-September 9, 2018
PETALING JAYA: Bekas ketua hakim negara Tun Abdul Hamid Mohamad mempersoalkan tindakan Peguam Negara Tommy Thomas melantik peguam Sulaiman Abdullah dan bekas hakim Datuk Gopal Sri Ram sebagai pendakwaraya dalam perbicaraan Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata langkah itu tidak pernah berlaku dalam sejarah undang-undang Malaysia.
“Adakah dia takut kerana dia tiada pengalaman mendakwa? Kes ini tentu sekali bukan untuk orang belajar mendakwa,” kata Hamid di blognya.
Najib berdepan tuduhan pecah amanah berhubung pemindahan RM42 juta ke dalam akaun bank peribadi daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
Pada 31 Ogos Thomas melantik Sulaiman untuk mengetuai pendakwaan.
Tetapi Hamid berkata langkah itu merupakan yang pertama, dan pengakuan oleh Thomas bahawa dia tidak mampu menangani tuntutan jawatannya sebagai peguam negara.
Mengatakan keadaan kesihatan Sulaiman mungkin tidak membolehkan dia “menahan tekanan perbicaraan yang panjang”, Hamid juga mempersoalkan kelayakan bekas presiden Badan Peguam itu untuk mengetuai kes jenayah berprofil tinggi.
“Dia tidak cukup pengalaman memimpin bukti untuk pendakwaan dalam perbicaraan jenayah.”
Hamid berkata Thomas mempunyai 8 bulan untuk membuat persediaan bagi kes itu, tidak seperti timbalan pendakwaraya awam yang lazimnya perlu membuat persediaan dalam tempoh kurang daripada 1 bulan.
Hamid mengkritik Thomas kerana melantik Sri Ram, seorang bekas hakim Mahkamah Persekutuan, sebagai timbalan pendakwaraya awam untuk mengkaji dan memberi nasihat tentang kertas siasatan 1MDB.
Beliau berkata peguam negara patut mengkaji kertas itu dengan dibantu para pegawainya, kerana kes itu penting.
“Jika pun dia tidak berbuat demikian, para pegawainya yang sedekad atau lebih melakukan kerja yang sama, boleh diharapkan daripada melantik orang luar, yang tak pernah tengok kertas siasatan sebelum ini.”
Hamid berkata Thomas sudah melemahkan moral “keseluruhan Jabatan Peguam Negara”.
“Seolah-olah dia tidak yakini para pegawainya yang sudah berdekad menjalankan tugas mereka. Seolah-olah mereka tidak cekap,” tambahnya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.