Showing posts with label PRK Parlimen Port Dickson. Show all posts
Showing posts with label PRK Parlimen Port Dickson. Show all posts

Monday, October 1, 2018

PORT DICKSON: PAS HARAP SOKONGAN UMNO

By watan
on October 1, 2018


Meskipun tidak dibantu UMNO, Barisan Nasional (BN), PAS tetap mengharap rakan sekutunya yang baharu itu mengundi calon mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata parti itu tidak pasti sama ada UMNO ada membantu ataupun tidak memandangkan parti itu mengambil keputusan memboikot PRK terbabit.

“Dalam sistem demokrasi kita menerima siapa sahaja yang menyokong atau menerima calon mereka dan tidak sekadar orang PAS, tetapi saya tidak pasti (UMNO) ada bantu atau tidak,” katanya dalam sidang media selepas Ceramah Perdana kempen Pas di Kampung Teluk Kemang, Ahad malam.

Beliau turut diminta penjelasan sama ada berlaku sebarang pertemuan dengan kepimpinan tertinggi UMNO membincangkan kerjasama mengenai PRK.

Beliau bagaimanapun memberitahu bahawa PAS bersendiri sejak selepas UMNO membuat kenyataan tidak akan bertanding dan tidak akan membenarkan ahli-ahlinya turun berkempen.

“Tetapi kalau dia ada kesukarelaan nak mengundi kita, itu lain cerita.. kita mengharapkan UMNO sepakat mengundi calon PAS di Port Dickson,” ujar beliau.

Beliau turut merakamkan penghargaan tentang kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menerima slogan PAS ‘Islam untuk Semua’ dalam Perhimpunan Agung UMNO semalam.

Wartawan Watan-Online

Hadi selar oportunis sembahyang, tapi 'menari Hindu, Buddha'


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kempennya di Port Dickson menegaskan jawatan tidak boleh diberikan kepada “orang yang oportunis”.

"Tempat tok lebai dia sembahyang, tempat Benggali pakai serban Sikh, tempat kuil Hindu menari Hindu, tempat Buddha menari Buddha," beliau dipetik sebagai dalam ceramah di Telok Kemang.

Laporan di Harakahdaily itu tidak menyebut secara khusus pihak yang dimaksudkan itu.

Baca: Anwar: Dulu ahli PAS pun ikut saya ke kuil

Bagaimanapun, berita sama mengkritik calon lawan mereka dari PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Hadi juga berkata seseorang mestilah konsisten dengan agamanya walau di mana berada.

"Ini orang yang boleh berlakon dengan semua puak yang ada di Malaysia ini, tak konsisten," katanya, seperti dilaporkan media rasmi PAS itu.

Anwar terkenal sebagai seorang pemimpin yang vsering memetik dan mengambil contoh pelbagai tamadun dunia dalam ucapannya.

Baru-baru ini, video aksi beliau meniru aksi seorang pelakon filem Tamil popular mendiang MG Ramachandran (MGR) menjadi tular.

Tak salah, minta ampun apa?

Sementara itu, Hadi juga berkata beliau pelik apabila ada calon yang terpaksa meminta ampun kepada Lembaga Pengampunan, ketika mengaku tidak bersalah.

"Kepada orang yang ada maruah, tak perlu minta ampun.

“Dia tidak bersalah, minta ampun apa?" ujar Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia.

Anwar bebas pada 16 Mei lalu setelah mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong daripada kesalahan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

Saiful turut bertanding menentang Anwar dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson dalam persaingan tujuh penjuru.

Sementara itu, Hadi juga mendakwa Anwar “tunduk kepada barat” ketika menguruskan krisis kewangan di hujung 90-an kerana mahu meminjam dari Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Hadi berkata IMF berada bawah pengaruh Amerika dan Zionis.

PRK Port Dickson diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada Anwar kembali ke Dewan Rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 Oktober ini sebagai hari mengundi manakala 9 Oktober sebagai hari pengundian awal.

PAS meletakkan Left. Kol (B) Nazari Mokhtar sebagai calonnya.

Hadi soal Anwar: Kenapa tak bertanding di kawasan majoriti Muslim?

Geraldine Tong 
Diterbitkan 1 Okt 2018, 8:36 pagi


PRK PD | Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mempersoalkan mengapa presiden PKR itu tidak bertanding di kawasan majoriti Muslim.

"Mengapa dia tidak cukup berani untuk bertanding di kawasan majoriti orang Islam?" soal Hadi dalam ceramah di Teluk Kemang, Port Dickson, semalam.

Beliau berucap dalam ceramah perdana pertama PAS bagi kempen PRK Port Dickson, yang secara rasminya bermula 29 September lalu selepas penamaan calon.

Kawasan Parlimen Port Dickson merangkumi 43 peratus pengundi Melayu, 33 peratus pengundi Cina dan 22 peratus pengundi India.

Hadi juga menyifatkan Anwar sebagai seorang yang "tidak konsisten" iaitu dengan menunjukkan sikap berlainan di depan kelompok yang berbeza.
Sebagai contoh, beliau berkata Anwar akan menunjukkan sisi keagamaan dalam dirinya jika beliau berada di masjid, manakala boleh pula menari ketika bersama masyarakat India.

