Showing posts with label penjara. Show all posts
Showing posts with label penjara. Show all posts

Thursday, January 30, 2025

'Najib bos saya, sahabat seperti adik beradik' - Zahid

bharian.com.my
Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Januari 30, 2025 @ 7:14pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) bersama Datuk Seri Najib Razak.

BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Datuk Seri Najib Razak sebagai bos atau orang atasan selain sahabat yang dianggap seperti adik-beradik.

Ahmad Zahid berkata, rasa hormat beliau kepada Najib tidak pernah luntur biarpun sahabatnya itu menjalani hukuman penjara sementara beliau sendiri yang sebelum ini turut terpalit kes mahkamah, kini dibebas tanpa dilepaskan (DNAA).

"Kalau ikutkan, ada orang politik yang berhajat untuk Datuk Seri Najib dan saya masuk penjara sama-sama... di atas kertas memang saya patut berada di (Penjara) Kajang atau Sungai Buloh tetapi Allah SWT mengkehendaki sesuatu maka jadilah ia.

"Apa yang jadi pada Datuk Seri Najib tak berlaku pada saya. Namun tidak sedikit pun mengurangkan rasa hormat saya dan kasih saya kepada Datuk Seri Najib iaitu bos saya, sahabat saya seperti adik-beradik," katanya ketika berucap pada program Sesi Ramah Mesra dan Taklimat Projek Pembinaan Bangunan Sekolah Menengah (SM) Imtiyaz Tuminah Hamidi, di sini hari ini.

Presiden UMNO itu berkata, beliau mengakui terpaksa berdepan malu apabila difitnah serta dikenakan 87 pertuduhan di mahkamah selain menyebabkan sebahagian wangnya.

"Ketika itu saya difitnah, saya dimalukan dengan pelbagai... tidak mengapa, Allah SWT sudah menyelamatkan saya dan saya rasa Alhamdulillah kerana Allah menyelamatkan saya kerana kerja-kerja saya adalah kerja-kerja agama.

"Insya-Allah kalau kita jaga agama Allah SWT, maka Dia akan jaga kita. Itu pasti, pasti dan pasti," katanya.

Mengenai SM Imtiyaz Tuminah, Ahmad Zahid berkata pembinaannya adalah wakaf peribadi beliau atas nama arwah ibu bapanya dengan hasrat bahawa sekolah tahfiz itu sebagai antara institusi pendidikan yang akan menjadikan Bagan Datuk berkembang sebagai pusat tumpuan pendidikan.

"Sekarang yang ada adalah bangunan setingkat, (namun) yang kita akan lihat nanti di belakangnya adalah bangunan tiga tingkat yang mengandungi asrama, dewan, dan sekolah (ruang belajar).

"Wang untuk membina perkara ini sudah dibekukan (sebelum ini) apabila saya difitnah dan dikenakan 87 pertuduhan. Tetapi Allah SWT memperlihatkan Dia sebagai Tuhan Yang Maha Besar, Maha Penyayang, Maha Pengasih," katanya.

Pada Januari 2024, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, dana Yayasan Akalbudi yang dibekukan susulan kesnya di mahkamah dijangka dicairkan semula serta dipulangkan kepada beliau sebagai pemegang amanah dalam tempoh terdekat dan akan diguna bagi membiayai perbelanjaan Maahad Tahfiz.

Mahkamah Tinggi pada 4 September 2023 melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi, selepas pihak pendakwaan memberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara mahu menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid itu.

Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September tahun sama.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta, menjadikan beliau bakal bebas pada 23 Ogos 2028.

Wednesday, September 13, 2023

Hadi tak akan bayar denda, rela masuk penjara

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 13, 2023
Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata dia akan memilih masuk penjara daripada membayar denda, jika disabitkan bersalah dalam kes mahkamah yang mungkin dihadapinya.

Katanya, wang denda itu lebih baik disalurkan kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), badan didikan awal kanak-kanak yang diperkenalkan PAS.

“Tak tahu sama ada hukum penjara atau denda, (tapi) saya pilih penjara.

“(Kalau) denda lebih baik bagi pada Pasti, derma pada Pasti,” katanya ketika membahaskan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-12 di parlimen hari ini.
Hadi disiasat bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia kerana berkata kuasa mengampunkan pesalah patut diberikan kepada keluarga mangsa.

Menyifatkan amalan sekarang bertentangan dengan Islam, dia dianggap mempertikaikan kuasa badan itu yang diketuai oleh sultan di peringkat negeri dan yang di-Pertuan Agong di peringkat pusat.

Pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim, yang disabitkan bersalah dalam kes liwat, dibebaskan daripada penjara selepas gabungan itu menang dalam pilihan raya umum 2018 selepas mendapat pengampunan penuh diraja.

Kertas siasatan terhadap Hadi sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada minggu lepas.

Setakat ini belum ada keputusan dibuat sama ada kes itu akan dibawa ke mahkamah atau tidak.


Hadi yang juga anggota parlimen Marang disiasat bawah Seksyen 4 Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Bagi kesalahan bawah seksyen 4, diperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Seksyen 233–penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan–pula memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000, penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Friday, September 8, 2023

‘Zahid lepas tapi pencuri RM22 berdepan penjara 10 tahun’

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 8, 2023 
Biro undang-undang Bersatu mendakwa pentadbiran Anwar Ibrahim pilih kasih.

Timbalan ketuanya Sasha Lyna Abdul Latif berkata demikian ketika membandingkan kes Zahid Hamidi dengan kes curi tabung masjid sebanyak RM22 di Kuala Terengganu.

Katanya, terdapat perbezaan ketara apabila pihak pendakwaan memohon Zahid dilepaskan sedangkan tertuduh kes kecil berdepan penjara 10 tahun.
Sasha Lyna Abdul Latif
“Kenapa ada beza antara layanan terhadap rakyat biasa yang menganggur dengan timbalan perdana menteri,” soalnya.

Dia menegaskan bahawa Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa semua orang sama di sisi undang-undang.

Isnin lalu, pihak pendakwaan memohon menghentikan prosiding walaupun mahkamah telah memerintahkan tertuduh membela diri selepas kes prima facie dibuktikan.

Pihak pendakwaan antaranya memberi alasan bagi membenarkan SPRM menjalankan siasatan lanjut, melihat kemungkinan terdapat pendakwaan terpilih; dan menunggu suruhanjaya siasatan diraja mengenai memoir bekas peguam negara Tommy Thomas.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur justeru melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.
Ahmad Zahid Hamidi
Sementara dalam kes curi di Kuala Terengganu itu, penganggur 45 tahun Suhaidi Abdul Hamid mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmod.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri duit tabung Masjid Pulau Sekati, Kuala Terengganu pada 27 Jun lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

[Baca berita asal]

Tuesday, June 20, 2023

Isu Hakim Nazlan: Anak Najib tak puas hati dengan kenyataan PMX di Dewan Negara

agendaily.com
20/06/2023
Nooryana Najwa bersama bapanya, Datuk Seri Najib Razak di mahkamah.

Anak perempuan bekas Perdana Menteri, Nooryana Najwa Najib tidak berpuas hati dengan keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membebaskan Hakim Datuk Seri Mohd Nazlan Mohd Ghazali daripada kesalahan jenayah.

Anak perempuan Datuk Seri Najib Razak itu memberikan reaksi susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Negara yang mengesahkan tiada sebarang bukti kesalahan jenayah ditemui terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Nooryana sebaliknya berkata amat bimbang dengan penemuan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan sebelum ini seolah-olah apabila seseorang itu didakwa atas kesalahan mencuri, pihak pendakwa tidak perlu membuktikan dari mana wang yang didakwa dicuri itu.

“Bolehkah anda bayangkan betapa mudahnya untuk memfitnah orang lain jika kaedah ini turut diguna pakai untuk kes lain? Hujah ini turut mengecewakan saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini memutuskan tiada keperluan untuk membuktikan secara khusus laluan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) bagi menentukan sama ada berlaku penyelewengan.

Malah, mahkamah menganggap sumber dana itu tidak relevan.

Mahkamah Persekutuan juga berpendapat, pihak pendakwaan tidak perlu menyediakan bukti jalinan langsung sumber wang yang dikatakan haram kepada SRC untuk membuktikan terdapat penyalahgunaan dana daripada SRC.

Mahkamah juga menganggap asal usul dana (haram) itu tidak penting dalam perkara ini.

Nooryana menyifatkan situasi ini janggal dalam sistem keadilan Malaysia.

“Beliau (Hakim Nazlan) adalah Penasihat Am Maybank, dan Maybank dikaitkan langsung dengan SRC. Walaupun tiada kesalahan jenayah ditemui, adalah penting untuk diakui bahawa SPRM dan AGC (Jabatan Peguam Negara) percaya Hakim Nazlan telah melanggar kod etika hakim dalam mengendalikan kes SRC.

“Ekoran itu, AGC telah mengarahkan SPRM menghantar satu surat rasmi dan melaporkan perkara ini kepada Ketua Hakim Negara, dan turut menggesa agar tindakan sewajarnya dikenakan terhadap Nazlan,” tambahnya.

Menurut Nooryana, jika tindakan Nazlan didapati melanggar kod etika hakim, ia akan menimbulkan kebimbangan serius tentang kesahihan keputusannya berhubung kesalahan Najib dalam kes SRC.

“Kami amat percaya bahawa keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan tetapi juga mesti dilihat telah dilaksanakan.

“Ini bagi memastikan proses kehakiman yang adil dan saksama untuk semua pihak yang terlibat.

“Justeru, kami dengan rendah hati memohon siasatan menyeluruh terhadap perkara ini untuk menegakkan integriti badan kehakiman dan memulihkan keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan,” katanya lagi.

Thursday, June 8, 2023

Keluarga harap momentum bebaskan Najib akan berterusan

malaysiakini.com
B Nantha Kumar
Diterbitkan: Jun 8, 2023 6:14 PM
Keluarga Najib Razak berharap momentum bagi membebaskan bekas perdana menteri itu yang kini menjalani hukuman penjara tidak akan berhenti.

Hadir pada Perhimpunan Agung Umno 2023, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini, anaknya, Mohd Nizar berkata bahawa ada penyokong parti melahirkan rasa merasa risau dengan keadaan ayahnya yang masih meringkuk di Penjara Kajang.

