Showing posts with label Belanjawan 2019. Show all posts
Showing posts with label Belanjawan 2019. Show all posts

Sunday, December 23, 2018

Kerajaan semak Belanjawan 2019 jika harga minyak mentah kurang AS$50 setong, kata Guan Eng

Bernama
-December 23, 2018 10:07 AM

Peningkatan inventori minyak mentah selain unjuran pengeluaran minyak syal menjejaskan harga minyak yang diburukkan oleh jualan menyeluruh dalam sektor kewangan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kerajaan hanya akan menyemak Belanjawan 2019 jika harga minyak mentah susut kurang daripada AS$50 setong, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Kementerian Kewangan menyediakan belanjawan berasaskan harga minyak mentah pada AS$70 setong.

Harga minyak merosot ke paras terendah dalam tempoh setahun Selasa lepas, turun antara 4% dan 7% sepanjang minggu lepas, diheret turun oleh kelembapan ekonomi dunia, selain kebimbangan terhadap lebihan bekalan dalam pasaran minyak.

West Texas Intermediate (WTI) turun di bawah AS$47 setong manakala Brent susut ke paras AS$56.

Punca kemerosotan mengejut itu disumbangkan oleh pelbagai faktor.

Peningkatan inventori minyak mentah selain unjuran pengeluaran minyak syal menjejaskan harga minyak, namun kejatuhan harga diburukkan lagi oleh jualan secara menyeluruh dalam sektor kewangan.

Tuesday, December 11, 2018

Rakyat perlu sabar, bagi k'jaan masa pulih ekonomi - Anwar

Haspaizi Zain 
Diterbitkan 11 Dis 2018, 9:34 pagi 


Rakyat perlu bersabar dan memberi masa kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memulihkan kembali ekonomi sekali gus dapat melaksanakan kembali program bantuan rakyat diperkenalkan kerajaan BN sebelum ini.

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata kerajaan terpaksa menghentikan beberapa program bantuan kepada rakyat yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini kerana situasai ekonomi tidak mengizinkan.

"Sekarang pertumbuhan ekonomi kita sekitar 4.5 peratus, dahulu sewaktu saya jadi Menteri Kewangan pertubuhan ekonomi kita 9 peratus.

"Tapi ini tidak bermakna kita tidak boleh bantu orang yang berhak (mendapat bantuan), orang miskin mahupun pelajar," katanya pada sesi dialog Meet Anwar di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, malam tadi.

Beliau menjelaskan dasar kerajaan kini adalah untuk memulihkan ekonomi dan mengurangkan hutang negara.

Ketirisan, hutang negara

Jelas beliau, kerajaan PH boleh melaksanakan "program populis" seperti dilakukan BN, namun ia akan menyebabkan hutang negara bertambah.

"Masalah kita ialah ketirisan beberapa subsidi nelayan yang tidak sampai kepada nelayan, sebaliknya sampai kepada orang tengah parti yang mengaku nelayan.

"Kita tidak mahu hutang negara terlalu besar dan kita tidak mahu mengambil hutang baru. Kalau kita nak popular kita beri saja (macam program bantuan BN), katanya.

Ditanya mengenai tempoh masa yang diperlukan kerajaan bagi memulihkan kembali ekonomi, Anwar berkata rakyat perlu "bersabar sebentar".

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan penuntut UPM mengenai beberapa program bantuan yang diperkenalkan kerajaan BN sebelum dimasuhkan dalam Belanjawan 2019.

Untuk rekod, antara program bantuan rakyat yang diperkenalkan kerajaan BN selain Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ialah, Bantuan Sara Hidup Nelayan; Baucer Buku 1Malaysia (BBS1M); Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M); Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) untuk penoreh getah dan Bantuan Awal Persekolahan.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad meminta Menteri Kewangan Lim Guan Eng merangka rancangan untuk membantu golongan miskin dalam masa terdekat.