"Kita ada budaya sendiri. Masyarakat Tamil akan menghormati kita jika kita berpendirian," katanya lagi.

Hadi juga mengkritik PRK Port Dickson itu sendiri, yang diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar.

Katanya, ia adalah satu pilihan raya yang "luar biasa" kerana diadakan untuk seorang yang "mahu jadi perdana menteri Malaysia".

"Wajarkah hanya pengundi Port Dickson yang boleh memilih bakal perdana menteri yang akan memimpin seluruh negara?"

Ia berdasarkan perjanjian antara parti komponen Pakatan Harapan bahawa Anwar akan mengambil alih Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

PAS sedia terima 'bantuan ghaib'

MyMetro
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@nstp.com.my

ABDUL Hadi berucap di Kampung Teluk Kemang. FOTO Bernama

PAS terbuka menerima mana-mana pihak yang sedia membantu kempen calonnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, 13 Oktober ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang berkata, ia termasuk jika ada ahli UMNO yang membantu walaupun kedua-dua parti itu tidak mempunyai ikatan khusus, malah pemimpin UMNO sendiri tidak akan turun membantu kempen pembangkang.

Ditanya kemungkinan ada ahli atau jentera UMNO membantu kempen PAS secara ‘senyap-senyap’, beliau menjawab: "Ini negara demokrasi dan PAS menerima siapa saja yang menyokong kita tapi ‘perkara ghaib’ (bantuan senyap-senyap UMNO) saya tak tahulah. "UMNO tak benarkan ahli dia bantu (kempen PAS) tapi mungkin ada ahlinya yang undi calon kita," katanya pada sidang media selepas Ceramah Perdana PAS sempena kempen PRK Parlimen Port Dickson di Teluk Kemang, Port Dickson, malam tadi.

Hadir sama Naib Presiden PAS, Idris Ahmad; Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mustaffa Daharun; Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Salleh; Pengarah Strategi Dewan Pemuda PAS, Syahir Sulaiman dan calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar.

UMNO memutuskan untuk memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson dan berpendirian tidak menyokong atau membantu mana-mana calon pembangkang atau Bebas yang bertanding.

Hadi turut menyifatkan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak konsisten dalam mempertahankan jati diri sebagai seorang Islam.

"Bila di masjid, beliau menjadi imam tetapi apabila berada di kuil, beliau berpakaian dan menari bersama penganut agama lain.

"Memang ada kebebasan beragama tetapi biarlah konsisten dengan agama sendiri," katanya.

Hadi berkata, masyarakat India dan Cina atau kaum apa sekalipun akan menghormati Islam jika penganutnya memiliki jati diri tinggi.

PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru membabitkan Anwar dan Mohd Nazari serta lima calon Bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 2:21 AM

Sunday, September 30, 2018

Saya bukan diarah Dr Mahathir - Isa

BERITA
Ahad, 30 September 2018 | 5:37pm
Oleh Syed Umar Ariff dan Ifwan Tun Tuah
cnews@nstp.com.my

MOHD Isa menafikan diarah oleh Tun Dr Mahathir untuk bertanding pada PRK Parlimen Port Dickson. - NSTP

PORT DICKSON: Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad, menafikan diarah oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Mohd Isa menegaskan tidak pernah bertemu Perdana Menteri sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Saya tidak diletakkan oleh Tun M (Dr Mahathir). Saya tidak berjumpa beliau dan tiada sebab untuk berjumpa dengannya.

"Isu ini adalah ciptaan pemimpin PKR sendiri. Biasalah, orang buat khabar angin dalam pilihan raya termasuk perkara seperti ini.

"Saya tidak perlu diletakkan sesiapa. Ini bukan kali pertama saya bertanding, malah ini kali ke-10. Saya tak perlu diajar oleh sesiapa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi rumah rakan lamanya dalam siri kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson di Kampung Jimah Lama di sini, hari ini.

Mohd Isa mendakwa, teori konspirasi seperti itu direka dan disebarkan oleh pemimpin PKR tertentu untuk mensensasikan keadaan.

"Kalau ada orang mahu letakkan saya bertanding di situ pun, apa salahnya?" katanya dalam nada berseloroh.

Mohd Isa berdepan saingan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon PAS, Lt Kol(B) Mohd Nazari Mokhtar serta empat calon Bebas yang lain pada PRK Port Dickson.

Thursday, September 13, 2018

Beri sajalah Anwar menang percuma


UMNO dan Barisan Nasional (BN) sewajarnya tidak meletakkan calon bagi menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Hal ini kerana berdasarkan rekod parti itu dalam tiga PRK kebelakangan ini langsung tidak memihak kepada mereka.

Pandangan itu disuarakan oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Husin yang percaya parti perlu membiarkan sahaja Anwar menang percuma di Port Dickson dan memberi laluan kepada Presiden PKR itu ke Kabinet.

“Sama ada Anwar menang atau tidak, langsung tidak memberikan kesan kepada UMNO dan BN. Biarlah Anwar bertanding, parti tidak perlu menghabiskan masa, wang dan tenaga demi cita-cita Anwar itu.

“Biarkan Anwar menang percuma di Port Dickson setersnya menjadi laluan ke Kabinet dan saksikan episod drama antara beliau dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

 – UTUSAN ONLINE

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-