Sunday, October 7, 2018

Mantan CJ: Bolehkah bekas banduan bertanding pilihan raya?

Diterbitkan 7 Okt 2018, 11:20 malam | Dikemaskini 7 Okt 2018, 11:34 malam

Yang di-Pertuan Agong tidak perlu bertindak berdasarkan nasihat Lembaga Pengampunan untuk membatalkan kehilangan kelayakan seseorang banduan daripada bertanding pilihan raya, kata bekas ketua hakim negara Tun Abdul Hamid Mohamad.

Beliau berkata Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan memang memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong kuasa untuk "memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum" (grant pardons, reprieves, respites) terhadap semua kesalahan di dalam negara mengikut nasihat Lembaga Pengampunan.

Namun, kata Abdul Hamid Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan juga memberikan kuasa untuk membatalkan kehilangan kelayakan bertanding.

"Lembaga Pengampunan ditubuh di bawah Perkara 42 untuk tujuan perkara tersebut sahaja. Tidak disebut sama ada dalam Perkara 42 atau 48 bahawa ia terpakai bagi Perkara 48.

"Lagi pula pembatalan kehilangan kelayakan bukanlah satu pengampunan yang dimaksudkan oleh Perkara 42.

"Oleh itu, saya berpendapat, baginda tidak perlu melakukannya atas nasihat Lembaga Pengampunan. Sama ada baginda perlu melakukannya atas nasihat Perdana Menteri adalah satu perkara lain.

"Maka, seorang yang kehilangan kelayakan menjadi ahli parlimen di bawah Perkara 48(1)(e) yang tidak mendapat pengampunan bebas, boleh memohon untuk diberi pembatalan kehilangan kelayakan mengikut Perkara 48(3).

Pengampunan bebas layak jadi PM

"Jika dia mendapat pembatalan kehilangan kelayakan mengikut Perkara 48, walaupun dia tidak mendapat pengampunan bebas di bawah Perkara 42, dia boleh bertanding dari dalam penjara dan menjadi seorang ahli parlimen walau pun dia terus menjalani hukuman penjara.

"Malah, dia boleh menjadi perdana menteri jika partinya menang majoriti," kata beliau dalam hantaran blognya hari ini.

Beliau berkata demikian di tengah-tengah pertikaian di mahkamah yang memohon pengisytiharan calon PRK Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak layak bertanding kerana terdapat kecacatan dalam pengampunan kesalahan liwatnya.

Pengundi Port Dickson, Noraziah Mohd Shariff berkata Lembaga Pengampunan tidak dibentuk berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz sebelum ini berkata Anwar dibeirkan "pengampunan penuh" tetapi Hamid memaklumkan istilah itu tidak digunakan dalam perlembagaan negara.

Hamid juga berkata di bawah Perkara 42, perlembagaan tidak mentakrifkan "pengampunan bebas." Justeru, katanya terserah kepada mahkamah untuk memutuskan maksud "pengampunan bebas" dan "pengampunan penuh" serta jika kedua istilah memberikan erti yang sama.

Hantaran penuh blog bekas CJ

Malaysiakini menerbitkan semula secara penuh hantaran Hamid di blognya yang berjudul "Pengampunan dan pembatalan kehilangan kelayakan untuk menjadi ahli parlimen" di bawah ini:

Perkara 42(1) Perlembagaan, antara lain, memperuntukkan:

42. (1) Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan …yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan…”.

Dalam Bahasa Inggeris, bahasa rasmi Perlembagaan, kata-kata ampun, tunda hukum dan lega hukum itu adalah “pardons, reprieves and respites”. Oleh sebab bahasa rasmi Perlembagaan adalah bahasa Inggeris, eloklah kita lihat makna perkatan-perkataan “pardon, reprieve dan respite” itu.

Cambridge English Dictionary menjelaskan makna “pardon” seperti berikut: “If someone who has committed a crime is pardoned, that person is officially forgiven and their punishment is stopped.” (Jika seseorang telah melakukan satu kesalahan jenayah diampunkan, orang itu dengan rasminya dimaafkan dan hukuman ke atasnya dihentikan.)

“Reprieve” bererti “to stop or delay the punishment, especially by death, of a prisoner.” (“Repreive” bererti menghentikan atau melambatkan hukuman, terutama sekali hukuman mati, seorang pesalah).

“Respite” bererti “to postpone a sentence, etc” (“Respite” bererti menangguhkan hukuman dan sebagainya.)

Makna bertindih tiga perkataan

Dapat diperhatikan bahawa ketiga-tiga perkataan itu mempunyai makna yang bertindih. Juga dapat diperhatikan bagaimana penterjemah Perlembagaan menghadapi masalah menterjemahnya.

Bagi tujuan kita, memadailah jika dikatakan bahawa di bawah Perkara 42 itu, berbagai-bagai jenis “pengampunan” boleh diberi. Misalnya, jika seseorang yang belum menjalani hukuman penjara “diampunkan”, dia tidak perlu menjalani hukuman itu.

Jika dia telah menjalani sebahagian daripada hukuman penjara yang di kenakan ke atasnya, dia tidak perlu menjalani baki hukumannya. Hukuman yang dijatuhkan ke atas seseorang pesalah boleh ditangguh, seperti hukuman mati.

Atau hukuman ke atasnya boleh digantikan dengan hukuman yang lebih ringan. Hukuman penjara juga boleh dipendekkan.