Berucap dalam majlis makan amal PH 208 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), beliau berkata keadaan mungkin akan lebih baik pada tahun depan tetapi golongan tersebut tidak mampu untuk menunggu sehingga tempoh itu.

Wednesday, November 14, 2018

Wakil rakyat tanya kenapa petani tak masuk Belanjawan 2019

Melissa Darlyne Chow
-November 14, 2018 10:04 PM

Ahli Parlimen Jempol berkata orang luar bandar bergelut mencukupkan perbelanjaan tetapi pahit getir mereka tak dipedulikan kerajaan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional hari ini membidas kerajaan kerana gagal melindungi kebajikan para nelayan, penoreh getah, pekebun kecil dan petani dalam Belanjawan 2019.

Mohd Salim Mohd Sharif (BN-Jempol) memberitahu Dewan Rakyat bahawa belanjawan itu mengabaikan dan mendiskriminasikan rakyat di luar bandar.

“Menteri kewangan tak sebut pesawah padi, penoreh getah dan nelayan dalam belanjawan.

“Mereka di luar bandar bergelut mencukupkan perbelanjaan. Pahit getir mereka tidak dipedulikan kerajaan Pakatan Harapan.

“Adakah kerajaan PH merasakan orang-orang ini tidak penting?

“Jika orang-orang ini penting, jadi penderitaan dan kebajikan mereka mesti diberi perhatian,” katanya semasa membahaskan belanjawan.

Salim berkata pentadbiran Barisan Nasional sentiasa memberi tumpuan kepada kebajikan para petani, nelayan dan penoreh getah. Mereka diberi peruntukan terbesar sebanyak RM6.5 bilion dalam Belanjawan 2018, tambahnya.

Beliau berkata RM2.3 bilion diperuntukkan untuk insentif seperti baja untuk pesawah padi, pekebun kecil, penoreh getah dan nelayan.

“Juga ada bantuan musim tengkujuh untuk 440,000 petani dan penoreh getah berjumlah RM261 juta. Sebanyak RM150 juta diperuntukkan untuk membantu 200 petani menunggu hasil dituai.

“Kami memberikan elaun sara hidup kepada nelayan, berjumlah RM12 juta, untuk membantu 5,200 nelayan.

“Juga terdapat elaun bulanan antara RM1,000 dan RM1,500 untuk 31,000 peneroka yang terlibat dalam skim penanaman semula.”

Salim menggesa kerajaan pertimbang semula pengagihan insentif kepada kelompok itu.

“Ahli Parlimen Langkawi (Tun Dr Mahathir Mohamad) pernah berkata kerajaan akan menghentikan pembayaran insentif kepada pekerja kelapa sawit, penoreh getah dan nelayan. Ini ketika keadaan kewangan mereka dalam keadaan kritikal dan mereka perlukan bantuan kerajaan.

“Kepada siapa lagi mereka merayu bantuan kalau bukan kerajaan?”

Salim berkata harga minyak sawit jatuh daripada RM530 satu tan pada Januari kepada RM380 bulan lepas.

“Penurunan harga sejak Mei memberi kesan kepada pendapatan pekerja seluruh negara,” katanya.

Salim berkata kebiasananya setiap peneroka akan diberi 4ha tanah yang mampu menghasilkan 8 tan minyak sawit sebulan jika tiada masalah.

“Purata pendapatan mereka adalah RM1,000 sebulan.

“Penoreh getah dapat RM900 sebulan selepas harga getah jatuh mendadak kepada RM1.80 sekilo.

“Bagaimanapun, tidak ada pengumuman dalam belanjawan yang memberi kelegaan kepada mereka.

“Adakah ini yang mer maksudkan dengan belanjawan berkorban? Ditanggung oleh orang luar bandar?

“Kami juga terdengar mereka yang perlu meminjam daripada lintah darat untuk mencukupkan perbelanjaan. PH jangan prejudis dan hukum mereka seperti ini.”

Salim mencadangkan PH memberikan bantuan kewangan sekali beri kepada penoreh getah dan mereka yang bekerja di ladang-ladang kelapa sawit.

