Monday, December 10, 2018

ICERD: Dr M buat ‘pusingan-U’ untuk selamatkan sokongan Melayu, kata penganalisis

Vinodh Pillai
-December 10, 2018 9:21 AM

Himpunan besar-besaran diadakan bagi membantah ICERD pada 8 Dis lepas.

PETALING JAYA:  Penganalisis politik menolak alasan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung keputusan kerajaan tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dengan berkata, beliau berkemungkinan besar melakukannya bagi “menyelamatkan” sokongan orang Melayu kepada Pakatan Harapan (PH).

Mereka merujuk kepada komentar Dr Mahathir di sebuah universiti tempatan baru-baru ini bahawa langkah itu dibuat untuk membolehkan orang Melayu dibantu supaya tidak terus ketinggalan.

Satu himpunan besar membantah ICERD diadakan di Kuala Lumpur beberapa jam sebelum itu.

Dr Oh Ei Sun dari Pusat Penyelidikan Pasifik berkata, langkah meratifikasi dijangka memberi keuntungan kepada PH.

“Akan tetapi apabila ia berhadapan dengan tentangan besar daripada kelompok konservatif orang Melayu, Dr Mahathir berpatah balik kepada watak Melayu didahulukannya yang lama dan mengeluarkan kenyataan sebegitu bagi menyelamatkan sokongan orang Melayu kepada PH.”

Bercakap kepada FMT, Oh berkata, tentangan “besar-besaran” orang Melayu di peringkat akar umbi itu “benar-benar mengejutkan” pentadbiran Dr Mahathir.

ICERD menghendaki negara anggota menghapuskan diskriminasi kaum dalam semua bentuk, termasuk dalam institusi awam dan polisi kerajaan – isu teras yang dibantah oleh kumpulan orang Melayu.

Mereka berkata, ratifikasi ICERD akan menghakis kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, termasuk peruntukan yang membenarkan kuota dalam institusi awam seperti terkandung dalam Perkara 153 perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga membantah garis masa ICERD ke atas negara anggota bagi menamatkan semua program afirmatif yang dikatakan akan menghapuskan dasar Bumiputera yang diamalkan sejak beberapa dekad lepas.

Dr Awang Azman Awang Pawi mempersoalkan langkah Dr Mahathir mengetepikan kepentingan ICERD walaupun selepas berjanji untuk meratifikasi “kesemua baki instrumen teras Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkaitan hak asasi manusia di Persidangan Agung badan itu pada Sept lepas”.

“Keputusan Dr Mahathir untuk menyokong bantahan terhadap ICERD adalah langkah politik kerana beliau bimbang setelah menyaksikan satu himpunan bantahan yang lebih atau sama besar dengan himpunan Bersih sebelum ini,” kata penganalisis dari Universiti Malaya itu kepada FMT.

“(Beliau tahu) ini akan memberi kesan buruk kepada reputasi PH. Beliau cuba mengawal keadaan kerana (terus meratifikasi ICERD) akan menyebabkan ramai rakyat bimbang terhadap kepimpinan PH (terlalu awal dalam pentadbiran mereka).”

Awang Azman berkata, dalam pilihan raya umum ke-14 Mei lepas, PH hanya mendapat kira-kira 26% undi orang Melayu.

Kata beliau, angka itu merosot sekurang-kurangnya 5% ke 15% berikutan kemelut ICERD dan respons PH terhadapnya.

“Jika isu seperti ICERD dibangkitkan, ia akan membahayakan masa depan PH sebagai sebuah kerajaan,” katanya, dengan menyebut beberapa bom jangka lain yang membawa kesan yang sama seperti kos hidup yang tinggi, peluang pekerjaan, kemiskinan dan perumahan.

“PH mesti mencari jalan untuk mengembalikan keyakinan rakyat, terutama kelompok Melayu konservatif, yang meragui kepimpinan dan pentadbiran mereka sejak awal lagi,” katanya.

Dr Mahathir bagaimanapun menafikan pengumuman kerajaan untuk menolak ICERD merupakan langkah mundur di pihaknya dengan berkata, beliau masih ingat dengan jelas ucapannya itu.

“Sewaktu saya berucap di PBB, saya ingat dengan jelas. Saya kata, kita akan meratifikasi semua konvensyen PBB, tetapi saya sebutkan juga kita merupakan negara berbilang kaum dan agama. Kita akan hadapi masalah di situ.

“Jadi sekarang masalah yang kita jangka itu telah berlaku dan kita perlu bertindak balas terhadapnya,” kata beliau.

Prof James Chin dari Universiti Tasmania berkata, walaupun orang Melayu mungkin akan menyokong langkah Dr Mahathir itu, tetapi orang bukan-Melayu akan melihat episod tersebut sebagai bukti bahawa “rasisme institusi silam” pentadbiran sebelum ini akan terus kekal.

“Jelas PH gagal meyakinkan orang Melayu bahawa diskriminasi kaum adalah salah. Mereka tidak melihat raisme salah kerana mereka tidak melihatnya sedemikian; mereka melihatnya sebagai ‘hak’ mereka di bawah ‘Ketuanan Melayu’.

“Di bawah ‘idea’ itu, orang Melayu mesti diberikan keutamaan berbanding semua kumpulan kaum lain. Ini bermakna orang bukan-Melayu akan terus menjadi warganegara kelas 2. Ini merupakan permainan Umno ketika ia berkuasa dan PAS bersetuju dengannya,” kata beliau.

Dalam pada itu, pakar geostrategi politik, Dr Azmi Hassan dari Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia berkata, beliau yakin Dr Mahathir dan anggota Kabinetnya “tidak cenderung untuk meratifikasi ICERD sejak awal lagi”.

Ini kerana wujud “konflik kepentingan” antara konvensyen itu dengan Perkara 153 perlembagaan Persekutuan.

Katanya, ia meletus sebagai satu isu apabila Wisma Putra berkata adalah penting untuk meratifikasi baki 6 triti hak asasi PBB berkenaan.

Justeru, Azmi menolak anggapan bahawa pusingan-U Dr Mahathir itu dibuat hanya untuk meraih “simpati”orang Melayu dan menambah Kementerian Luar Negeri perlu lebih berhati-hati pada masa depan.

Sejak 1995, Malaysia hanya menandatangani 3 triti PBB.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-