Friday, September 21, 2018

Undang-undang anti liwat tak adil, kata Anwar

NURUL FIRDAUS KHAIRI
21 SEPTEMBER 2018

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson di Ibu Pejabat PKR, hari ini. Foto - Bernama

PETALING JAYA - Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik undang-undang menghukum seks hubungan sejenis, mengatakan ia saki-baki era penjajahan British.

Menurutnya, kritikan itu bukan hanya kuno, ia undang-undang penjajah British yang diperkenalkan di India dan diulang sama di Malaysia.

"Ia benar-benar tidak adil kerana seseorang boleh dituduh, dan tanpa bukti yang betul, seperti kes saya.

"Undang-undang itu mesti dipinda untuk memastikan keadilan, dan menambah orientasi seks seseorang tidak boleh dipersoal jika tidak dipaparkan di khalayak ramai," katanya dalam sesi temubual bersama Al Jazeera.

Calon PRK Parlimen Port Dickson itu berkata, undang-undang mesti dipinda untuk memastikan ada keadilan dalam prosesnya dan ini bukan soal orientasi seks.

Katanya, ia mengenai apa yang dilakukan atau paparkan secara terbuka yang bertentangan dengan norma majoriti rakyat, bukan hanya orang Islam tetapi juga Kristian, Hindu, pengikut Buddha di negara ini.

Dalam pada itu, Anwar turut ditanya mengenai hukuman rotan ke atas dua wanita yang disabit kesalahan cuba melakukan hubungan sejenis oleh Mahkamah Syariah Terengganu.

“Saya fikir ini jelas tak adil. Walaupun mereka menggunakan syariah sebagai asas, kita tidak boleh pertahan tindakan itu.

"Hukuman dera undang-undang Islam yang dicadangkan Pas itu berdasarkan tafsiran parti itu dan harus ditolak. Itu bukan hudud syariah, itu tafsiran mereka, atau beberapa aspek,” katanya.

Sebelum ini, beliau pernah dipenjarakan atas tuduhan liwat yang disifatkan bermotif politik.

[ARTIKEL BERKAITAN: Anwar bersalah, mahkamah tangguh sejam ]

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Tuduhan liwat ke atas Anwar satu konspirasi' ]

Anwar dibebaskan dari penjara pada 16 Mei susulan satu pengampunan diraja selepas kemenangan PH selepas disabitkan bersalah meliwat bekas pembantu, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada tahun 2008.

Liwat adalah jenayah di Malaysia, dan dihukum mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksanaan yang melarang “persetubuhan luar tabii”. Seseorang yang disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sebat dan penjara sehingga 20 tahun.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-