"Saya yakin Umno masih memperjuangkan pembebasan ayanda. Tapi, selaku ahli keluarga saya tidak mahu momentum itu jadi perlahan atau dihentikan ataupun orang mudah lupa.

"Jadi, kita kena sentiasa memperingati bahawasanya beliau masih di dalam (penjara) dan saya harap usaha-usaha untuk membebaskan dan membela beliau akan terus diadakan," katanya kepada pemberita.
Terdahulu, pagi tadi Pergerakan Pemuda Umno memberikan anugerah Tokoh Pemuda Umno Malaysia kepada bekas presiden parti itu bagi menghargai pengorbanannya. Najib juga pernah memimpin Pemuda Umno bermula Mei 1988 sehingga 1993.

Trofi anugerah disampaikan oleh Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh kepada Najib yang diwakili oleh anaknya, Nizar dan adiknya Nazifuddi bagi pihak keluarga.

Pada majlis itu, kedua-dua mereka tidak dapat menahan diri daripada sebak dan menitiskan air mata.

Sebuah video turut ditayangkan kepada perwakilan Pemuda Umno yang menceritakan sejarah dan rekod khidmat Najib sepanjang berkecimpung dalam politik.

Dewan Tun Razak kemudiannya bergema dengan laungan Bossku yang sinonim dengan nama Najib.
Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi tujuh pertuduhan jenayah dalam kes membabitkan SRC International Sdn Bhd.

Sementara itu, Nizar berkata bahawa ahli keluarganya menyerahkan kepada kepimpinan parti untuk mengambil tindakan sewajarnya dalam usaha membebaskan bekas ahli parlimen Pekan itu.

Katanya, ia termasuk membentangkan sebarang usul pada perhimpunan agung tahun ini atau menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang dijangka menghadiri perhimpunan itu esok.
"Saya serah kepada kepimpinan parti melaksanakan kebijaksanaan mereka menentukan apakah langkah-langkah sewajarnya membantu ayanda dibebaskan.

"Sudah tentu selaku ahli keluarga saya sangat berharap suatu akan dilakukan agar beliau dapat pembelaan yang secukupnya dan dibebaskan dalam masa yang terdekat," katanya.

Pada 31 Mac lalu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, dalam keputusan majoriti 4-1, menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan terhadap kes rasuah SRC International.

Keputusan itu selari dengan keputusan pada 23 Ogos tahun lepas oleh panel hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mengekalkan keputusan bersalah Najib serta hukuman 12 tahun dan denda RM210 juta yang dijatuhkan.
Umno yang kini menjadi parti penting dalam pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, telah memfailkan petisyen untuk memohon pengampunan terhadap Najib.

Tindakan itu memberi tekanan kepada Anwar yang turut berada dalam Lembaga Pengampunan - atas kapasitinya sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan - yang akan menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung permohonan itu.

Najib juga mempunyai tiga lagi kes mahkamah jenayah yang belum selesai - iaitu perbicaraan rasuah 1MDB , membabitkan penyelewengan RM2.28 bilion, kes pengubahan wang haram SRC International berasingan melibatkan RM27 juta, dan kes pecah amanah International Petroleum Investment Company (IPIC) bernilai RM6.6 bilion.

Tuesday, April 18, 2023

Biar Najib merengkok dalam penjara, janji DAP kekal naik junjung

agendaily.com
18/04/2023
Veteran DAP Lim Kit Siang tidak mahu Datuk Seri Najib Razak diberikan pengampunan.

Jika UMNO bukan lagi payung, cari dan berteduh lah di bawah payung lain yang lebih meyakinkan, jujur dan bersungguh-sungguh mahu berjuang serta mempertahankan hak dan kepentingan bangsa Melayu.

Demikian ditegaskan, Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir sambil turut kasihan kepada UMNO yang perlu diberi nasihat oleh veteran DAP, Lim Kit Siang, bagaimana untuk menentang parti Melayu lain.

Mengulas kenyataan Kit Siang berkaitan UMNO dan pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Razak, Roslan berkata bekas ahli Parlimen DAP itu hanya mahu menjadikan UMNO sebagai akat atau perkakas kepada kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

“Laporan (media) menyebut Kit Siang bimbang pengampunan untuk Najib boleh jejaskan UMNO dan kerajaan perpaduan.

“Yang berkata tu bukan veteran atau pimpinan UMNO atau pejuang Melayu tetapi veteran dan “Penasihat Agung” DAP iaitu Lim Kit Siang.

“Pemimpin bukan Melayu yang tidak pernah senang dengan politik Melayu boleh pula beri tunjuk ajar pada UMNO bagaimana mahu bergasak dengan parti Melayu lain. Masih tak nampakkah kita?,” katanya dalam kenyataan hari ini (18 April 2023).

Menurut Roslan lagi, Kit Siang bukan sayang pada UMNO pun tetapi sebenarnya sayang kepada kerajaan campuran yang mana DAP paling dominan.

“Kit Siang tak mahu lihat DAP hilang kuasa lagi. UMNO sekadar alat atau perkakas pada mata beliau. UMNO biar kuat agar dapat sekat pengaruh Bersatu dan PAS, agar DAP kekal berkuasa, butakah kita?

“Dan kepada penyokong dan mereka yang bersama Najib, pada Kit Siang sebarang usaha memberi pengampunan pada Najib adalah musibah buat kerajaan campuran PH, DAP.

“Dalam erti kata lain biar Najib kekal merengkok di penjara yang penting DAP kekal naik junjung,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan bekas Ahli Majlis Tertinggi, Tan Sri Noh Omar, Roslan berkata UMNO Selangor hari ini dipaksa berpeluk dengan musuh tradisinya PH dan DAP di Selangor angkara Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Kalau yang keluar kenyataan ini tokoh yang ditolak rakyat, tak pernah menang, yang naik dengan tongkat orang lain mungkin ia boleh ditolak tepi dan diabaikan.

“Tapi bila Tan Sri Noh yang berkata UMNO bukan lagi payung orang Melayu, akurlah bahawa ia kenyataan seorang bekas tokoh pejuang UMNO yang kenal UMNO Selangor luar dan dalam,” katanya.

Sebelum ini, Noh berkata rakyat tidak lagi percaya dengan prinsip UMNO yang sebelum ini sering mengungkapkan perkataan ‘No Anwar, No DAP’ sebaliknya menjalin kerjasama membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Rakyat berasa mereka ditipu, lain cakap lain yang dibuat. Ini bukan saya cakap, ini apa yang anak muda beritahu mereka tidak mahu BN, sebaliknya sokong PN (Perikatan Nasional),” katanya.

Friday, October 21, 2022

'Anwar boleh kempen dari penjara tapi Najib tak boleh?'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 21, 2022 8:00 AM
Anak perempuan Najib Razak, Nooryana Najwa menyoal mengapa ketua pembangkang ketika dipenjarakan Anwar Ibrahim boleh berkempen untuk isterinya pada pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 2015.

Kata Nooryana, sedangkan bapanya pula dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan dari penjara berhubung pilihan raya umum (PRU15) akan datang.

"Kenapa Anwar boleh tapi Najib tak boleh," katanya pada hantaran di Instagram semalam.

Dia juga memuat naik petikan berita mengenai Anwar, yang mesejnya disampaikan melalui peguamnya Latheefa Koya agar rakyat mengundi PKR dan calonnya ketika itu Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pada 2015, Anwar dijatuhkan hukuman penjara lima tahun atas tuduhan liwat.

Petikan berita kedua yang disiarkan Nooryana memaparkan kenyataan Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara Supri Hashim.

Supri berkata banduan yang sedang menjalani hukuman di penjara tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan untuk tujuan berkempen sempena PRU15.

Jelasnya, larangan itu turut termasuk bekas perdana menteri Najib Razak.

Menurut Supri, sebarang surat yang mahu dihantar kepada keluarga, dokumen atau apa jua urusan, akan ditapis terlebih dahulu oleh pihak Jabatan Penjara.

"Jabatan Penjara tiada kena mengena dengan politik dan kami hanya laksanakan tanggungjawab waima apa pun kerajaan yang memerintah,” katanya, lapor Bernama.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah dalam kes menyelewengkan dana SRC International Sdn Bhd.

Tuesday, October 11, 2022

Najib tidak dibenarkan keluar berkempen PRU15 - Penjara

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 11, 2022 6:39 PM
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sentiasa tertakluk kepada akta dan peraturan semasa beliau menjalani hukuman penjara.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia Datuk Nordin Muhammad berkata selagi Najib masih menjalani hukuman itu, beliau tidak dibenarkan keluar berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Keadaan dan peraturan masih sama… jadi selagi beliau masih menjalani hukuman dalam penjara, beliau tertakluk kepada akta dan peraturan penjara,” katanya kepada media pada majlis pelancaran Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2022 (Akta A1660) di Ibu Pejabat Penjara Malaysia di Kajang hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian pihak penjara sekiranya ada permohonan daripada penyokong Najib agar penyandang kerusi Parlimen Pekan itu diberi kebenaran khas untuk keluar berkempen pada PRU15.

Bagaimanapun, Nordin berkata selain permohonan untuk menghadiri sesi sidang Parlimen yang telah ditolak, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan lain daripada bekas Perdana Menteri itu.

Beliau turut mengulangi bahawa Najib tidak pernah menerima sebarang layanan istimewa sepanjang menjalani hukuman penjara seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Nordin berkata Najib sama seperti banduan lain yang tertakluk kepada peraturan dan Akta Penjara selain prosedur operasi standard jabatan itu.

“Kami memberi layanan yang sama kepada semua penghuni di sini dan tiada istilah pilih kasih kepada banduan di sini,” katanya.

Pada 23 Ogos lepas, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta.

- Bernama

Monday, October 3, 2022

Najib pertimbang tindakan undang-undang jika tak dibenar hadir parlimen

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Oct 3, 2022 5:49 PM
Peguam yang mewakili Najib Razak memberi masa sehingga jam 12 tengah hari esok kepada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin untuk menjawab rayuan supaya ahli parlimen Pekan itu dibenarkan hadir ke parlimen.

Jika tidak, pasukan peguam bekas perdana menteri itu akan memfailkan tindakan undang-undang untuk membolehkan Najib berbuat demikian.

Ketua peguam bela Najib, Mohamed Shafee Abdullah petang tadi mendedahkan Jabatan Penjara minggu lepas tidak membenarkan permohonan Najib untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat, yang disambung semula hari ini.

