
Dalam minit-minit terakhirnya ketika meringkuk di penjara, Prabu Pathmanathan, 31, rakyat Malaysia yang digantung sampai mati di Singapura pagi ini, ingin mengongsi mesej terakhirnya.
Beberapa gambar yang diambil semasa hayat Prabu dikongsi di laman Facebook "Kami Percaya dengan Peluang Kedua" pada petang ini, iaitu beberapa jam selepas hukuman mati itu dilaksanakan berhubung kesalahannya mengedar dadah.
"Dia harap dapat gesa orang ramai supaya jangan terbabit dengan dadah," kata hantaran itu.
Mengikut catatan berkenaan, Prabu menyampaikan amanatnya melalui seorang rakan yang merupakan orang terakhir yang menemaninya, bersama abangnya.
Di Twitter, aktivis Singapura, Kirsten Han berkata dia dimaklumkan oleh rakan Prabu itu bahawa gambar-gambar itu diambil malam semalam.
"Dari apa yang saya tahu, pihak penjara meminta keluarganya untuk membeli / membawa baju hariannya, kemudian mereka mengambil gambar sebelum hukuman dilaksankan.
"Foto-foto itu kemudiannya diberikan kepada keluarga," kata Han, yang juga ketua pengarang, New Naratif.
Antara gambar itu menunjukkan Prabu berpakaian t-shirt biru dan melilit kepalanya dengan kain putih.
Dalam sekeping gambar, dia kelihatan tenang, dan dirakamkan mengukir senyuman sambil memegang kitab suci Bhagavad Gita.
Peguam N Surendran, yang mewakili keluarga Prabu, berkata pelaksanaan hukuman mati itu sebagai kejam dan “melanggar proses wajar”.
Prabu, dijatuhi hukuman mati bagi kesalahan menyeludup 227.82g dadah diamorphine atau heroin ke negara pulau itu pada 31 Dis, 2014.
[Baca berita penuh]
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.