Tuesday, December 11, 2018

Rakyat perlu sabar, bagi k'jaan masa pulih ekonomi - Anwar

Haspaizi Zain 
Diterbitkan 11 Dis 2018, 9:34 pagi 


Rakyat perlu bersabar dan memberi masa kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memulihkan kembali ekonomi sekali gus dapat melaksanakan kembali program bantuan rakyat diperkenalkan kerajaan BN sebelum ini.

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata kerajaan terpaksa menghentikan beberapa program bantuan kepada rakyat yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini kerana situasai ekonomi tidak mengizinkan.

"Sekarang pertumbuhan ekonomi kita sekitar 4.5 peratus, dahulu sewaktu saya jadi Menteri Kewangan pertubuhan ekonomi kita 9 peratus.

"Tapi ini tidak bermakna kita tidak boleh bantu orang yang berhak (mendapat bantuan), orang miskin mahupun pelajar," katanya pada sesi dialog Meet Anwar di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, malam tadi.

Beliau menjelaskan dasar kerajaan kini adalah untuk memulihkan ekonomi dan mengurangkan hutang negara.

Ketirisan, hutang negara

Jelas beliau, kerajaan PH boleh melaksanakan "program populis" seperti dilakukan BN, namun ia akan menyebabkan hutang negara bertambah.

"Masalah kita ialah ketirisan beberapa subsidi nelayan yang tidak sampai kepada nelayan, sebaliknya sampai kepada orang tengah parti yang mengaku nelayan.

"Kita tidak mahu hutang negara terlalu besar dan kita tidak mahu mengambil hutang baru. Kalau kita nak popular kita beri saja (macam program bantuan BN), katanya.

Ditanya mengenai tempoh masa yang diperlukan kerajaan bagi memulihkan kembali ekonomi, Anwar berkata rakyat perlu "bersabar sebentar".

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan penuntut UPM mengenai beberapa program bantuan yang diperkenalkan kerajaan BN sebelum dimasuhkan dalam Belanjawan 2019.

Untuk rekod, antara program bantuan rakyat yang diperkenalkan kerajaan BN selain Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ialah, Bantuan Sara Hidup Nelayan; Baucer Buku 1Malaysia (BBS1M); Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M); Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) untuk penoreh getah dan Bantuan Awal Persekolahan.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad meminta Menteri Kewangan Lim Guan Eng merangka rancangan untuk membantu golongan miskin dalam masa terdekat.

Berucap dalam majlis makan amal PH 208 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), beliau berkata keadaan mungkin akan lebih baik pada tahun depan tetapi golongan tersebut tidak mampu untuk menunggu sehingga tempoh itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-