Wednesday, October 24, 2018

Polis Polis nasihat persatuan pemandu teksi tidak timbulkan kekecohan di MYCC hari ini

Diterbitkan 24 Okt 2018, 7:14 pagi 


Persatuan pemandu teksi diingatkan supaya tidak melakukan kekacauan dan mengganggu ketenteraman awam semasa mengadakan perjumpaan di pejabat Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC) di ibunegara pagi ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata pihaknya menerima maklumat mengenai perjumpaan itu yang dikatakan bagi tujuan membincangkan isu perkhidmatan e-teksi seperti Grab pada pukul 11 pagi.

“Sebelum ini, kumpulan ini pernah merancang untuk mengadakan perhimpunan di Parlimen pada hari Rabu lepas untuk membantah perkhidmatan Grab dan lain-lain isu tetapi dibatalkan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mazlan berkata pihaknya bersiap sedia dan akan mengatur tugas-tugas kawalan keselamatan serta lalulintas di kawasan yang terbabit.

“Polis Kuala Lumpur juga menasihati agar mereka ini tidak membuat kacau dan mengganggu ketenteraman awam, ancaman keselamatan serta menghalang lalulintas. Polis akan megambil tindakan tegas jika perkara-perkara yang dinyatakan berlaku,” katanya.

Ahad lepas, majlis perjumpaan Dr Mahathir bersama persatuan pemandu teksi di Langkawi menjadi kecoh seketika apabila beberapa orang anggota persatuan bertindak keluar majlis dan berteriak kerana tidak setuju dengan pandangan beliau berhubung perkhidmatan Grab.

Sementara itu, wakil pemandu-pemandu teksi Datuk Shamsubahrin Ismail pula dalam satu kenyataan malam tadi berkata perhimpunan secara aman di Parlimen yang dicadang pemandu teksi hari ini perlu dibatalkan kerana mereka perlu mengikut prosedur dan arahan pihak polis.

“Mengikut prosedur yang ditetapkan pihak polis, pemandu teksi perlu mengemukakan beberapa dokumen dan polis juga meminta ditukar tarikhnya kepada tarikh baharu yang akan memakan masa selama 10 hari dari tarikh surat permohonan dihantar kepada polis,” katanya.

Shamsubahrin berkata beliau serta pemandu teksi akan mengikut semua prosedur yang ditetapkan dengan menyertakan semua dokumen yang diperlukan untuk menganjur perhimpunan itu.

“Perhimpunan akan tetap dilaksanakan namun tarikh dan waktunya akan diberitahu kelak," katanya.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-