Thursday, October 4, 2018

Rosmah tenang, dikawal ketat, tiba di mahkamah untuk didakwa

Faiz Zainudin
-October 4, 2018 8:55 AM

Rosmah dijangka berdepan sekurang-kurangnya 15 pertuduhan berkaitan pengubahan wang melibatkan RM7 juta.

KUALA LUMPUR:
Isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Mahkamah Jalan Duta untuk pendakwaan selepas penyiasat menyoalnya semalam mengenai peranan beliau dalam skandal 1MDB.

Rosmah tiba jam 8.30 pagi menaiki kenderaan Toyota Vellfire hitam diiringi kenderaan polis selepas ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Beliau yang berbaju kurung oren kelihatan tenang ketika hadir untuk pertuduhan itu diiringi ketat pegawai polis dan SPRM.

Rosmah turut ditemani peguamnya, Datuk K Kumaraendran serta ahli keluarga.

Semalam Rosmah ditahan SPRM berhubung siasatan pengubahan wang haram.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, Rosmah ditahan pada 3.20 petang selepas disoal siasat hampir 5 jam dan Jabatan Peguam Negara bersetuju mendakwanya.

SPRM berkata, Rosmah akan didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLAFTA) 2001.

Rosmah dijangka berdepan sekurang-kurangnya 17 pertuduhan pengubahan wang melibatkan lebih RM14 juta, kata beberapa sumber.

Menurut sumber, kesalahan itu yang disiasat bawah AMLATFA didakwa dilakukan antara 2013 dan 2014.

Sumber berkata jika kesalahan itu dilakukan sebelum September 2014, Rosmah berdepan hukuman denda sehingga RM5 juta, penjara maksimum 5 tahun, atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Sekiranya ia dilakukan selepas September 2014, maka beliau berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Sebelum ini suami beliau yang juga bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berdepan 32 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram, salahguna kuasa dan pecah amanah.

Pada 20 September, Najib, 65, dituduh dengan 21 tuduhan pengubahan wang haram dan 4 tuduhan salahguna kuasa berkaitan wang berjumlah RM2.28 bilion yang diterima dalam akaun bank peribadi.

Pada 4 Julai, Najib dituduh dengan 3 tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salahguna kuasa berkaitan sejumlah RM42 juta yang dipindahkan ke akaun bank miliknya daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Pada 8 Ogos pula, Najib didakwa bawah AMLAFTA atas 3 tuduhan pengubahan wang berkaitan transaksi yang sama.

Najib bebas dengan ikat jamin mencecah RM4.5 juta dan perbicaraan dijangka bermula di Mahkamah Tinggi awal tahun depan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-