Terdahulu semasa persidangan Dewan Rakyat hari ini, Speaker Azhar Azizan Harun berkata Najib dibenarkan menghadiri sidang tersebut sekiranya mendapat kebenaran daripada pihak penjara.

Semasa sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Shafee mendakwa Ketua Pengarah Penjara (yang tidak disebut namanya) tidak membenarkan Najib menghadiri Dewan Rakyat atas alasan keselamatan.

Peguam itu berkata bahawa isu keselamatan adalah satu alasan "pelik" kerana parlimen adalah bangunan paling selamat jika dibandingkan dengan kompleks mahkamah tempat Najib dibawa untuk menghadiri kes mahkamahnya yang sedang berjalan.
Shafee berkata, pihak penjara tidak membangkitkan isu keselamatan ketika Najib dibawa ke hospital (dipercayai merujuk kepada lawatan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum ini dan kemudian ke Hospital Rehabilitasi Cheras).

Peguam itu mendakwa dia telah menulis surat kepada Azhar, yang mengesahkan Najib masih ahli parlimen Pekan berikutan dua rayuan Najib yang sedang berjalan.

Permohonan itu adalah kepada panel Mahkamah Persekutuan yang berasingan untuk menyemak sabitan dan hukuman penjara 12 tahun bagi kes rasuah SRC International RM42 juta, dan yang kedua ialah di hadapan Lembaga Pengampunan untuk pengampunan diraja dalam kes rasuah itu.

Peguam itu berkata bahawa mereka telah menulis surat kepada Hamzah untuk merayu terhadap keputusan pihak berkuasa penjara, dan jika mereka tidak mendengar apa-apa atau mendapat jawapan yang tidak menyenangkan daripada menteri dalam negeri sebelum pukul 12 tengah hari esok, maka semakan kehakiman akan difailkan di mahkamah.

Shafee berkata jika semakan kehakiman difailkan, maka ia akan menjadi tindakan undang-undang yang pertama di Malaysia kerana ia boleh membenarkan mana-mana ahli parlimen yang telah disabitkan dan dijatuhkan hukuman tetapi masih mendapat proses wajar lain yang berkaitan untuk terus berkhidmat di kawasannya sebagai wakil rakyat.

Peguam itu berkata ini adalah penting kerana Najib tidak dapat mewakili parlimen Pekan sewajarnya jika tidak dapat membangkitkan isu di parlimen, sambil menambah bahawa pembantu politik Najib juga tidak dibenarkan melawatnya di Penjara Kajang mahupun di kompleks mahkamah.

“Kami telah memberitahu (pihak berkuasa) penjara bahawa pembantu politiknya (Najib) harus dibenarkan melawatnya supaya rakyat di kawasannya boleh diberi perkhidmatan, jika tidak pengundinya tidak boleh diberi perkhidmatan.

"Sesekali, dia sebagai ahli parlimen harus dibenarkan diiringi (oleh pihak pegawai penjara) ke kawasannya untuk mendengar rungutan rakyat di sana dan bercakap dengan pembantu politiknya sama ada terdapat sebarang masalah (di kawasan Pekan)," kata Shafee mengenai perkara yang akan dituntut oleh semakan kehakiman yang dicadangkan jika ia difailkan.

Shafee bagaimanapun menegaskan bahawa pada masa ini, perkara yang paling mendesak adalah untuk Najib dibenarkan menghadiri parlimen, sambil mencadangkan bahawa pihak berkuasa penjara dan Dewan Rakyat boleh membuat pengaturan untuk memastikan keselamatan semasa tertuduh mengambil bahagian dalam persidangan.

Awal hari ini, Najib menghadiri perbicaraan rasuah 1MDB berjumlah RM2.28 bilion, dan prosiding mahkamah di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah akan disambung semula pagi esok.

Sunday, October 2, 2022

Sokongan Melayu kepada UMNO jatuh teruk sejak Najib masuk penjara: Rafizi

agendaily.com
02/10/2022
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

UMNO bakal berdepan satu lagi penolakan rakyat sekiranya mereka masih mahu mendesak untuk mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) dengan segera tahun ini juga, kata Rafizi Ramli.

Timbalan Presiden PKR itu mendakwa sokongan orang Melayu terhadap UMNO merosot teruk selepas Datuk Seri Najib Razak masuk penjara dan sejak terpecah isu kapal tidak siap baru-baru ini, menurut kajian dilakukan pengkaji parti tersebut.

“Selepas LCS (skandal Kapal Tempur Pesisir), selepas cerita macam-macam Najib buat hal, merpati mahu terbanglah… Saya tengok, saya pun tak percaya.

“Saya maklumkan kepada Majlis Pimpinan Pusat PKR, hari Khamis lepas, saya kata ‘sometimes this is too good to be true’ sebab saya dah buat survey sokongan rakyat ini daripada Jun 2016… Dah enam tahun saya tengok tiap-tiap bulan macam mana peralihan undi rakyat saya boleh beritahu kawan-kawan dekat Sungai Ara yang menonton di seluruh Malaysia.

“Saya tidak pernah tengok macam mana sokongan kepada satu parti jatuh merudum macam itu dalam satu bulan daripada 27 peratus sokongan Melayu kepada UMNO awal bulan Ogos, selepas Najib masuk penjara, selepas skandal LCS daripada 27 peratus jatuh kepada hanya 18 peratus itu maksudnya sembilan peratus jatuh,” kata Rafizi semasa ceramah atas traknya semalam.

Menurut Rafizi, kajian tersebut dijalankan melibatkan 2,500 sampel daripada tinjauan secara rawak melibatkan orang ramai yang dijalankan pada Ogos dan September baru-baru ini.

Untuk rekod, Najib pada Ogos mula menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah dalam penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Rafizi kemudiaan membandingkan peralihan sokongan orang Melayu semasa PRU sebelum ini yang menyaksikan UMNO tumbang pada 2018 dan kehilangan beberapa negeri kepada pembangkang sejak 2008.

“Kalau orang yang belajar tentang sains pilihan raya, tahun 2008 daripada UMNO menang besar 2004 sampai Pakatan Harapan menang lima negeri, saudara saudari tahu berapa banyak peralihan undi sahaja yang membolehkan perubahan itu? Hanya lima peratus.. Lima peratus sahaja di kalangan pengundi Melayu menyebabkan lima negeri jatuh.

“Pada 2018 peralihan itu di kalangan pengundi Melayu lebih kurang tujuh peratus swing saja, tujuh peratus apabila kita dah mula bina dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya, sokongan naik, naik, naik.

“Pada 2018, tujuh peratus orang Melayu berubah, jatuh kerajaan UMNO… Dari Julai sehingga Ogos ke September, satu bulan swing undi Melayu meninggalkan UMNO-Barisan Nasional (BN) adalah sembilan peratus saudara saudari,” katanya.

Mengambil kira kejatuhan sokongan orang Melayu kepada UMNO bagi tempoh Ogos dan September tahun ini, Rafizi berkata amat gembira sekiranya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih berterusan mendesak PRU-15 tetap juga diadakan pada masa terdekat ini juga.

“Sebab itu saya nak beritahu Zahid, kau berani buat pilihan… Saya silakan, saya happy sebenarnya. Dia nak buat pilihan raya… Kita memang dah bersedia,” katanya lagi.

Jelasnya, jika senario ini berterusan sehingga ke tarikh pembubaran Parlimen dan PRU-15 diadakan pada tahun ini juga, sokongan pengundi kepada UMNO akan kekal jatuh teruk dan tidak menolak Pakatan Harapan akan menjadi blok terbesar yang akan dijemput untuk membentuk kerajaan.

“Saya yakin kalau ini berterusan, undi Melayu terus beralih daripada UMNO meninggalkan dia beralih kepada Pakatan Harapan.

“Dia beralih kepada pengundi atas pagar… Saya sebenarnya kalau dia panggil pilihan raya bulan November masa banjir Pakatan Harapan masih akan menjadi blok paling besar dalam parlimen yang akan dijemput untuk membentuk kerajaan,” ujarnya lagi.

Wednesday, September 21, 2022

KOLUM | Hikmah Najib ke penjara

malaysiakini.com
Hishammuddin Rais
Diterbitkan: Sep 21, 2022 9:00 AM

KOLUM | Pada Selasa 23 Ogos 2022 Najib Razak yang merupakan bekas presiden parti United Malays National Organisation (Umno) merangkap bekas perdana menteri Malaysia dimasukkan ke dalam Penjara Kajang.

Najib dipenjara selama 12 tahun dan didenda RM210 juta. Ini setelah dia didakwa, dibicara dan didapati bersalah. Najib dibuktikan kesalahannya mengubah wang haram. Atau lebih popular kes ini dikenali sebagai kes SRC Internasional.

Ketika tulisan ini digarap, Najib telah lebih sebulan ‘menginap’ dalam penjara. Najib masih lagi menjadi tajuk berita dan kadang kala induk berita untuk media dalam dan luar negara.

Kes Najib juga membuka mata warga Malaysia tentang pelbagai sudut perundangan yang biasanya tidak diambil peduli. Pemahaman tentang kewujudan beberapa tahap mahkamah, tentang peranan pendakwa, cara hukuman ditulis dan cara peguam menjalankan tugas.

Secara positif kes SRC Najib membawa pencerahan terhadap lembaga kehakiman.

Najib tokoh politik yang bukan kecik anak. Pernah menjadi menteri besar Pahang, memimpin dan menjadi ketua Pemuda Umno dan kemudian menjawat presiden parti. Seterusnya dia menjadi menteri belia dan sukan, menteri pertahanan sebelum menjadi perdana menteri pada 3 Mei 2009 .

Pada Julai 2011, Najib juga pernah menjadi tamu Ratu Elizabeth di Istana Buckingham, London. Baginda Elizabeth sengaja memakai baju kuning untuk memberi ingatan kepada Najib bahawa kuning ialah waran NGO Bersih.. opps... silap warna kuning ialah warna diraja.

Najib juga ada darah kerbat DiRaja Pahang.

Rekod dunia

Ketika menjadi perdana menteri, Najib adalah rakan golf Presiden Obama dari Amerika. Pada tahun 2015 Najib pernah dilihat bercanda-canda main golf di Hawaii dengan Obama.

Najib memang hebat. Malah ketika bertemu Presiden Trump pada bulan September 2017 Najib telah berjanji kepada Presiden Trump untuk menyelamatkan ekonomi Amerika.