Beliau mahu kerajaan mengadakan mekanisme baru untuk menetapkan harga dasar satu tan minyak sawit pada RM500 dan sekilo getah pada RM4 untuk membantu pekebun kecil menghadapi keadaan tidak menentu sekarang.

Monday, November 12, 2018

Wakil rakyat PKR terkejut kerajaan potong subsidi baja pesawah

Adam Abu Bakar
-November 12, 2018 7:21 PM


KUALA LUMPUR: Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) terkejut kerajaan memotong subsidi baja untuk pesawah sehingga 50% dalam Belanjawan 2019, mengatakan pengurangan itu bakal memberi “tekanan amat ketara” kepada golongan itu.

Menurut beliau, peruntukan itu dalam belanjawan kali ini nampaknya lebih rendah berbanding belanjawan kerajaan dulu.

“Sudahlah mereka tertekan dengan kehidupan sekarang tetapi memotong subsidi baja padi sawah dan padi huma akan beri tekanan yang amat teruk,” katanya semasa perbahasan Rang Undang-undang perbekalan 2019 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menyeru kerajaan supaya mengkaji semula pengurangan tersebut kerana ia akan memberi kesan kepada produktiviti pesawah.

“Kita semua tahu pesawah amat bergantung dengan subsidi kerajaan. Saya amat terkejut apabila tidak ada subsidi langsung yang diberikan kepada mereka.”

Dalam Belanjawan 2019, kerajaan mengumumkan RM4.4 bilion untuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, dengan RM3 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM1.36 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Dalam Belanjawan 2018, kerajaan memperuntukkan RM6.5 bilion dengan RM2.3 bilion untuk bantuan dan insentif seperti baja dan input pengeluaran, dan RM150 juta lagi untuk bantuan RM200 sebulan kepada pesawah bagi tempoh 3 bulan sementara menunggu hasil tuaian padi.

Sebelum itu, Johari mengucapkan terima kasih kepada Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang secara berseloroh mengajuk gaya dan ucapannya seperti seorang menteri besar.

“Terima kasih, semoga kata-katamu akan menjadi suatu doa,” katanya disambut sorakan wakil-wakil rakyat yang lain.

Johari sebelum ini berkata dia tidak berniat untuk menggantikan tempat Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah.

Wednesday, November 7, 2018

Suara gundah dari bawah buat Mujahid

Ibnu Mohamed
Diterbitkan 7 Nov 2018, 12:32 tengah hari 


ULASAN | Belanjawan 2019 selesai dibentang Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Jumaat lalu. Perinciannya dikupas pakar, penganalisis, pelayar media sosial dan kebanyakan media massa termasuk milik kerajaan.

Respon balas diberikan pelbagai pihak - termasuk daripada pembangkang - secara positif atau negatif.

Pada belanjawan sulung Pakatan Harapan itu ada kegembiraan terzahir melalui peruntukan yang diberikan kerajaan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) di bawah seliaan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Syabas diucapkan buat JPM. Kumpulan kerja Mujahid sudah tentu amat bergembira dengan peruntukan belanjawan tersebut.

Dengan dana sebegitu nampaknya Mujahid dan rakan-rakannya di JPM boleh bernafas lega - jika faktor kewangan dijadikan ukuran secara langsung.

Bermacam-macam idea boleh bermain di minda dengan adanya peruntukan daripada kementerian kewangan.

Namun harus diingat merancang perjalanan mekanisme kerajaan pusat tidaklah semudah merencana program parti.

Kita biasanya jarang mendapat halangan atau bantahan semasa merangka program parti. Mungkin kerana ia lebih bersifat eksklusif dan sukarela.

Ada kabur, ada gusar

Apa saja keputusan pucuk pimpinan lazimnya anggota parti akan cenderung untuk patuh bersetuju. Apa cadangan jawatankuasa pusat, semua yang di bawah menerimanya dan mengucapkan selamat maju jaya, sambil ahli terus berehat-rehat di cawangan atau ranting masing-masing

Hampir lengkap enam bulan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) memerintah Malaysia, namun rakyat secara umumnya belum nampak hasil yang membanggakan daripada perjalanan urus tadbir hal ehwal Islam.

