Najib

FMT Reporters | August 25, 2018
Bekas perdana menteri berkata PH nampaknya hanya mementingkan golongan kaya, ekonomi gelap dan peniaga yang suka mengelak cukai.

Gambar Bernama

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak membidas rancangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghentikan bantuan wang untuk golongan termiskin, mengatakan Pakatan Harapan sudah melupakan janji meneruskan skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Mengapa sekarang mahu mungkir janji dan menghukum rakyat miskin?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bekas perdana menteri menepis tuduhan bayaran BR1M dari sumber curi, menegaskan di mana salahnya mencukaikan yang kaya dan yang lari cukai untuk memberi bantuan kepada orang miskin?

“Nampaknya kerajaan PH hanya mementingkan golongan yang kaya, ekonomi gelap dan peniaga yang suka mengelak cukai daripada mahu menaikkan gaji dan membantu golongan yang miskin,” katanya.

Najib berkata wang untuk BR1M daripada rasionalisasi subsidi dan GST, di mana golongan kaya yang lebih banyak berbelanja lebih banyak membayar cukai itu.

“Lebih penting, GST mengurangkan pengelakkan cukai, mengurangkan aliran dana haram dan mengutip cukai daripada ekonomi ‘gelap’,” katanya.

Najib berkata kutipan dikembalikan kepada kumpulan isi rumah berpendapatana 40% terendah (B40) sebagai BR1M, yang dinaikkan seiring dengan peningkatan kutipan GST akibat pertumbuhan ekonomi.

“Dr Mahathir masih mendakwa BR1M dibayar dengan wang yang dicuri dan tujuan BR1M untuk ‘membeli’ rakyat. Dia juga mendakwa wang BR1M terlalu kecil dan rakyat tidak merasa.

“Agaknya pelik tuduhan bahawa kerajaan BN ‘curi’ wang untuk bagi balik kepada rakyat,” kata Najib.

Najib menyorot perhatian kepada pengumuman kerajaan minggu lepas, di mana kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk suku kedua “selepas PH mengambil alih” turun kepada 4.5% berbanding 5.4% untuk suku sebelum itu, manakala kadar pengangguran naik.

Beliau juga berkata beberapa penganalisis ekonomi meramalkan Malaysia bakal jatuh kepada kemelesetan ekonomi dalam tempoh terdekat, dan harga getah dan minyak sawit juga turun sejak pilihan raya umum lepas.

“Ketika inilah orang miskin yang patut ditolong bukan dihukum,” katanya.

Najib mengingatkan ketika dia menjadi perdana menteri nisbah GINI turun ke paras terendah bawah 0.40, untuk pertama kali dalam sejarah, pada 2016.

“Saya bimbang bahawa jurang pendapatan yang semakin turun masa saya menjadi perdana menteri akan naik kembali kepada tahap yang tinggi pada penggal pertama Tun Mahathir berkuasa,” katanya.

Dr Mahathir hari ini dilaporkan berkata pentadbirannya akan mengurangkan jumlah BR1M sedikit demi sedikit sebelum dimansuhkan, bertujuan untuk memastikan rakyat lebih berdikari.

“Jika anda hanya suap rakyat, mereka akan jadi lemah,” kata perdana menteri.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-