Najib berkata kepada Trump yang dia akan mengarahkan Sistem Penerbangan Malaysia MAS untuk membeli kapal terbang Boeing buatan Amerika.
Malah jumlah duit yang hilang dalam kes 1MDB – kes yang sedang berjalan – adalah satu rekod dalam dunia rompakan. Rekod dunia ini hingga ke hari ini masih dipegang oleh Najib.

Sah lagi terbukti sosok yang bernama Najib ini bukan sosok kecik anak. Amin.

Kini Najib diberitakan sakit. Saya amat yakin sakit ini bukan teater. Sakit ini bukan sandiwara. Pandangan saya ini adalah dari pengalaman saya yang telah memasuki berbelas-belas penjara dan lokap dalam dan luar negara.

Untuk yang belum pernah memasuki penjara biar saya paparkan rutin penjara itu. Ini pencerahan dari Hishamuddin Rais yang juga bekas banduan. Pencerahan ini hasil pengalaman yang telah saya lalui.

Pengalaman penjara

Pertama: Pada petang Selasa 23 Ogos 2022 Najib di bawa dalam kereta polis – biasanya dalam Paddy Wagon atau Black Maria. Najib agak istimewa. Dia naik kereta polis dari kompleks mahkamah di Putrajaya ke Penjara Kajang.

Untuk banduan yang baru masuk ke penjara, ini rutinnya : Sang Banduan akan diambil gambar. Wajah muka depan, sebelah kiri dan kanan akan dirakam. Ketinggian dan berat badan dan umur, jantan atau betina akan dicatat.

Sepuluh cap jari akan diambil.

Sang banduan akan dibogelkan untuk dicari kesan parut luka atau ada tanda badan atau ada tatu. Semua ini direkodkan.

Ketika bogel Sang Banduan juga diminta menonggeng dan lubang jubur diperiksa jika ada percubaan untuk menyeludup dadah atau apa saja.

Kemudian Sang Banduan akan mandi. Pakaian penjara akan diberi mengikut status penjara. Sang Banduan akan dibawa ke dalam sel yang telah disediakan.

Banduan akan diberi nombor. Nombor saya di Kamunting ialah 2504. Nombor inilah yang menjadi pengganti nama.

Esoknya Sang Banduan akan di bawa ke klinik penjara untuk dirakam butir kesihatan dan apa-apa keperluan perubatan. Apa penyakit yang dihadapi dan apa ubat yang perlukan semua akan diambil tahu oleh ‘Tabib Penjara’.

Ini rutin yang saya alami di Penjara Air Molek Johor Bahru, di Bilik Sulit Tahanan Rahsia ISA, di Kem Kamunting, di Penjara Taiping. Di Melbourne, Australia dan di Bombay, India. Semua sama.

Semua negara bekas tanah jajahan Baginda Queen Elizabeth memakai sistem yang sama. Ini susun cara peraturan dalam penjara antarabangsa.

Slanga penjara

Saya tidak tahu apakah Najib dalam bilik persendirian atau berkongsi dengan banduan lain. Jika berkongsi dalam bilik seluas dua bilik darjah pasti ada tandas dan bilik mandi. Semua dikongsi.

Katil bertilam nipis. Kain selimut dan bantal disediakan. Lampu dalam bilik sel sentiasa cerah.

Kalau dalam sel kecil untuk tiga orang tidak ada tandas. Diberi calung – tin kosong – untuk kencing. Jika nak terberak - sakit perut tengah malam - maka wajib memanggil wadar (pegawai yang mengawal orang tahanan di penjara). Jika tidak ada wadar maka terberak dalam calung.

Ketika saya menulis ini, jika Najib telah bercampur gaul dengan banduan lain pasti Najib telah tahu beberapa lingo slanga penjara.

Dalam penjara wadar dipanggil Cik Gu. ‘Payung’ ertinya ada yang membantu. Kalau dipayungi Cik Gu ertinya ada wadar yang baik membantu. ‘Submarine’ ertinya menyeludup melalui lubang jubur.

Saya yakin Najib tidak selesa tidur dalam penjara. Ini pengalaman pertama Najib masuk penjara maka Najib pasti gelabah.

Najib bekas anak perdana menteri. Hidup Najib dari kecil amat lumayan. Hidup yang semua disediakan. Najib dilahir dan dibesar dalam alam mewah.

Najib dari kecil lagi dikelilingi oleh pembantu. Bila mencampuri politik Najib menjadi pemimpin. Najib bukan pemasang poster, bukan pengatur kerusi, bukan memasang khemah atau memikul alat pembesar suara.

Najib sentiasa didukung, ditatang dan dimuliakan.

Najib tidak pernah ke pasar, tidak pernah memanjat kelapa, tidak pernah beratur di pasar raya dan tidak pernah berjumpa Mat Bangla tukang pam minyak di stesen Petronas.

Makanan Najib sentiasa terhidang. Tepuk dada tanya selera. Babu dan Tukang Masak akan mengurus. Jika selera Perancis datang maka Cef Perancis akan dilanggan.

Di meja makan semua makanan terhidang dalam pinggan mangkuk tembikar buatan terbaik dari England. Sudu garpu dari perak. Di Penjara Kajang makanan sampai dalam tray plastik dan makan dengan tangan.

Malam pertama

Dalam sel di malam pertama ketika terlentang keseorangan Najib akan mengelamun. Semua babak yang membawa dirinya ke Kajang akan melintas satu demi satu.

Wajah isteri pertama, wajah Rosmah, wajah Altantuya akan muncul. Najib akan terkenang pelukan isteri barunya.

Wajah Sirul dan Azilah juga akan muncul. Apabila wajah Azilah muncul Najib akan membuka mata kerana Azilah juga sama berada dalam Penjara Kanjang.

Secara jujur babak-babak ini akan bermain dalam kepala Najib. Paling dramatik ialah babak sumpah laknat di Masjid Kampung Baru. Macam filem ia akan berputar dalam ingatan.

Ini yang dialami oleh semua banduan dalam penjara.

Adalah menjadi fakta – dari pengalaman - bahawa paling ramai orang “tidak bersalah” telah saya sendiri temui dalam penjara. Najib juga yakin dia tidak bersalah.

Di sebalik Najib masuk penjara ada satu perkara yang wajib saya rakamkan. Yang ingin saya rakamkan ini bukan kegembiraan atau tepuk tangan kerana Najib masuk penjara. Bukan. Bukan. Bukan.

Ada satu perkara yang lebih penting yang wajib kita pelajari dari pemenjaraan Najib.

Perkara ini ialah hikmah runtuhnya 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Hikmah Ismail Sabri jadi PM

Awalnya saya merasa kecewa juga apabila kerajaan PH runtuh. Tapi semenjak Najib masuk penjara pandangan saya berubah. Rupa-rupanya ada hikmah di sebalik jatuhnya Mahathir. Ada hikmah apabila kerajaan Muhyiddin menjadi kerajaan gagal. Ada hikmah apabila Ismail Sabri menjadi perdana menteri.

Bayangkan jika Mahathir masih lagi Perdana Menteri pada Selasa 23 Ogos 2022 yang lalu. Gambarkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri pada hari Selasa itu.

Saya yakin jika Mahathir atau Muhyiddin perdana menteri ketika hakim memenjarakan Najib, negara ini akan menjadi kacau bilau.

Pada petang Selasa 23 Ogos 2022 Malaysia tenang dan teratur. Tidak ada huru hara walau pun yang masuk ke penjara bekas Perdana Menteri dan bekas anak Perdana Menteri.

Kita wajib berterima kasih kepada Ismail Sabri. Tahniah Ismail Sabri. Tanpa Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri saya tidak yakin pemenjaraan Najib akan berjalan dengan tuntas. Salut kepada Ismail Sabri.

Najib Razak bekas Ppresiden United Malays National Organisation dimasukkan ke dalam Penjara Kajang oleh Ismail Sabri yang merupakan Naib Presiden United Malays National Organisation.

Inilah dia hikmah. Perdana Menteri dari parti United Malays National Organisation memenjarakan bekas Presiden partinya sendiri.

Jika Mahathir menghantar Najib ke penjara pasti rakyat akan keluar berdemo sama seperti kes liwat Anwar Ibrahim. Mahathir akan sekali lagi menjadi Mahafiraun dan Mahazalim.

Mahathir akan dituduh sekali lagi sebagai kepala konspirasi.

Malah hari ini sesudah Najib di penjara masih ada penyokong Najib yang percaya lagi yakin bahawa semua ini adalah kerja Mahathir.

Masih ada yang percaya di belakang pemenjaraan Najib ini dikatakan kerja gelap Mahathir.

Bayangkan jika Muhyiddin menghantar Najib ke penjara dan rakyat keluar berdemo, dengan sekelip mata kerajaan Muhyiddin akan patah terbarai.

Jangan lupa kes arwah Adib. Lihat bagaimana huru hara telah diolah untuk mengganggu gugat kerajaan PH.
Jika Mahathir atau Muhyiddin menghantar Najib ke Kajang huru-hara ini pasti beratus kali berlipat ganda dari demo kematian Adib.

Tidak mustahil kacau bilau ini akan menjurus ke tahap tragedi 13 Mei.

Justeru hikmahnya ialah Ismail Sabri mengambil tanggung jawab sebagai Perdana Menteri menghantar Najib Razak ke Penjara Kajang. Tahniah Ismail Sabri.

Tahniah juga wajib diberikan kepada Mahathir. Sosok yang licik berpolitik ini memiliki pembacaan politik yang tepat. Mahathir juga bijak membaca watak. Mungkin tidak sebijak membaca sekilas ikan di air sudah kenal jantan betinanya.

Ketika menjadi perdana menteri, Mahathir ditugaskan untuk memilih beberapa nama untuk menjadi Ketua Hakim Negara. Ini kebijaksanaan Mahathir - dia telah memilih Tengku Maimun. Sejarah membuktikan ini satu pilihan yang tepat.

Tahniah juga kepada Muhyiddin. Dia melantik peguam negara yang baru. Langkah Muhyiddin yang tepat dan bijak ialah dia tidak menggantikan pendakwa raya dalam kes SRC Internasional yang sedang berjalan.

Kejayaan rakyat

Ketua pendakwa Sri Ram dilihat oleh Najib dan Rosmah sebagai pendakwa yang tidak lut dengan tembakan peluru emas. Sri Ram wajib dinyah.

