Thursday, November 8, 2018

Rasuah pemimpin PH Perak: Peguam lapor SPRM

MyMetro
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@nstp.com.my

Mohd Khairul Azam menunjukkan laporan dan bukti rasuah selepas membuat laporan kepada SPRM Kuala Lumpur. FOTO Rosela Ismail

PEGUAM Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, hari ini membuat dua laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa wujudnya rasuah membabitkan tokoh perniagaan, Koon Yew Yin serta beberapa individu dalam Kerajaan Negeri Perak.

Beliau berkata, maklumat mengenai wujudnya unsur rasuah itu diperoleh berdasarkan artikel diterbitkan pada 2 November lalu dalam blog milik tokoh perniagaan itu yang bertajuk ‘Perak Sultan has no right to stop my appointment as economic adviser’ (Sultan Perak tidak mempunyai kuasa menghentikan perlantikan saya sebagai penasihat ekonomi).

Katanya, menerusi artikel yang kemudian dipadamkan sendiri oleh Koon, tokoh perniagaan itu mengaku menyumbang ratusan ribu ringgit kepada parti dalam Pakatan Harapan (PH) dan sebagai balasan, beliau dijanjikan jawatan sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Perak.

“Pengakuan itu jelas membuktikan berlakunya amalan rasuah membabitkan Koon dan Kerajaan Negeri Perak selain beberapa parti yang menerima dana sumbangan politik darinya.

“Jadi, saya minta SPRM untuk menyiasat Koon atas jenayah rasuah yang diakui sendiri oleh beliau dalam artikel tulisannya sendiri,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di SPRM Kuala Lumpur, hari ini.

Mohd Khairul berkata, SPRM juga perlu menyiasat Menteri Besar Perak, Datuk Seri Faizal Azumu berdasarkan janji bagi melantik tokoh perniagaan itu sebagai penasihat ekonomi.

Selain itu, Mohd Khairul berkata, SPRM juga perlu menyiasat Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming yang menerima derma secara peribadi RM300,000 sebagaimana didedahkan tokoh perniagaan dalam artikel kedua ditulis dalam blog yang sama bertarikh 5 November lalu.

Katanya, menerusi artikel itu, Koon mengaku menderma RM200,000 secara peribadi kepada Nga berikutan Ahli Parlimen Teluk Intan itu tidak dapat menggunakan wang parti DAP secara bebas.

“Dalam artikel yang sama juga, Koon menyatakan beliau memberi tambahan RM100,000 selepas Nga mengetahui tidak terpilih menjadi menteri.

“Pemberian RM300,000 itu sebagai balasan kepada janji PH Perak untuk melantik tokoh perniagaan itu sebagai penasihat ekonomi sebelum memuat naik artikel berkenaan bagi meluahkan rasa kecewa apabila tidak dilantik ke jawatan itu,” katanya.

Menurut Mohd Khairul laporan kepada SPRM itu dibuat berikutan dua artikel berkenaan dengan jelas membuktikan Koon memberikan rasuah kepada Nga dan beberapa parti seperti dinyatakannya.

“Dua artikel berkenaan sempat saya tangkap layar (screen shot) sebelum ia dipadamkan dan boleh digunakan SPRM untuk siasatan rasuah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 6:53 PM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-