Malah, tidak terlalu keras untuk direkodkan bahawa rakyat tidak nampak hala tuju sebenar pasukan Mujahid dalam mengurus tadbir kepentingan agama dan ummah.

Mungkinlah kita boleh pejamkan sebelah mata pada setiap kritikan yang dikemukakan lawan politik melalui media sosial atas alasan kegagalan mereka memahami tiga tunggak yang dikemukakan.

Malangnya, ia tidak terhenti di situ saja. Penyokong HARAPAN juga tidak kurang yang masih kabur. Itu hakikatnya.

Pegawai di institusi agama sendiri menzahirkan kegusaran. Tidak ketinggalan tokoh agama dalam negara.

Saya sempat bersembang pendek dengan timbalan mufti di sebuah negeri. Kebetulan kami memang berkawan.

Terang di dalam, umpat di luar

Ditanya pendapatnya mengenai pembangunan Islam dari Putrajaya beliau berkata seolah-olah tidak ada usaha kerajaan mengawal keadaan semasa.

Dia merujuk kepada kenyataan dibuat oleh kumpulan liberal, keberanian komuniti Syiah bersuara dan celuparnya segelintir orang bukan Islam mengkritik institusi Islam di media sosial.

Saya tidak mengajak para pembaca menilai kenyataan beliau di sini, sebaliknya cukuplah jika kita bertanya: kenapa timbalan mufti itu - yang sepatutnya lebih memahami falsafah baru kerajaan - bersuara sedemikian?

Seorang rakan lain yang bertugas di sebuah pejabat mufti pula pernah bersuara marah kerana Mujahid tidak memulakan perancangan dengan berbincang dengan mereka terlebih dahulu.

Justeru, katanya, selepas timbul masalah barulah menteri terbabit mencari mufti dan pembantu-pembantunya.

Saya tidak dapat mengesahkan kebenaran kenyataan tadi, namun tidak pelik suara sebegitu muncul jika kita amati perincian bualan rakyat di media sosial dan 'kedai kopi ilmuwan'.

Dalam sebuah majlis, di dalam dewan Mujahid gigih mengulas secara mendalam idea-ideanya, tetapi pada masa sama kakitangan institusi agama yang ada di luar dewan pula tekun mengkritik menteri tersebut.

Namun selepas majlis selesai, mereka - yang mengkritik itu - kelihatan antara orang yang paling awal bersegera mahu bergambar bersama-sama menteri berkenaan.

Kejadian tersebut dikisahkan rakan saya yang berada pada majlis itu.

Pastikan kota dibina kukuh

Isu saya di sini bukanlah sikap bermuka-muka atau tindakan kurang sopan ditunjukkan pegawai terbabit, tetapi persoalan demi persoalan berkait kepada soalan utama: apa puncanya sehingga seperti ada kelompongan tertentu di situ?

Akhirnya, saya nukilkan di sini pandangan seorang tokoh agamawan yang pernah mentadbir satu institusi agama negara apabila saya mengusik pandangan beliau terhadap prestasi Mujahid:

“Ana (saya) lihat beliau masih dalam rangka berfikir seorang ahli akademik. Sebagai menteri beliau kena tahu, rakyat mahukan program.

"Apa program beliau? Bagaimana nak laksanakan idea-ideanya itu?”

Saya coretkan tulisan pendek ini sekadar ingin berkongsi rasa yang bergejolak di peringkat bawahan.

Sekiranya ia sedia dimaklumi, alhamdulillah, masih ada masa yang banyak dan ruang yang luas untuk menilai semula peta perancangan Mujahid di JPM serta kerajaan HARAPAN.

Isu-isu agama yang diutarakan oleh pihak kerajaan tidak semestinya menjadi isu kepada rakyat.