Tetapi tugasan Sri Ram diteruskan oleh Muhyiddin dan tidak disingkir. Muhyiddin meneruskan semua pasukan yang menjalankan pendakwaan terhadap Najib.

Kenyataan Muhyiddin yang dia tidak mencampuri urusan kes Najib dan juga kes Zahid adalah benar belaka.

Muhyiddin membocorkan bagaimana satu minggu sesudah menjadi perdana menteri, Zahid telah datang berjumpa. Zahid dengan fail kes di tangan telah meminta Muhyiddin campur tangan.

Muhyiddin tidak berganjak. Muhyiddin mencadangkan kepada Zahid – jika tidak bersalah – maka pasti ini akan dibuktikan oleh mahkamah. Salut untuk Muhyiddin.

Tahniah yang paling besar ialah kepada semua pengundi yang telah mengundi PH dalam PRU14.

Tanpa undi Mak Cik , Pak Cik, Amat dan Dollah, Ah Soo, Ah Beng, Mutu dan Aci – Najib Razak masih lagi perdana menteri Malaysia. Pencuri masih berkuasa.

Sejarah akan merakamkan kejayaan terbesar PH berkuasa selama 22 bulan ialah memasukkan Najib ke Penjara Kajang.

Kejayaan besar rakyat Malaysia ialah mengheret bengolan-bengolan kaki rasuah, kaki salah guna kuasa dan pencuri harta rakyat ke mahkamah.

Di sebalik keruntuhan PH ada hikmahnya. Salut untuk PH. Salut untuk rakyat yang mengundi PH.

HISHAMMUDDIN RAIS merupakan seniman, penulis, aktivis dan bekas tahanan ISA.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Friday, September 9, 2022

ULASAN | Manja di dalam penjara

malaysiakini.com
Imlan Adabi
Diterbitkan: Sep 9, 2022 10:03 AM
ULASAN | Banduan sakit - termasuk sakit perut - di dalam penjara bukan sesuatu yang luar biasa. Sakit perut yang berulang dan masalah ulser bukan pelik kerana kehidupan di sebalik tembok konkrit dan jeriji besi tidak sama dengan kehidupan di luar.

Di dunai bebas seseorang boleh bergerak ke mana-mana saja, dan makan apa saja. Malah dia boleh disanjung dan dipuja juga.

Di dalam tembok yang mengurung itu, seseorang banduan diajar supaya berfikir dan membentuk sahsiah lebih baik. Di dalam sana juga ada peraturan yang dinamakan disiplin dalam penjara.

Seseorang tahanan tidak bebas ke luar masuk ke ruang makan, atau bebas mendapat hidangan apa sahaja pada bila-bila masa.

Jika di luar penjara, seseorang itu bebas berhibur seperti mendengar lagu Madah Berhelah berkali-kali tanpa sekatan, tetapi di dalam, mengidamkan mocha istimewa pun belum tentu dapat.

Cuma di dalam kurungan itu tidaklah lagi seseorang boleh diganggu oleh arahan atau leteran sesiapa, termasuk isteri sendiri.

Penjara bukan untuk memenjarakan minda seseorang, tapi untuk membugar keinsafan. Penjaralah yang melahirkan ramai tokoh besar dunia dalam pelbagai sektor. Penjara juga ruang untuk mendidik seseorang supaya berjiwa besar.

Nabi bukan pencuri

Justeru tidak aneh apabila ada orang yang membandingkan seorang banduan dengan mendiang Nelson Mandela, serta bersandar kepada ibrah teraniayanya Nabi Yusuf AS.

"Mungkin ini adalah cara Allah SWT untuk mengangkat darjat dengan lebih tinggi," kata seorang anak lelaki kepada seorang banduan, "Itulah yang berlaku kepada Nabi Yusuf yang dipenjarakan atas tuduhan palsu."

Dia juga berkata: “Apabila bebas Nabi Yusuf diangkat sebagai menteri berkuasa lagi bijaksana di Mesir. Mandela yang menentang dasar aparteid - apabila bebas - diangkat sebagai presiden Afrika Selatan yang berjaya menyatupadukan orang kulit putih dan bangsa Afrika."

Ramai yang sinis dengan hujah itu. Membandingkan seorang pencuri dengan Nabi Yusuf adalah tidak masuk akal. Nabi Allah itu dipenjara kerana perjuangan menegakkan agama Allah. Nabi tidak mencuri dan nabi bukan ‘mat sakau’.
Nelson Mandela pula melupakan keselesaan hidup semata-mata mahu membentuk Afrika Selatan yang makmur dan saksama. Mandela tidak menubuh syarikat untuk mengaut duit negara.

Isteri Mandela tidak ada beg Bijan atau berlayar dengan kapal mewah ke kawasan peranginan dunia.

Mandela menanggung risiko menghabiskan selama suku abad daripada hidupnya di dalam penjara yang terletak di Pulau Robben, Cape Town, yang kemudian dipindahkan ke Penjara Pollsmoor, Afrika Selatan.

Mandela bukan pencuri. Mandela adalah pejuang kemerdekaan di negaranya.

Pada 7 Nov 1962, Mandela dijatuhi hukuman lima tahun penjara atas tuduhan meninggalkan negara secara haram dan menghasut kelompok pekerja untuk memberontak terhadap kerajaan kulit putih.

Sebelum dipindahkan ke Pulau Robben, selama tujuh bulan pertama dia menjalani hukuman di penjara Pretoria.

Di dalam penjara Pulau Robben yang berukuran tidak lebih dari lima meter itu, Mandela tidur beralaskan tikar tipis, kekurangan makanan dan turut mengalami penyeksaan.

Dia dilarang membaca akhbar dan buku kerana bimbang mendapat akses kepada maklumat di luar. Mandela tidak mengadu sakit perut, gastrik atau ulser dalam perut.

Rumah akal

Bertahan selama 27 tahun dalam kurungan adalah penyeksaan yang luar biasa. Jasad terkurung, namun roh dan semangatnya berterbangan melintasi garis sempadan geopolitik.

Mandela menggunakan pengetahuan hukumnya untuk mengkritik masalah penindasan, pelecehan dan kekerasan terhadap bangsa kulit hitam.

Ketika Mandela menghembus nafas terakhirnya pada 5 Dis 2013, namanya terus hidup merentasi segala benua dan lautan. Ia berterbangan dengan penuh harum, bukannya bersama kejian dan cacian.

Tentunya Mandela dikenang kerana kebaikan dan kesungguhannya menentang penindasan, dan tidak terpalit dengan jenayah mencekau wang bernilai berbilion ringgit.
Di rantau sini, ada Pramoedya Ananta Toer juga rekod peribadi yang baik ketika dalam tahanan. Katakan apa sahaja tentang Pramoedya - pengganas, tali barut komunis dan anti-Islam, dia adalah susuk kemanusiaan yang tegas dan dipancarkan melalui novelnya.

"Penjara adalah rumah akal," kata Pramoedya. Pada 13 Okt 1965, rumahnya di Utan Kayu, Jakarta Timur, dilempari batu oleh segerombolan pemuda. Pintu rumahnya hancur.

Dia yang sibuk menulis saat itu, meneriaki mereka. Kakinya terluka kena lemparan batu. Ketika hendak melawan, tentera datang mencegah.

"Mari Pak, kita amankan!"

Pramoedya tak tahu apa yang terjadi. Dia hanya membawa beberapa naskhah buku, kotak fail, mesin taip, dan manuskrip yang harus diselesaikan.

"Saya kira diamankan dari gerombolan pemuda ini. Enggak tahu ditahan selama 14 tahun," kata Pramoedya seperti dikutip dari buku Pram Melawan (2011).

Seluruh barangnya disita. Yang paling membuat Pram sedih, banyak naskhah karangannya dibakar. Badannya digebuk sampai hampir tidak sedarkan diri. Pembantaian yang dialami saat itu merosak deria pendengarannya.

Telinga kirinya luka parah hingga kadang-kadang mengeluarkan darah sampai dia tua.

Pram dipindah-pindahkan dari tahanan tentera ke Cipinang, Tangerang, Nusa Kambangan, hingga tahanan di Pulau Buru. Penangkapan itu menjadi titik penting dalam hidupnya.

Ia membentuk Pram menjadi sosok yang keras, penuh kemarahan, dan bergelora dengan hasrat melawan. Semua itu tertuang dalam tulisannya.

Lebih daripada 50 karyanya berhasil diterbitkan dan diterjemahkan ke 41 bahasa. Sejumlah penghargaan antarabangsa diterimanya, termasuk Anugerah Magsaysay.

Hari ini, karya-karya Pram masih laris dibeli, dicari dan terus dicetak ulang.

Penjara juga menciptakan karya besar daripada dua orang ini: Buya Hamka (1908 - 1981) dan William Addis (1734 - 1808). Dalam jeriji penjara Hamka menyelesaikan kitab Tafsir al-Azhar sebanyak 30 juzuk, manakala di penjara London, Addis mendapat inspirasi mencipta berus gigi yang kemudian membuatnya kaya-raya.

Hamka ditangkap pada awal Ramadan 1964 oleh rejim Sukarno atas tuduhan berkomplot merencanakan pembunuhan presiden. Tuduhan itu tidak masuk akal kerana Hamka tidak lagi berpolitik kerana parti Masyumi sudah dibubarkan Sukarno pada 1960.

Sukarno bahkan sebenarnya bimbang kritikan Hamka terhadap penindasan demokrasi akan menyebabkan massa memberontak.

Di penjara Sukabumi, Hamka diseksa hingga sakit. Setelah dirawat di Hospital, dia menjalani tahanan di Rumah Tahanan Tentera Jakarta. Di situlah Hamka banyak menggunakan waktunya menyiapkan Tafsir Al-Azhar, dan ia muncuyl sebagai karya besar. Itulah tafsir Quran dalam bahasa Indonesia yang lengkap analisisnya.

Tafsir Al-Azhar mendapat penghargaan dari Universiti Al-Azhar Mesir. Universiti Kebangsaan Malaysia pula menganugerahkan gelar doktor kehormatan kepada Hamka, selain dia juga mendapat gelaran profesor dari Universiti Moestopo, Jakarta.

Addis sentiasa berterima kasih kepada penjara kerana membentuknya menjadi kreatif. Dia dimasukkan ke penjara pada 1770 kerana dituduh menjadi dalang rusuhan.

