Thursday, November 1, 2018

Kelantan sedia kaji perintah berkurung remaja di malam hari

Diterbitkan 1 Nov 2018, 12:25 tengah hari 


Bagi mengatasi gejala sosial di Kelantan, kerajaan negeri bersedia mengkaji pelaksanaan perintah berkurung pada waktu malam melibatkan golongan remaja.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wa­nita negeri, Mumtaz Md Nawi berkata, sekurang-kurang­nya tujuh negara sudah melaksanakan perintah berkurung ke atas remaja dan kanak-kanak, lapor Utusan Online.

Menurutnya, antara negara yang sudah melaksanakannya adalah Amerika Syarikat (AS), Australia, Thailand, Jerman, Britain, Iceland dan United Kingdom (UK).

"Kita sambut baik cada­ngan perintah berkurung yang mampu merapatkan hubungan kekeluargaan dan menurun­kan kadar gejala sosial, pera­turan sebegini sudah dilaksanakan di lebih 500 buah bandar di AS dan banyak negara lain.

"Kebanyakan negara menetapkan remaja berusia 16 tahun ke bawah tidak boleh keluar rumah melebihi pukul 10 malam manakala bagi remaja bawah 18 tahun pula lara­ngan adalah pada waktu melebihi pukul 12 malam,” katanya seperti dilaporkan Utusan Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap menggulung perbahasan Belanjawan 2019 dalam sidang Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Bharu, semalam.

Mumtaz yang juga anggota dewan undangan negeri (ADUN) Demit berkata, beliau yakin berdasarkan perkem­ba­ngan isu sosial masa kini, sudah tiba masanya untuk me­laksanakan apa yang menjadi amalan negara luar demi menjamin masa hadapan anak-anak di negeri ini.

Justeru katanya, perintah berkurung boleh dibuat sama ada melalui kuasa legislatif ne­geri ataupun undang-undang kecil majlis perbandaran.

"Negara maju sudah pun menjadikan ini amalan malah jika kita melihat contoh negara Iceland peraturan begini telah terbukti berjaya mengurangkan gejala sosial di negara tersebut.

"Malah, ada bandar di AS se­perti Los Angeles yang mengenakan perintah berkurung untuk remaja bukan saja waktu malam bahkan tempoh tertentu pada waktu siang," jelasnya dipetik sebagai berkata.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-