Isu-isu rakyat berkaitan agama yang dinilai sebagai isu ummah oleh mereka, mesti diambil kira oleh kerajaan.

Dalam membina empayar besar, seseorang pemimpin atau kerajaan akan bermula dengan membina kuasa dan pengaruh di peringkat dalaman terlebih dahulu.

Pastikan istana dan kota utama benar-benar kukuh dengan kerjasama yang erat daripada setiap individu, termasuk pihak yang merancang serangan dan menyusun sistem pertahanan.

Sultan Muhammad al-Fatih tidak membuka Istanbul seorang diri bersama dua tiga kerat pembantunya.

IBNU MOHAMED ialah pembaca setia Malaysiakini yang aktif di media sosial dan menjadi ahli biasa parti politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Tuesday, November 6, 2018

Belanjawan 2019 risaukan bumiputera, rakyat luar bandar

Ahmad Yazid Othman
Diterbitkan 6 Nov 2018, 9:39 pagi 


ULASAN | Belanjawan 2019 yang dibentangkan pada Jumaat lalu pada dasarnya adalah suatu belanjawan yang baik pada keseluruhannya namun tetap mempunyai beberapa kelemahan kepada golongan-golongan tertentu seperti rakyat luar bandar, nelayan dan petani.

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) memuji kaedah pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) yang akan mengambil kira bilangan ahli isi rumah, gaji minima yang ditingkatkan, usaha mengurangkan pekerja asing melalui levi, keperluan syarikat tersenarai untuk menerbitkan statistik gaji dan juga kad pengangkutan awam tanpa had untuk hanya RM100 sebulan.

Namun, Belanjawan 2019 tidak wajar dianggap sebagai sempurna kerana banyak kumpulan yang dikhuatiri telah terpinggir dan juga kerana falsafah pasaran bebas tanpa batasan yang dilaungkan pemimpin kerajaan Pakatan Harapan.

MTEM tidak bersetuju dengan kenyataan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa kerajaan yang terbaik tidak sepatutnya melibatkan diri dalam perniagaan dan ini seolah-olah menandakan niat beliau untuk akhirnya melepaskan pegangan kerajaan dalam perniagaan yang dimilikinya. Jika ini terjadi, suatu alat kemajuan ekonomi bumiputera yang paling berkesan akan hilang buat selamanya.

MTEM juga kecewa dengan peruntukan kecil yang disediakan untuk Agenda Ekonomi Bumiputera. Dalam ucapan yang berlangsung selama lebih 2 jam, saudara Lim Guan Eng hanya menyebut perkataan Bumiputera sebanyak 6 kali dan jumlah peruntukan untuk Agenda Bumiputera hanya kira-kira RM3.6 bilion daripada jumlah besar Belanjawan 2019 sebanyak RM314.5 bilion.
MTEM bimbang Agenda Ekonomi Bumiputera tidak akan diberi perhatian yang secukupnya walaupun pada tahap nasional, Belanjawan 2019 boleh dianggap sebagai suatu yang positif kerana kebanyakan bumiputera akan mendapat kesan yang positif hasil belanjawan yang menumpukan kepada golongan B40.

Isu keselamatan dan kedaulatan makanan yang telah lama diperjuangkan MTEM tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Tiada gerakan padu untuk mewujudkan kembali Lembaga Padi & Beras Negara (LPN) walaupun MTEM dan Padi Rescue telah memberi hujah akan kepentingan LPN kepada keselamatan bekalan makanan negara.