Dalam penjara dia membuat berus gigi berbulu kerana cara menggosok gigi gaya Eropah yang menggunakan kayu berhujung kain ketika itu tidak praktikal. Sisa makanan di celah gigi susah dibersihkan.

Setelah keluar dari penjara, Addis mengeluarkan berus gigi 'model baru' yang diguna pakai sebelum diubah suai sehingga kini. Inovasi itu menjadikan Addis jutawan bertaraf dunia.

Ramai tokoh besar dipenjara di Malaysia kerana pelbagai tuduhan yang sukar diterima. Pak Sako, Ahmad Boestaman, Said Zahari, Kasim Ahmad, A Samad Ismail, Abdullah Majid adalah antara nama yang menerima takdir tidak pernah diramalkan.

Mereka menjadikan penjara sebagai sempadan untuk mendewasakan jiwa.

Penjara bukan kurungan akal. Penjara bukan untuk memanjakan diri dengan sakit perut, ulser dan gastrik. Penjara untuk mendidik jiwa merdeka. Apa pun pertuduhan, realiti penjara cukup melelahkan bagi seseorang yang sentiasa mengharapkan pengampunan segera.

Justeru, bossku, can I advise you something?

IMLAN ADABI ialah mantan wartawan Berita Harian dan penulis yang tiada kluster mahupun kasta.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Thursday, September 1, 2022

LANGSUNG | Rosmah dihukum penjara 10 tahun, denda RM970 juta

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Sep 1, 2022 9:07 AM

Seluruh perhatian bertumpu kepada Rosmah Mansor hari ini, sama ada dia akan menyusuli suaminya, Najib Razak dengan didapati bersalah atau dibebaskan daripada kes rasuah berhubung projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Namun, dalam langkah saat-saat akhir, Rosmah dua hari lalu memfailkan permohonan agar hakim perbicaraan, Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes ini.

Hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijangka akan mengendalikan permohonan itu terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk menyampaikan keputusan tiga pertuduhan rasuah terhadapnya.

Malaysiakini akan memberikan laporan langsung prosiding hari ini.

4.16 petang: Rosmah Mansor dilihat beredar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Penjara 10 tahun, denda RM970 juta terhadap Rosmah

4.09 petang: Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah Mansor, sebagai ganti kepada hukuman penjara 30 tahun lagi.

Hukuman itu selepas dia disabit bersalah atas ketiga-tiga tuduhan dalam kes rasuah projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.

Namun, hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan peguam agar hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan di peringkat Mahkamah Rayuan.

Zaini juga membenarkan ikat jamin RM2 juta yang ditetapkan sebelum ini dikekalkan.

3.43 petang: Selepas mendengar hujahan lisan berhubung hukuman, hakim Mohamed Zaini Mazlan menangguhkan sebentar prosiding untuk membolehkannya memutuskan hukuman yang akan dijatuhkan terhadap Rosmah Mansor.

Rosmah: Lebih baik bunuh saja saya

3.27 petang: Di kandang tertuduh, Rosmah didengar berkata "lebih baik bunuh saja saya".

Dia berkata demikian ketika mendengar pendakwaan memohon hukuman penjara yang panjang dan denda yang besar dijatuhkan terhadapnya.

Pendakwaan mohon hukuman maksimum

3.26 petang: Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram memohon mahkamah memberi hukuman maksimum, atau hampir maksimum, terhadap Rosmah.

Sri Ram yang merupakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan berkata, setiap tiga pertuduhan terhadap Rosmah membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai rasuah.

Dia berkata, hukuman maksimum bagi menghantar mesej kepada semua pihak yang mungkin berisiko melakukan kesalahan sama, bahawa rasuah adalah sesuatu yang memudaratkan dan perlu dibanteras.

Sri Ram juga memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM970 juta terhadap Rosmah.

Katanya lagi, jika Rosmah gagal membayar denda itu, hukuman penjara terhadapnya perlu ditambah 30 tahun lagi.

Peguam mohon hukuman penjara sehari untuk Rosmah

3.24 petang: Peguam Jagjit Singh memohon hukuman ringan terhadap Rosmah Mansor, antaranya dengan membangkitkan sumbangan anak guamnya itu kepada masyarakat serta kerana ini merupakan kesalahan pertamanya.

Dia kemudian mencadangkan tempoh penjara sehari selain hukuman ringan lain yang boleh dijatuhkan kepada Rosmah.

Rosmah: Saya mangsa dalam kes ini

3.20 petang: Rosmah Mansor mendakwa dia adalah mangsa dalam kes projek solar hibrid dan pihak yang benar-benar bersalah masih lagi bebas pada masa ini.

Dia juga berharap mahkamah dapat memberi belas ihsan kepadanya sebagai seorang manusia.

"Apa yang berlaku kepada saya boleh berlaku kepada anda, anak anda, cucu anda kemudian. Saya mangsa dalam semua ini.

"Anda telah lakukannya kepada suami saya dan anda mahu keluarga saya menderita.

"Tolong ambil kira saya yang menggantikan peranan ketua keluarga," katanya dengan teresak-esak.

Suaminya, Najib Razak kini menjalani hukuman penjara 12 tahun bagi kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.

'Saya tak ambil satu sen pun'

3.17 petang: Rosmah Mansor dalam tangisannya berkata dia tidak pernah mengambil walau satu sen daripada projek projek solar hibrid.

Begitu juga dengan jutaan dana untuk Permata dan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), katanya lagi.
Rosmah menangis

3.14 petang: Rosmah gagal menahan air mata ketika bercakap di mahkamah hari ini

Dia berkata amat sedih dengan keputusan hari ini tetapi menghormati keputusan yang telah dibuat mahkamah itu.

Katanya lagi, dia sentiasa memberitahu peguamnya untuk hanya bercakap benar, seperti mana dia mengajar perkara yang sama kepada anak-anaknya.

'Rosmah tubuhkan Permata'

3.08 petang: Peguam Jagjit Singh berkata Rosmah Mansor telah melakukan apa yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana isteri perdana menteri sebelum ini, iaitu menubuhkan program Pusat Anak Permata Negara (Permata).

Di berkata program itu adalah buah fikiran Rosmah dan diiktiraf di dalam dan luar negara atas peranannya dalam mendidik kanak-kanak.

Peguam: Rosmah berjasa kepada negara, terutama kanak-kanak

3.03 petang: Peguam Jagjit Singh dalam hujahannya untuk hukuman yang ringan, berkata Rosmah Mansor telah memberikan banyak sumbangan kepada negara dan rakyat, terutama kanak-kanak.

Jagjit berkata pendakwaan telah bergantung kepada keterangan bekas pembantunya Rizal Mansor, yang didakwanya sebagai seorang yang mengaku dirinya korup dan menjadi saksi pendakwaan untuk menyelamatkan dirinya.

Mahkamah dapati Rosmah bersalah

2.56 petang: Hakim Mohamed Zaini Mazlan mendapati Rosmah Mansor bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan kes rasuah projek hibrid solar berjumlah RM1.25 bilion.

Zaini berkata tertuduh gagal membangkitkan keraguan munasabah terhadap hujah pendakwaan, dan pembelaannya hanyalah penafian dan tidak diiringi dengan bukti berwibawa.

Mahkamah kini menunggu pasukan peguam Rosmah untuk berhujah bagi mitigasi untuk hukuman yang ringan.

Mahkamah dijangka beri keputusan

2.53 petang: Hakim perbicaraan Mohamed Zaini Mazlan dijangka membacakan keputusan berhubung kes rasuah projek hibrid solar berjumlah RM1.25 bilion terhadap Rosmah.Peguam sekali lagi minta tangguh keputusan kes Rosmah

Hujan atau panas

2.45 petang: Hujan yang turun tidak menghalang penyokong Rosmah Mansor untuk menunggu di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Sementara kebanyakan pengamal media mencari tempat berteduh, mereka kekal duduk di atas hamparan tikar bagi menunggu prosiding hari ini tamat.
2.44 petang: Peguam Rosmah Mansor memohon penangguhan keputusan kes rasuah terhadapnya.

Jagjit Singh dalam penghujahan lisannya berkata, penangguhan itu sementara mereka membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung penolakan permohonan mereka untuk menggugurkan Mohamed Zaini Mazlan selaku hakim yang mengendalikan kes ini.

Mahkamah tolak permohonan Rosmah

2.43 petang: Hakim Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan Rosmah untuk menggugurkannya daripada mendengar kes ini.

Zaini membangkitkan bahawa dua dokumen yang didakwa bocor bukanlah draf penghakiman untuk disediakan atas arahannya.

Dia berkata, dokumen itu sebaliknya penulisan penyelidikan oleh unit penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan ia tidak mempengaruhi keputusannya dalam apa jua cara.

"Saya tak baca pandangan mereka (unit penyelidikan). Saya buat penyelidikan sendiri berdasarkan penghujahan pihak terlibat.

"Saya sentiasa buat kerja saya sendiri (dan) telah menulis lebih 200 penghakiman," kata Zaini lagi.

Prosiding bersambung

2.39 petang: Hakim Mohamed Zaini Mazlan masuk ke mahkamah dan prosiding bersambung.

Zaini dijangka akan memberikan keputusan berhubung permohonan Rosmah Mansor agar dia tidak mendengar kes rasuah projek hibrid solar ke atasnya.

Rosmah kembali ke mahkamah

2.15 petang: Rosmah Mansor masuk ke mahkamah untuk menunggu prosiding bersambung.

Turut dilihat adalah ketua pasukan pendakwaan Gopal Sri Ram dan pasukan pembelaan diketuai Jagjit Singh dan Akberdin Abdul Kader.

2.05 petang: Penyokong Rosmah Mansor dilihat di luar perkarangan mahkamah, menunggu prosiding bersambung.

Keputusan permohonan hakim tarik diri selepas rehat tengah hari

12.50 tengah hari: Mahkamah berhenti untuk rehat makan tengah hari dan dijangka akan memberikan keputusan berhubung permohonan pembelaan agar hakim perbicaraan, Mohamed Zaini Mazlan tarik diri selepas prosiding kembali bersambung.

'Tak kira sejahat mana, masih ada kebaikan dalam dirinya'

12.42 tengah hari: Peguam Jagjit Singh berkata walau sejahat mana pun seseorang itu, masih ada sedikit kebaikan dalam dirinya.

