Monday, October 1, 2018

Hadi selar oportunis sembahyang, tapi 'menari Hindu, Buddha'


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kempennya di Port Dickson menegaskan jawatan tidak boleh diberikan kepada “orang yang oportunis”.

"Tempat tok lebai dia sembahyang, tempat Benggali pakai serban Sikh, tempat kuil Hindu menari Hindu, tempat Buddha menari Buddha," beliau dipetik sebagai dalam ceramah di Telok Kemang.

Laporan di Harakahdaily itu tidak menyebut secara khusus pihak yang dimaksudkan itu.

Baca: Anwar: Dulu ahli PAS pun ikut saya ke kuil

Bagaimanapun, berita sama mengkritik calon lawan mereka dari PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Hadi juga berkata seseorang mestilah konsisten dengan agamanya walau di mana berada.

"Ini orang yang boleh berlakon dengan semua puak yang ada di Malaysia ini, tak konsisten," katanya, seperti dilaporkan media rasmi PAS itu.

Anwar terkenal sebagai seorang pemimpin yang vsering memetik dan mengambil contoh pelbagai tamadun dunia dalam ucapannya.

Baru-baru ini, video aksi beliau meniru aksi seorang pelakon filem Tamil popular mendiang MG Ramachandran (MGR) menjadi tular.

Tak salah, minta ampun apa?

Sementara itu, Hadi juga berkata beliau pelik apabila ada calon yang terpaksa meminta ampun kepada Lembaga Pengampunan, ketika mengaku tidak bersalah.

"Kepada orang yang ada maruah, tak perlu minta ampun.

“Dia tidak bersalah, minta ampun apa?" ujar Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia.

Anwar bebas pada 16 Mei lalu setelah mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong daripada kesalahan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

Saiful turut bertanding menentang Anwar dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson dalam persaingan tujuh penjuru.

Sementara itu, Hadi juga mendakwa Anwar “tunduk kepada barat” ketika menguruskan krisis kewangan di hujung 90-an kerana mahu meminjam dari Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Hadi berkata IMF berada bawah pengaruh Amerika dan Zionis.

PRK Port Dickson diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada Anwar kembali ke Dewan Rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 Oktober ini sebagai hari mengundi manakala 9 Oktober sebagai hari pengundian awal.

PAS meletakkan Left. Kol (B) Nazari Mokhtar sebagai calonnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-