Peruntukan kerajaan untuk sektor pertanian dan perikanan tertumpu kepada pembangunan industri seperti penyelidikan untuk benih, automasi dan latihan industri yang tidak memanfaatkan petani dan nelayan secara terus. Walaupun niat dan rancangan kerajaan adalah murni, tidak harus dilupakan kebajikan petani dan nelayan yang memerlukan perhatian segera dengan adanya ‘social safety net’. Sebagai contoh, bantuan untuk petani sebanyak RM200 sebulan sementara menunggu musim menuai tidak disambung. Jelas sekali, sektor pertanian dan perikanan bukanlah keutamaan bagi kerajaan.
Masih bukan terlambat bagi kerajaan untuk melaksanakan langkah-langkah untuk membetulkan hala tuju yang agak menyimpang dari kepentingan Bumiputera, nelayan dan petani. Kebanyakan butiran yang terkandung di dalam Belanjawan 2019 adalah positif namun diharap agar rakyat tidak perlu menunggu hingga Belanjawan 2020 untuk belanjawan yang lebih sempurna.

AHMAD YAZID OTHMAN ialah Ketua Pegawai Eksekutif MTEM.
Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis atau organisasi diwakilinya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Saturday, November 3, 2018

“Ini Belanjawan Rakyat Sengsara, Bukan Belanjawan Rakyat Sejahtera”, Kata Najib

SUARA TV
Suara Tanpa Sempadan
Nur Effy
November 3, 2018 


SHAH ALAM – Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan pembentangan Belanjawan 2019 oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) semalam sebagai belanjawan yang lebih memberi kesengsaraan kepada rakyat.

Najib turut membuat perbandingan di antara Belanjawan 2018 yang dibentangkan beliau sewaktu menerajui kerajaan BN tahun lalu dengan Belanjawan 2019 yang julung kali dibentangkan PH.
Menurut Najib, belanjawan kerajaan BN lebih mementingkan kebajikan rakyat dan ia terbukti dengan peruntukan dan bantuan yang diumumkan tahun lalu melebihi apa yang diumumkan kerajaan kali ini.

Ahli Parlimen Pekan itu mengambil contoh BR1M, yang mana jumlah yang diberikan kerajaan BN dahulu adalah RM 1,200 manakala PH hanya mengumumkan bantuan itu sebanyak RM 1,000.

Begitu juga dengan pembayaran semula pinjaman PTPTN, di mana kerajaan PH langsung tidak mengumumkan sebarang potongan (diskaun) kepada peminjam, bahkan bercadang untuk melakukannya menerusi potongan gaji.

Ujar Najib, ia berbeza dengan kerajaan BN yang sentiasa menawarkan diskaun bagi menggalakan peminjam membayar kembali pinjaman mereka.

Sementara itu mengenai bonus penjawat awam, BN sebelum ini mengumumkan bonus berjumlah RM 1,500 dengan kenaikan gaji khas, manakala PH pula hanya mengumumkan bonus sebanyan RM 500 kepada golongan itu.

“Oh. Tidak lupa, harga minyak akan naik.

“Ini bukan belanjawan rakyat sejahtera. Ini belanjawan rakyat sengsara,” kata beliau. 

-SuaraTv

Belanja JPM dipotong RM9.9 bilion tapi...

Diterbitkan 3 Nov 2018, 8:05 pagi |


BELANJAWAN 2019 | Dokumen dalam Belanjawan 2019 menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) telah menyemak semula peruntukan untuk pelbagai kementerian semasa pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Perubahan paling ketara adalah perbelanjaan untuk Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang memperuntukkan hanya RM7.54 bilion, iaitu RM9.89 bilion kurang berbanding RM17.43 bilion yang diperuntukkan Najib ketika Belanjawan 2018.

Bagaimanapun, secara keseluruhan, kerajaan HARAPAN dianggar membelanjakan RM1.82 bilion lebih berbanding jumlah diperuntukkan Najib pada belanjawan lalu.

Pemotongan peruntukan kepada JPM mungkin disebabkan langkah HARAPAN memindahkan agensi-agensi seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) yang sebelum ini diletakkan di bawah JPM.

Sementara itu, RM3.32 bilion diperuntukkan bagi dua kementerian baru iaitu Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (RM2.69 bilion) dan Kementerian Pembangunan Usahawan (RM636 juta).

Bagaimanapun terdapat peningkatan di pelbagai kementerian.

