Thursday, November 1, 2018

Ketuanan Melayu: Bukan antara tuan dan kuli

Published on November 1, 2018


SHAH ALAM – Ketuanan Melayu mempunyai definasi tersendiri dan tidak wajar untuk diterjemahkan melalui pengertian yang literal.

Pakar Rujuk Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Datuk Dr Firdaus Abdullah berkata, apabila bercakap mengenai ketuanan Melayu, perkara itu tidak boleh dianggap sebagai tuan dan kuli dalam pengertian yang literal.

“Ketuanan Melayu perlu diterjemah melalui pengertian yang ada konotasi kebudayaan dan sejarah serta semangat kontrak sosial, ia perlu lebih figuratif,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan tak guna bercakap ketuanan Melayu kalau kamu bekerja sebagai kuli orang.

Mahathir berkata demikian menjawab soalan media ketika ditanya tentang pendiriannya terhadap isu yang dibangkitkan oleh Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tentang ketuanan Melayu yang sudah perlu berakhir.

[ARTIKEL BERKAITAN: ‘Lebih baik pendam daripada salah cakap’]

[ARTIKEL BERKAITAN: Ketuanan Melayu berakhir: Syed Saddiq perlu faham sejarah!]

[ARTIKEL BERKAITAN: Pandangan Syed Saddiq disalah tafsir: Muhyiddin]

Firdaus yang juga mantan senator berkata, jika maksud ketuanan Melayu dipermudah-mudahkan begitu ia boleh menimbulkan kekeliruan semua pihak.

“Benar, mungkin Tun M ketika bercakap hal itu, dia sedang menyindir tapi orang Melayu sendiri tidak wajar mempermainkan isu ini (ketuanan Melayu).

“Ia seolah-olah membiarkan diri kita sendiri masuk perangkap DAP yang dikehendaki mereka ketika kempen Malaysia Malaysia 40 tahun lalu.

“Oleh kerana itu, ungkapan ketuanan Melayu itu haruslah difahami dalam konteks yang sesuai dengan wasiat raja-raja Melayu, sesuai dengan semangat kontra sosial sewaktu kita nak menggubal perlembagaan satu masa dulu.

“Dan sesuai juga dengan ucapan Presiden Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Dr Burhanuddin Helmi semasa Malaysai hendak mencapai kemerdekaan,” katanya.

Firdaus menegaskan, mengungkit-ungkit perkara ketuanan Melayu langsung tidak ada faedah, hanya akan menimbulkan perbalahan yang tidak produktif dikalangan orang Melayu.

“Tapi kalau nak dibangkitkan juga, ia perlu dibincangkan dalam pengertian semangat kontrak sosial bukannya literal,” katanya.

Source: SH Nasional

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-