N Faizal Ghazali, Alyaa Alhadjri & Ili Aqilah
Diterbitkan: Feb 13, 2025 12:43 PM
PARLIMEN | Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa pembangkang tidak menghormati undang-undang negaraa apabila terus cuba membangkitkan soal titah tambahan (adendum) Yang di-Pertuan Agong kepada Najib Razak.
Anwar menegaskan hal itu selepas pembangkang terus mendesak meminta penjelasan mengenai apakah isu adendum turut memberi kesan terhadap kejatuhan pelaburan di negara ini.
Terdahulu Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (PN - Machang) dalam soalan tambahanya mempersoalkan apakah punca aliran bersih keluar modal asing berkait dengan persepsi rasuah dan juga adendum yang difikirkan memberi kesan kepada kestabilan politik negara.
Soalan pemimpin Bersatu itu kemudian disusuki pula kritikan Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin (PN - Larut) yang tidak puas hati dengan cara jawapan disampaikan perdana menteri.
Anwar (PH-Tambun) kemudian menegaskan dan mengulangi komitmennya untuk menjelaskan isu adendum tersebut selepas kes di mahkamah diselesaikan.
"Soal tidak jawab adendum, saya dah bagi tahu. Saya nak jawab macam mana (sebab) ini kes mahkamah. Saya boleh jawab, saya dah bagi jaminan di parlimen.
“(Apabila) Selesai kes mahkamah saya akan jawab, saya nak tengok ketua pembangkang hadir atau tidak,” katanya disambut rasa tidak puas hati beberapa ahli parlimen blok pembangkang.
Kata Anwar, dia tidak keberatan dengan sikap ahli parlimen pembangkang yang terus tidak berpuas hati dan mereka boleh menjerit sebanyak mana yang dimahukan.
Bukan tak mahu dengar
Hal itu kerana, kata Anwar, dia tahu setiap fakta yang melatari isu berkenaan namun pihak pengkritikk terus mendesaknya agar menyentuh kedudukan raja-raja Melayu.
“Saya tidak boleh (melanggar batasan) dan saya dalam hal ini, boleh check, saya memang ada hubungi raja-raja.
"Pergi tanya Sultan Kelantan,” katanya.
Anwar juga sekali lagi menegaskan untuk memberi penjelasan berhubung isu berkenaan selepas pertikaian di mahkamah berakhir.
"Tetapi saya tidak boleh (jelaskan) sekarang kerana kes itu di mahkamah. Tetapi pembangkang tidak peduli subjudice, tidak peduli kerana dia anggap dia above the law," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri.
Tambah Anwar, dia membangkitkan soal adendum ketika itu kerana pembangkang mengaitkannya dengan hujah mendakwa ia menjadi punca pelaburan negara merosot.
![](https://i.newscdn.net/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/11/c1f5b8bdf01c1661c61bc42fd1801e5d.jpg)
Hamzah Zainudin
"Saya nak tanya angka ini dari mana? Pelaburan meningkat jadi cakap itu tidak bertanggungjawab. Sebab itu kita jawab tegas, cakap mengarut tidak berdasarkan fakta."Kalau bagi cadangan umpamanya Bursa Malaysia harus menjalankan reformasi, saya setuju, ada perubahan pimpinan Bursa Malaysia dengan maksud memberikan peluang reform.
"Ada cadangan awal tetapi saya setuju harus ditingkatkan tetapi kena faham juga dalam keadaan sekarang pun jumlah dagangan saham meningkat RM2 trilion.
“Ini yang saya bangkitkan… bukan masalah tidak mahu dengar, saya dengar tetapi kita tahu juga bahawa adendum inilah menyebabkan keyakinan," katanya.
Dalam sidang media selepas itu, Hamzah menafikan wujud soal subjudice.
"Sebab itu saya bangkit nak minta soalan yang timbul kepada saya tentang keyakinan pelaburan terhadap kerajaan Malaysia yang ada hari ini disebabkan banyak perkara, bukan hanya bab adendum.
"Tapi apabila perdana menteri bangkitkan adendum saya nak katalah, adendum keluar bulan Jan tetapi afidavit masuk beberapa bulan sebelum itu, mana ada subjudice.
"Kalau ada sikap keterbukaan dan berterus-terang, jawablah sebelum perkara ini dibawa ke mahkamah,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.