Tidak jelas sama ada peningkatan ini berlaku sebelum atau selepas perubahan kerajaan pada 10 Mei. Sebagai contoh, Kementerian Kewangan menjimatkan perbelanjaan operasi sebanyak RM253 juta, tetapi perbelanjaan pembangunannya mencecah RM4.1 bilion.

Kementerian-kementerian lain yang jumlah anggaran dijangka meningkat ialah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (peningkatan RM1.27 bilion); Kementerian Kerja Raya ( Meningkat RM1.98 bilion); Kementerian Pengangkutan (meningkat RM52 juta), Kementerian Sains dan Teknologi (meningkat RM310 juta); dan Kementerian Wilayah Persekutuan (Meningkat RM352 juta)

Ini termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (meningkat RM432 juta); Kementerian Belia dan Sukan (meningkat RM493 juta), Kementerian Sumber Manusia (meningkat RM24 juta); Kementerian Komunikasi dan Multimedia (peningkatan RM105 juta); dan Kementerian Dalam Negeri (peningkatan RM970 juta).

Sementara itu, perbelanjaan Kementerian Pendidikan bertambah sebanyak RM104 juta selepas Kementerian Pendidikan Tinggi dimansuhkan.

Kementerian yang memotong belanjawan mereka ialah Kementerian Pertanian (Berkurangan RM70 juta); Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (Berkurangan RM960 juta); Kemnterian Perdagangan dan Industri Antarabangsa (Berkurangan RM49 juta); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (Berkurangan RM115 juta kurang) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (Berkurangan RM1 juta), Kementerian Kesihatan (Berkurangan 1 juta); dan Kementerian Pertahanan (Berkurangan RM366 juta).

Belanjawan untuk tiga kementerian tidak berubah, iaitu Kementerian Luar (RM741 juta), Kementerian Industri Utama (RM938 juta); dan Pelancongan (RM999 juta).

Di bawah pentadbiran Najib, sebarang perubahan kepada anggaran perbelanjaan hanya akan dicerminkan dua tahun kemudian - sebagai contoh, anggaran perbelanjaan untuk 2016 hanya ditunjukkan dalam semakan pada Belanjawan 2018.

Friday, November 2, 2018

Belanjawan 2019 tanpa cukai utama baru

Diterbitkan 2 Nov 2018, 5:25 petang


BELANJAWAN 2019 | Putrajaya tidak akan memperkenalkan sebarang cukai utama baru di bawah Belanjawan 2019 walaupun berlaku pengurangan pendapatan ekoran pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Pada masa sama beberapa langkah baru diperkenalkan oleh kerajaan seperti pengenalan cukai gula dan pertambahan nilai yuran bagi lesen judi.

Ia dijangka dapat memberi kesan pertambahan yang signifikan kepada pendapatan kerajaan.

Sebaliknya Putrajaya akan meningkatkan pendapatan bukan cukai melalui pelaburan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan - terutama Petronas - untuk mengatasi kekurangan berkenaan.

Pada Belanjawan 2018, BN - yang menjadi kerajaan ketika itu - menganggarkan 22.8 peratus pendapatannya adalah datang dari cukai secara langsung yang turut melibatkan GST.

Di bawah Pakatan Harapan (HARAPAN) kerajaan menganggarkan hanya 13.1 peratus pendapatannya datang melalui cukai secara langsung.

Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) - yang turut berada dalam kategori cukai secara langsung - dijangka hanya menjana pendapatan sebanyak RM20.7 bilion pada 2019.

Kerajaan BN sebelum ini mengunjurkan RM43.8 bilion melalui GST semasa membetangkan Belanjawan 2018. Unjuran kekurangan hasil pemansuhan GST ialah sekurang-kurangnya RM22 bilion pada 2019.

Aktiviti pelaburan tak terjejas

Selain itu kerajaan semasa menjangkakan mengumpul RM23.1 bilion pada 2018 dan ia melibatkan gabungan kutipan GST (sehingga Jun lalu sebelum ia dimansuhkan) dan SST sejak Sept (apabila SST dilaksanakan).

