Saturday, October 13, 2018

PAS kata HARAPAN lebih dasyat dari Umno

Shakira Buang
Diterbitkan 12 Okt 2018, 11:17 malam


PRK PD | Meskipun baru enam bulan mentadbir negara, namun Pakatan Harapan (HARAPAN) sudah disifatkan sebagai pemerintah paling dasyat berbanding dengan Umno.

Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Nik Zawawi Nik Mohd Salleh berkata ini kerana kerajaan HARAPAN telah berbohong kepada rakyat yang mengundi mereka.

“Selepas mencecah hampir 100 hari PRU14 melabuhkan tirainya, masyarakat nak lihat perubahan berlaku," katanya.

Nik Zawawi berkata demikian dalam siri ceramah di Ma'ahad Tahfiz At-Thohiriyah, di Taman Selasih, Port Dickson, malam ini.

Tambahnya, pentadbiran HARAPAN juga menunjukkan mereka lebih dahsyat dalam pengurusan ekonomi berbanding BN.

"HARAPAN lebih dahsyat daripada Umno dan BN. Dari segi ekonomi lagi dahsyat...tentunya kita yakin rakyat dalam negara bila mereka silap pilih, dengan sikap berani tukar kerajaan, cuma mereka tersasar," katanya.

Nik Zawawi berkata, disebabkan itu PAS mengambil keputusan meletakkan calon mereka walaupun mengakui bukan mudah untuk memenangi kerusi itu.

"Sebab itu kita tampilkan PAS dengan janji manifesto kita, kita sentiasa tawarkan agenda Islam.

"Betul kalau menang kita tak mampu ubah kerajaan tapi kemenangan PAS di Port Dickson akan memberi bacaan politik baru kepada negara.

"Kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan bertukar tangan, atau politik akan baca kerajaan HARAPAN akan jatuh di tengah jalan sebelum PRU15," katanya, dalam ceramah kempen terakhir sebelum tamat tempoh berkempen tengah malam ini.

Selar PM

Nik Zawawi juga turut menyelar kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung cadangan pelaksanaan cukai baru bagi membantu kerajaan melunaskan hutang negara.

"Perdana menteri baru cakap nak perkenal sistem cukai lain, bukan nak mansuh SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) tapi tambah lagi cukai. Katanya tidak menyusahkan rakyat, dia nak minta cukai dengan siapa, lembu, ayam, kambing?" Soalnya.

PRK Port Dickson dijadualkan berlangsung esok, selepas tamat tempoh 14 hari berkempen, bermula penamaan calon pada 29 September lalu.

PAS meletakkan calon veteran tentera berpangkat leftenan kolonel, Mohd Nazari Mokhtar untuk menentang calon Pakatan Harapan Anwar Ibrahim, yang dijangka bakal memenangi PRK itu.

Kajian Institut Darul Ehsan (IDE) menjangkakan Anwar akan menang 74 peratus undi manakala Ilham Center menjangkakan ketua umum PKR itu menang dengan 64 peratus undi.

Ilham Center ramal PAS hilang deposit

IDE menjangkakan PAS akan memperolehi 11 peratus undi daripada keseluruhan 75,770 pengundi di Parlimen Port Dickson.

Kajian Ilham Center pula menjangkakan PAS akan hilang deposit di kerusi itu, disebabkan jentera parti yang lumpuh.

"Ada menyebut lawan kita boleh menang, dia tak sebut dengan mudah, ada sebut gergasi besar boleh tumbang.

"Kita bukan isu nak melawan Anwar atau calon lain, kita masuk bertanding di Port Dickson kerana ingin tunjuk kepada masyarakat perjuangan kita sampai bila-bila," kata Nik Zawawi lagi.

Terdahulu lebih 100 anggota PAS mengadakan solat hajat bagi memohon Allah melindungi dan memberi kemenangan kepada calon parti Islam itu pada PRK Port Dickson, esok.

Solat hajat itu turut disusuli dengan zikir, doa munajat dan taujihat perdana.

Solat berkenaan diimamkan oleh Nik Zawawi

Hadir sama Mursyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Mahfodz Mohamed, calon PAS bagi PRK Port Dickson, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-