Tuesday, October 2, 2018

Saiful nafi dibayar lawan Anwar di PD, halang jadi PM

FMT Reporters
-October 2, 2018 2:08 PM

Saiful Bukhari Azlan membidas Anwar Ibrahim tidak layak menjadi perdana menteri ke-8 kerana melanggar prinsip ‘anti penyelewengan’ dan ‘anti pembaziran wang rakyat’ yang dicanangnya dengan memaksa PRK diadakan bagi memenuhi agenda peribadinya. (Bernama pic)

PETALING JAYA: Bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan menyangkal dakwaan beliau dibayar untuk menentang presiden PKR itu dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson dan menggagalkan usaha menjadikannya perdana menteri ke-8.

Calon bebas itu berkata, keputusan bertanding di PRK Port Dickson tidak bermotifkan dendam kerana Anwar sudah dihukum atas kesalahan meliwatnya pada 2008.

“Saya tidak dibayar, saya benar-benar ‘lone ranger’. Hari ini, saya akan lancarkan kempen kutipan dana bagi membantu kempen,” katanya dalam wawancara bersama Utusan Online hari ini.

“Pada saya, ia gerakan yang sihat seperti mana pilihan raya di Amerika Syarikat. Kalau tidak, kita tidak tahu dari mana sumber kewangan parti.

“Saya sudah ‘move on’. Saya hormati proses dilakukan, saya sudah buat apa yang patut dan dia juga sudah menjalani hukuman, maka ini bukannya dendam. Saya ingin berikan harapan kepada orang biasa, rakyat biasa juga boleh perjuangkan usaha untuk berada dalam sistem demokrasi.”

Saiful turut membidas Anwar tidak layak menjadi perdana menteri ke-8 bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad kerana melanggar prinsip “anti penyelewengan” dan “anti pembaziran wang rakyat” yang dicanangnya dengan memaksa PRK diadakan di Port Dickson bagi memenuhi agenda peribadinya.

“Saya pernah bekerja dengannya dan pada saya, dia tidak layak. Saya kenal dan saya tahu kekuatan dan kelemahan dia. Kalau dilihat sekarang ini pun, apa lagi yang buat dia tidak layak adalah di mana soal moral dan prinsip untuk PRK Port Dickson diadakan.

“Ini belum lagi beliau jadi wakil rakyat dan perdana menteri, apa lagi benda-benda mengarut yang dia hendak buat selepas ini. Kenapa tidak gunakan Parlimen Permatang Pauh atau kerusi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail? Mengapa perlu perkotak-katikkan rakyat Port Dickson?

“Kalau dia buat di Permatang Pauh, saya rasa rakyat di sana sudah tentu gembira, dia sendiri nyatakan ketika saya baca dalam satu kenyataan, dia katakan rakyat Permatang Pauh tetap di hati…kalau bertanding di Port Dickson, maka rakyat di sinilah yang berada di hati.”

Saiful turut mengecam cubaan peralihan kuasa terlalu awal, sedangkan manifesto Pakatan Harapan (PH) berjanji peralihan kuasa hanya berlaku selepas 2 tahun pentadbiran Dr Mahathir.

“Dalam pepatah Cina ada katakan tidak boleh ada 2 harimau atas satu bukit, maka kita tidak boleh ambil risiko. Apakah jaminan negara akan stabil jika Anwar masuk ke dalam Kabinet, sedangkan isterinya, Wan Azizah sudah menjadi timbalan perdana menteri?

“Banyak polemik akan berlaku apabila hendak tukar perdana menteri. Sebenarnya, ia bukan tukar perdana menteri sahaja, tetapi seluruh Kabinet akan berubah, bahkan ia juga menyebabkan dasar-dasar yang diambil menteri ketika ini akan berubah.”

Sementara itu, Saiful berjanji tidak akan meletak jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar kembali ke Parlimen, jika beliau memenangi PRK Port Dickson pada 13 Oktober ini.

“Saya sudah bersedia kerana saya sendiri sudah disepak terajang selama 10 tahun, dari segi tugas saya sudah bersedia.

“Saya beri jaminan tarikh mengundi akan datang adalah pada pilihan raya umum ke-15, melainkan umur saya pendek.”

Pada Februari 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 5 tahun penjara ke atas Anwar atas kesalahan meliwat Saiful pada Jun 2008.

Anwar yang dibebaskan 16 Mei lalu, mendapat pengampunan diraja selepas kemenangan PH pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Datuk Danyal Balagopal Abdullah melepaskan kerusi Parlimen Port Dickson pada 12 September lalu untuk memberi laluan kepada Anwar kembali ke Dewan Rakyat.

Bekas pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu memenangi kerusi Parlimen Port Dickson dengan 36,225 undi pada 9 Mei lalu, menewaskan VS Mogan daripada Barisan Nasional (18,515 undi) dan calon PAS, Mahfuz Roslan (6,594 undi).

Anwar akan berdepan 6 pesaing, iaitu Mohd Nazari Mokhtar yang mewakili PAS dan 5 calon bebas lain, iaitu bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad, Stevie Chan, Lau Seck Yan, Kan Chee Yuen dan Saiful.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-