Jika seseorang itu diberi pengampunan dan dibebaskan serta merta, maka ertinya, dari saat keputusan itu dibuat, dia tidak perlu lagi menjalani hukuman penjara itu.

Tiada kata "pengampunan penuh" dalam perlembagaan

Kata-kata “pengampunan penuh” tidak digunakan dalam perlembagaan. Jika Lembaga Pengampunan memberi “pengampunan penuh dan pembebasan serta merta”, makna yang boleh diberi ialah bahawa pesalah itu diampunkan kesalahannya dan dia dibebaskan daripada menjalani hukuman yang sedang dijalaninya dengan serta merta.

Pemberian pardon, reprieve dan respite itu tidak bererti sabitan dan hukuman yang dikenakan ke atas pesalah itu di mansuhkan atau dipadamkan daripada rekod mahkamah. Peritah itu kekal, cuma pesalah itu diampunkan atau dimaafkan daripada menjalani hukumannya.

Pengampunan itu tidak boleh disamakan dengan perintah mahkamah to set aside(mengenepikan), quash (membatalkan), atau deklarasi null and void (tak sah dan batal). Hanya mahkamah yang boleh membuat perintah-perintah itu.

Perhatikan bahawa Perkara 42 tidak menyebut langsung hubungan pengampunan di bawah perkara itu dengan kelayakan atau pembatalan kehilangan kelayakan seseorang ahli Parlimen. Tetapi, ia dikaitkan oleh Perkara 48(1)(e).

Perkara 48(1) memperuntukkan:

48. (1) Tertakluk kepada peruntukan Perkara ini, seseorang hilang kelayakan untuk menjadi ahli mana-mana satu Majlis Parlimen jika—
…..

(e). dia telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Wilayah-wilayah Persekutuan …. dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan dia tidak mendapat pengampunan bebas; atau
……….

(3) Kehilangan kelayakan seseorang di bawah perenggan…. (e) Fasal (1) boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong…”

Perkara 48 (1)(e) menyebut apa yang menyebabkan seorang itu hilang kelayakan. Ia juga menyebut pengecualiannya iaitu jika orang itu mendapat pengampunan bebas. (free pardon). Anehnya, perkataan “pengampunan bebas” tidak digunakan dalam Perkara 42.

Tugas mahkamah taksirkan

Kesan kedua-dua peruntukan itu, apabila dibaca bersamaan, ialah:

1. Seseorang itu hilang kelayakan untuk menjadi ahli Parlimen jika dia telah disabitkan atas suatu kesalahan dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit. (Perkara 48(1)(e)).

2. Jika dia mendapat pengampunan bebas, dia tidak hilang kelayakan itu. (Pekara 48(1)(e)).

3. Jika dia tidak mendapat pengampunan bebas, kehilangan kelayakan itu boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong. (Perkara 48(3)).

Apakah ertinya “pengampunan bebas”? Ini tidak ditafsirkan. Bolehkah ia disamakan dengan “pengampunan penuh”? Ini adalah tugas mahkamah untuk mentafsirkannya.”

Di bawah Perkara 42, Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan atas nasihat Lembaga Pengampunan. Adakah dalam membatalkan kehilangan kelayakan juga, baginda dikehendaki melakukannya atas nasihat Lembaga Pengampunan?

Lembaga Pengampunan ditubuh di bawah Perkara 42 untuk tujuan perkara tersebut sahaja. Tidak disebut sama ada dalam Perkara 42 atau 48 bahawa ia terpakai bagi Perkara 48. Lagi pula pembatalan kehilangan kelayakan bukanlah satu pengampunan yang dimaksudkan oleh Perkara 42.

Nasihat Lembaga Pengampunan

Oleh itu, saya berpendapat, baginda tidak perlu melakukannya atas nasihat Lembaga Pengampunan. Sama ada baginda perlu melakukannya atas nasihat perdana menteri adalah satu perkara lain.

Maka, seorang yang kehilangan kelayakan menjadi ahli parlimen di bawah Perkara 48(1)(e) yang tidak mendapat pengampunan bebas, boleh memohon untuk diberi pembatalan kehilangan kelayakan mengikut Perkara 48(3).

Jika dia mendapat pembatalan kehilangan kelayakan mengikut Perkara 48, walaupun dia tidak mendapat pengampunan bebas di bawah Perkara 42, dia boleh bertanding dari dalam penjara dan menjadi seorang ahli parlimen walau pun dia terus menjalani hukuman penjara. Malah, dia boleh menjadi perdana menteri jika partinya menang majoriti!

Bagaimana dia akan menghadiri persidangan parlimen adalah perkara lain. Penguasa penjara patut memberi kemudahan kepadanya.

Bagaimana dia akan menjalankan tugas sebagai perdana menteri jika dia menjadi perdana menteri?

Kita tidak perlu memikirkan pilihan-pihan lain. Jika seorang banduan boleh diberi “pengampunan penuh” hanya untuk bertanding untuk menjadi ahli parlimen, dan selepas itu (mungkin) menjadi perdana menteri, seorang banduan yang partinya telah menang majoriti (jika itu berlaku) dan dipersetujui oleh partinya untuk menjadi perdana menteri tentulah berada di kedudukan yang lebih kuat untuk diberi pengampunan bebas!

Berdasarkan precedent yang ada, apakah alasan untuk menolaknya? Sama ada orang ramai mahukan seorang yang disabitkan kesalahan menjadi perdana menteri adalah perkara lain.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-