Dia berkata demikian sebagai respons kepada hujah pendakwaan bahawa sumber bagi dokumen didakwa bocor berkaitan kes Rosmah, iaitu blog Malaysia Today yang dikendalikan Raja Petra Kamarudin, tidak boleh dipercayai.

"Berkenaan penulis bajingan (atau rogue, seperti hujah pendakwaan), apa saja seorang individu itu, walau sejahat mana pun dia, masih ada sedikit kebaikan dalam dirinya.

"Itulah yang diajar agama kepada kita," katanya.

"Dia mungkin seorang penulis ‘jahat’ (seperti yang dikatakan pendakwaan), tetapi adakah dokumen-dokumen ini palsu?" soalnya lagi.
Raja Petra Kamarudin

DPP: Penulisan unit penyelidikan tak jejaskan kebebasan kehakiman

12.35 tengah hari: Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram berkata penulisan pendapat oleh unit penyelidikan mahkamah tidak menjejaskan kewibawaan kehakiman dalam membuat keputusan.

Dia yang merupakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan berkata, penulisan seumpama itu sudah menjadi amalan sekian lama di negara Komanwel hanya untuk membantu hakim ketika menyelidik kes.

Sri Ram berkata akhirnya penulisan itu adalah pendangan anggota unit yang menulisnya dan keputusan sebenar kes masih bergantung kepada hakim.

Terdahulu hari ini, dia berkata dokumen bocor tersebut bukan penghakiman, sebaliknya kertas penyelidikan yang ditulis unit penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dokumen bocor: Blog Raja Petra bukan sumber boleh dipercayai - DPP

12.31 tengah hari: Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram dalam hujah lisannya berkata Malaysia Today, iaitu blog di mana dua dokumen yang didakwa sebagai penghakiman kes Rosmah Mansor dimuat naik - bukanlah sumber berwibawa.

"Dalam penghujahan saya, penulis artikel (di blog itu) adalah seorang pelarian daripada keadilan yang bersembunyi di United Kingdom.

"Kedua, dia adalah wartawan 'jahat' (rogue). Pandangannya berubah berdasarkan berapa banyak dia dibayar," katanya.
Gopal Sri Ram
12.22 tengah hari: Peguam Jagjit Singh selesai memberikan penghujahan lisan bagi permohonan pengguguran hakim Mohamed Mazlan Zaini.

Peguam: Dokumen bocor adalah draf penghakiman disediakan pihak ketiga

11.58 pagi: Peguam Jagjit Singh berkata dokumen yang didakwa bocor tersebut adalah draf penghakiman yang disediakan oleh pihak ketiga untuk hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Dia berkata demikian ketika Zaini bertanya apakah dokumen itu sebenarnya, yang menjadi asas kepada permohonan pembelaan agar dia digugurkan daripada mendengar kes tersebut.

Anak Najib tiba di mahkamah

11.39 pagi: Anak Rosmah Mansor, Nooryana Najwa Najib dilihat masuk ke mahkamah dan duduk di galeri awam.

Sementara itu, peguam Jagjit Singh meneruskan hujahan lisannya bagi permohonan agar hakim Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes itu.

'Dokumen bocor' disiarkan di projektor

11.23 pagi: Peguam Jagjit Singh merujuk salinan dokumen didakwa bocor berkaitan kes rasuah Rosmah Mansor, yang disiarkan di mahkamah menerusi projektor.

Dia berhujah bahawa ada risiko berat sebelah melibatkan hakim Mohamed Zaini Mazlan memandangkan dokumen itu menyatakan ia disediakan untuk pertimbangan hakim.

Dokumen itu didakwa bukan penghakiman bertulis sebenar untuk kes Rosmah, tetapi salinan penyelidikan dan penulisan pendapat yang disediakan unit penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

'Pendakwaan tak tegaskan dokumen didakwa bocor adalah palsu'

11.13 pagi: Peguam Jagjit Singh berkata tiada penegasan daripada pihak pendakwaan bahawa dokumen didakwa bocor yang berkaitan dengan kes rasuah Rosmah Mansor adalah dokumen palsu.

Dia berkata hakim perlu mampu menyampaikan keputusan tanpa pengaruh tidak sepatutnya, secara langsung mahupun tidak langsung daripada mana-mana sumber lain.

Peguam: Hakim perlu bebas dari pengaruh luar

11 pagi: Peguam Jagjit Singh berkata hakim yang mengendalikan perbicaraan perlu mampu melaksanakan tanggungjawabnya secara saksama dan bebas daripada pengaruh luar.

Katanya, kebebasan kehakiman memastikan seorang hakim dapat menilai bukti, mengguna pakai undang-undang dan menentukan keputusan kes tanpa mengira mana-mana pihak, demi menegakkan keadilan.

"Saya ada keyakin penuh terhadap Yang Arif (Mohamed Zaini Mazlan) tidak akan dipengeruhi oleh perkara ini, tetapi (risiko berat sebelah) masih wujud, dan itulah tujuan permohonan (pengguguran hakim)," katanya.
Jagjit Singh

Peguam: Awan gelap kembali selubungi badan kehakiman

10.50 pagi: Peguam Jagjit Singh berkata awan gelap telah melitupi badan kehakiman sejak 23 Ogos lalu.

Katanya, ia serupa dengan apa yang berlaku pada 1988, merujuk kepada penyingkiran Salleh Abbas sebagai ketua hakim negara.

Sejarah mengenang peristiwa itu sebagai krisis kehakiman negara.

Jagjit mendakwa awan gelap kembali melitupi badan kehakiman pada 23 Ogos lalu, dipercayai merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan suami Rosmah, Najib Razak untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadap kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.

Dia merujuk dakwaan kebocoran penghakiman berkaitan kes Najib sebelum Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya.

Peguam: Hanya perlu buktikan ada bahaya berat sebelah

10.43 pagi: Peguam Jagjit Singh dalam hujahan lisannya berkata, undang-undang tidak memerlukan pemohon untuk memberikan bukti meyakinkan untuk membuktikan aspek berat sebelah pada hakim.

Dia berkata, mereka hanya perlu menunjukkan apa yang boleh dan menyerahkan kepada mahkamah jika ada bahaya berlakunya berat sebelah.

Peguam: Permohonan pengguguran hakim bukan cakap dengar.

10.40 pagi: Peguam Jagjit Singh menafikan hujah pendakwaan bahawa permohonan agar hakim Mohamed Zaini Mazlan digugurkan daripada mendengar kes itu adalah berdasarkan bukti cakap dengar.

Katanya, ini kerana mahkamah sebelum ini membuat laporan polis berhubung dakwaan kebocoran draf penghakiman dan ketua polis daerah Sentul dilaporkan telah mengesahkan bahawa perkara itu disiasat mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Rahsia Rasmi.

Prosiding bersambung

10.32 pagi: Pendengaran permohonan agar hakim perbicaraan, Mohamed Zaini Mazlan digugurkan disambung semula.

Ia ditangguhkan sebentar bagi membolehkan peguam menyediakan hujah balas terhadap balasan yang difailkan oleh pendakwaan agar permohonan itu ditolak.

Mahkamah sedia dengar permohonan gugur hakim

9.42 pagi: Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata mahkamah hari ini sedia mendengar permohonan agar dia tidak mendengar kes itu.

Zaini juga membayangkan dia tidak cenderung untuk menangguhkan keputusan kes itu yang dijadual hari ini.

Katanya, dia sendiri menghabiskan kebanyakan masa ketika cuti Hari Merdeka semalam untuk membaca permohonan yang difailkan pembelaan.

Dia mengambil maklum yang peguam telah memfailkan perakuan segera agar permohonan pengguguran hakim didengar secepat mungkin, justeru dia menetapkan yang permohonan itu didengar hari ini.

"Apa-apa pun, anda telah failkan perakuan segera. Anda sepatutnya sedia. Anda kata ada keperluan untuk failkan balasan. Saya sudah baca (keseluruhan permohonan pengguguran hakim dan dokumen berkaitan," katanya.

Katanya, permohonan pengguguran itu bersandarkan pada dakwaan berkenaan sesuatu yang sepatutnya di dalam pengetahuannya dan didakwa ditulis oleh pihak ketiga.

Zaini bagaimanapun membenarkan prosiding ditangguh setengah jam bagi membolehkan peguam menyediakan hujah balas terhadap afidavit pihak pendakwaan.
Mohamed Zaini Mazlan

Pendakwaan bantah permohonan tangguh keputusan

9.33 pagi: DPP Gopal Sri Ram menyuarakan bantahan terhadap permohonan peguam agar keputusan kes rasuah Rosmah Mansor, yang dijadual diberikan hari ini, ditangguh.

Sri Ram menyifatkan permohonan agar hakim perbicaraan, Mohamed Zaini Mazlan menarik diri dibuat tanpa merit dan bersifat spekulasi.

Dia berkata kebocoran dokumen yang didakwa draf penghakiman sebelum ini sebenarnya bukanlah penghakiman, sebaliknya ia adalah penyelidikan dan penulisan pendapat yang disediakan oleh unit penyelidikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dia juga berkata pihak pendakwaan sedia untuk meneruskan pendengaran hari ini.
Gopal Sri Ram
9.28 pagi: Peguam Jagjit Singh memohon keputusan hari ini ditangguhkan bagi memberikan lebih masa kepada pasukan pembelaan memfailkan respons terhadap hujahan bertulis pihak pendakwaan.

Dia berkata salinan balasan pendakwaan terhadap permohonan pengguguran hakim hanya diserahkan kepada pihaknya hari ini.

Permohonan hakim tarik diri didengar

9.25 pagi: Mahkamah mula mendengar permohonan Rosmah Mansor agar hakim Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes rasuah terhadapnya.

Peguam Jagjit Singh memulakan penghujahan lisan bagi permohonan itu.
Jagjit Singh

Prosiding bermula

9.23 pagi: Hakim Mohamed Zaini Mazlan masuk ke mahkamah dan perbicaraan bermula.Rosmah tiba di mahkamah

Rosmah tiba di mahkamah

8.57 pagi: Dia yang mengenakan baju kurung dan selendang kuning dilihat duduk di galeri awam untuk menunggu prosiding bermula.

Turut dilihat adalah ketua pasukan pembelaan, Akberdin Abdul Kader dan Jagjit Singh.

DPP tiba di mahkamah

8.30 pagi: Ketua pasukan pendakwaan, Gopal Sri Ram dilihat tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pasukan pembelaan Rosmah juga dilihat sudah berada di mahkamah.

Mahkamah dijangka sampaikan keputusan

8 pagi: Zaini dijangka memberikan keputusan ke atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin, menerusi bekas pegawai khasnya Rizal Mansor.

Wang tersebut didakwa sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan (KPM) secara rundingan terus.

Pada mulanya keputusan dijadualkan dibuat pada 7 Julai namun ditangguh ke hari ini.

Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas satu pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan satu pertuduhan menerima rasuah RM1.5 juta.

Pada 10 April 2019, dia sekali lagi dibawa ke mahkamah atas satu pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5 juta.
Rizal Mansor
Dia pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum tiga pertuduhan itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan secara bersama.

Pada 18 Februari tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan Rosmah untuk membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Seramai 23 saksi telah dipanggil pendakwaan dengan Rizal dan bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid menjadi saksi utama.

Terdahulu, Rizal dalam keterangannya berkata dia membawa wang tunai RM5 juta dalam dua beg dan ke Seri Perdana - kediaman rasmi perdana menteri di Putrajaya.

Wang itu didakwa diberikan Saidi pada 2016.

Mahkamah juga diberitahu Mahdzir mengeluarkan arahan untuk meminda surat perjanjian kepada Jepak Holdings. Bahagian yang dipinda adalah Perkara 11 yang menyatakan kerajaan ada hak untuk membatalkan kontrak itu pada bila-bila masa.

Peguam Rosmah dalam hujahnya antara lain berkata saksi pendakwaan membuat konspirasi terhadap Rosmah.

Jika disabit bersalah, dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali nilai suapan.

Thursday, August 25, 2022

Besar kemungkinan Najib akan diampun - Dr M

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 25, 2022 10:22 AM
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad percaya bekas perdana menteri Najib Razak yang kini dipenjarakan 'berkemungkinan besar' akan menerima pengampunan pada satu masa nanti.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mahathir kesal dengan kelewatan perbicaraan SRC International membabitkan Najib sehingga menyebabkan banyak kes lain tertangguh.

"Ada pepatah Inggeris yang berkata “justice delayed is justice denied” yang boleh kita terjemah sebagai “keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang terabai”.

"Kerana kes SRC Najib mengambil masa yang amat panjang (empat tahun) banyaklah kes-kes pencurian, salah guna kuasa, rasuah yang melibatkan ramai tokoh-tokoh politik tertangguh dan tidak dihadap ke mahkamah.

“Ada penjenayah yang meninggal dunia pun. Kelewatan perbicaraan akan menghasil keadilan terabai," kata ahli parlimen Langkawi itu yang kini mengetuai parti Pejuang.
Pada Selasa lalu, Najib, yang berkhidmat sebagai perdana menteri keenam dari 2009 hingga 2018, dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan berhubung tujuh pertuduhan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Dalam keputusan sebulat suara, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

"Sekarang Najib dibicara berkenaan kes lain yang juga akan mengambil masa yang panjang. Saya percaya hakim-hakim juga kurang senang dengan begitu banyak kes tertangguh.

"Kelewatan ini menjadi lebih buruk kerana perlakuan Najib dengan peguamnya. Bermacam alasan diguna untuk menghalang perbicaraan," tambah Mahathir.

Katanya, pada masa ini banyak laporan dibuat berhubung kes rasuah yang serius yang belum dibicarakan.

"Besar kemungkinan penjenayah akan terlepas dari dihukum kerana jenayah yang dilakukan oleh mereka.

"Benarlah seperti pepatah Inggeris bahawa keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang terabai.

"Bagi Najib besar kemungkinan ia akan diampun setelah dipenjara," kata Mahathir tanpa menghuraikan lebih lanjut.

Wednesday, August 24, 2022

Najib jadi PM pertama dihukum penjara walaupun UMNO kembali jadi kerajaan

agendaily.com
24/08/2022
Majoriti UMNO negeri mahu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal 2023.

Ironinya keputusan mahkamah semalam yang mensabitkan Datuk Seri Najib Razak dihukum penjara berlaku semasa era UMNO kembali menjadi kerajaan selepas beberapa krisis politik tercetus sebelum ini.

Walaupun kes pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri (PM) itu bermula ketika era Pakatan Harapan (PH) memerintah tetapi hukuman dijatuhkan semasa UMNO dapat kembali memerintah di Putrajaya, ia satu fakta menunjukkan institusi kehakiman bebas dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana parti politik.

Sebelum ini pelbagai persepsi dituduh terhadap UMNO sebaik parti itu kembali ke tampuk kuasa selepas Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diangkat menjadi PM kesembilan bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketika Ismail Sabri menjadi PM, walaupun terdapat tanggapan liar yang berpandangan kes Najib akan dibuang begitu sahaja, namun ia meleset sama sekali selepas mahkamah semalam bertindak membuat keputusan secara tegas dan mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan.

Dakwaan UMNO mengawal insititusi mahkamah dan perundangan negara tidak tepat sekali, malah tiada sebarang campur tangan bagi menyelamatkan bekas Presiden mereka tersebut.

Bagaimanapun, spekulasi tercetus sehari sebelum keputusan Mahkamah Persekutuan membuat keputusan semalam, ia susulan satu mesyuarat tergempar yang dipanggil oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengumpulkan Ketua-Ketua Bahagian di ibu pejabat UMNO.

Intipati perbincangan antara Ketua-Ketua Bahagian dengan Zahid didakwa berkisar kes Najib, tetapi ia dinafikan pemimpin tertinggi dan diperjelaskan ia hanya perbincangan melibatkan persediaan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Daripada satu sudut, UMNO mungkin dilihat kembali bersih selepas keputusan mahkamah memenjarakan Najib. Bagaimanapun persoalannya kini, adakah UMNO akan kembali kuat tanpa kehadiran Najib bersama di barisan hadapan?

Zahid sebelum memberi gelaran “Raja Media Sosial” kepada Najib kerana berjaya memulihkan parti itu dengan menggunakan kepakarannya dalam platform media baharu untuk mempengaruhi rakyat kembali mempercayai UMNO.

Najib banyak memainkan peranan dalam media sosial dalam memulihkan imej UMNO, kenyataan pendek dan sinisnya berjaya menawan hati semula rakyat yang suatu ketika dahulu menolak parti tersebut.

Dengan gelaran “Bossku”, Najib menjelajah ke pelosok negara untuk berkempen bagi memenangkan UMNO, ia ternyata berkesan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah, Melaka dan Johor.

Banyak kredit diberikan kepada Najib kerana kemahirannya menggunakan Facebook dan lain-lain platform media sosial dengan sebaik mungkin untuk menarik sokongan rakyat kepadanya.

Malah pada suatu ketika, pembangkang yang suatu ketika dahulu dianggap menguasai media sosial juga tidak dapat mengatasi populariti Najib yang lebih jauh disukai rakyat.

Kehilangan Najib dalam Facebook pasti dirasai oleh penyokong fanatiknya.

Namun, apakah langkah seterusnya UMNO selepas Najib di penjara semalam?

Adakah Ismail Sabri akan terus berdepan tekanan daripada partinya untuk menyegerakan PRU-15 atau adakah Zahid akan mengambil langkah lebih agresif selepas ini?

Untuk rekod, Zahid seperti Najib juga berdepan puluhan pertuduhan di mahkamah dan hanya menunggu masa untuk dijatuhkan hukuman.

Adakah UMNO akan terus mendesak supaya PRU-15 diadakan segera sebelum Oktober ini?

Tuesday, August 23, 2022

Umno: Kes Najib akan terus diulas, dihakimi rakyat

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 23, 2022 5:32 PM
Pemimpin Umno hari ini melahirkan rasa sedih dan terkilan terhadap keputusan mahkamah persekutuan yang mengekalkan sabitan bersalah terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak atas tuduhan rasuah membabitkan RM42 juta dana SRC International.

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan mengingatkan bahawa keputusan mahkamah tertinggi itu akan terus diulas dan sedang dihakimi rakyat.

“Kes ini akan terus diulas. Rakyat juga sedang menghakimi. Diharap beliau dan keluarga terus tabah,” ciapnya di Twitter.

Dalam pada itu Ahmad Maslan berkata dia tidak akan lupa jasa anak kepada perdana menteri kedua itu, yang telah melantiknya - seorang anak penoreh getah - sebagai timbalan menteri suatu ketika dulu.

“Beliau (Najib) anak perdana menteri (Abdul Razak Hussein). Namun telah melantik saya, anak penoreh getah sebagai timbalan menteri sebelum ini dan tidak akan saya lupa," kata Ahmad yang turut memuat naik gambar Najib ketika melafazkan sumpah mubahalah di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur dua hari lalu.

'Jasa Najib tak boleh dinafikan’

Sementara itu, naib presiden Umno, Mahdzir Khalid berkata walau apa pun keputusan mahkamah, jasa bekas presiden Umno itu tetap tidak boleh dinafikan.
"Saya secara peribadi merasa amat simpati terhadap Datuk Seri Mohd Najib Razak dan seluruh ahli keluarganya.

"Sebagai rakan seperjuangan dalam Umno, apa sekalipun yang berlaku, jasa dan khidmat bakti beliau kepada Umno dan negara sebelum ini, sama sekali tidak boleh dinafikan.

“Justice hurried is justice buried’”adalah satu frasa yang boleh kita hayati bersama dalam situasi ini," katanya di media sosial.

Dalam perkembangan sama, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Shamsul Anuar Nasarah turut melahirkan rasa sedih terhadap keputusan mahkamah persekutuan hari ini.

"Semoga Allah memberikan kekuatan kepada diri dan keluarga Datuk Seri Najib Razak.

"Apa pun dikata. Dia pernah berjasa," kata Shamsul dalam satu hantaran di Facebook.
Pada hantaran yang sama, seorang lagi ahli MKT Umno, Md Alwi Che Ahmad turut mengingatkan sumbangan dan jasa Najib kepada negara ini.

“Bukan pernah, banyak jasanya. Kita sangat hargai itu semua. Semoga Allah beri kekuatan kepadanya,” kata Md Alwi.

Terdahulu Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib dalam kes rasuah melibatkan SRC International Sdn Bhd melibatkan dana RM42 juta.

Keputusan itu dibuat secara sebulat suara oleh panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tengku Mat.

Sehubungan itu, ahli parlimen Pekan itu diperintah menjalani hukuman penjara selma 12 tahun bermula hari ini.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-