Putrajaya akan berusaha untuk meningkatkan pendapatan bukan cukai kepada 27.2 peratus di bawah Bajet 2019.

Secara bandingan hasil bukan cukai buat kerajaan hanya terdiri daripada 17.2 peratus di bawah Belanjawan 2018.

Kerajaan HARAPAN menjangkakan sebahagian besar pendapatan bukan cukai datang dari GLIC di bawah kategori "pendapatan pelaburan".

Di bawah Belanjawan 2018, kerajaan BN menjangkakan pendapatan pelaburan sebanyak RM24.588 bilion. Kerajaan HARAPAN kini mengunjurkan RM36.937 bilion tahun ini dan RM59.523 bilion pada 2019.

"Sebahagian besar pulangan pelaburan adalah dividen daripada Petronas berjumlah RM54 bilion, dengan RM30 bilion daripadanya ialah dividen khas Petronas yang akan digunakan untuk membayar balik bayaran semua cukai tertunggak (GST).

"Sumber untuk membiayai dividen khas itu adalah dari pendapatan terkumpul Petronas.

"Penggunaan pendapatan tidak akan menjejaskan pembiayaan aktiviti pelaburan semasa kerana dana bagi aktiviti tersebut telah diambil kira dalam pelan perbelanjaan modal mereka," kata laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan.

Selit cukai baharu

MyMetro
Mohd Husni Mohd Noor
cnews@nstp.com.my

AMIRUDDIN

Cyberjaya:
  Kementerian Kewangan mengesahkan satu cukai baharu akan diumumkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada sesi pembentangan Belanjawan 2019 di Parlimen hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, ia sejenis cukai yang berbeza, namun cukai baharu itu tidak membebankan rakyat.

“Sebaliknya, kutipannya digunakan kembali bagi tujuan kepentingan rakyat serta mengurangkan beban untuk membayar balik hutang negara yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

“Saya ingat, apapun kita biar Menteri Kewangan bentang mengenai cukai itu esok (hari ini).

“Apa yang penting, hasil kutipan cukai itu digunakan untuk menampung perbelanjaan operasi kerajaan, memastikan agenda pembangunan diteruskan, merapatkan jurang pembangunan luar bandar dan bandar serta menyelesaikan hutang kerajaan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Inovasi dan Integriti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Akauntan Negara, Dr Yaacob Mustafa dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah.

Beliau berkata, cukai baharu itu dicadangkan Jawatankuasa Reformasi Cukai yang dibentuk Kementerian Kewangan baru-baru ini, bertujuan mengkaji langkah yang sewajarnya diambil bagi meningkatkan cukai secara progresif tanpa membebankan golongan isi rumah berpendapatan B40.

Amiruddin berkata, jawatankuasa berkenaan dipengerusikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Tan Sri Hasmah Abdullah.

Menurutnya, jawatankuasa sama turut mengenal pasti jurang percukaian termasuk menangani ketirisan cukai, pengenaan cukai terhadap ekonomi digital, penyemakan keberkesanan insentif cukai, mencari cara meminimumkan kebocoran cukai dan mengkaji semula sistem percukaian secara menyeluruh.

Sebelum ini, Guan Eng ketika sesi Parlimen pertengahan bulan lalu masih berteka-teki dan sekadar memberi bayangan mengenai pelaksanaan cukai baharu berkenaan.

Menurutnya, cukai baharu itu dijangka dapat menjana pendapatan tambahan kepada negara selepas mengakui peralihan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) menyaksikan penyusutan pendapatan bersih kerajaan.

Sementara itu, Sabin dalam ucapannya berkata, pihaknya akan mempergiatkan lagi aktiviti percukaian bagi mencapai sasaran kutipan cukai ditetapkan kementerian iaitu RM140.113 bilion pada tahun ini.

Menurutnya, LHDN juga akan melaksanakan sebarang mandat dan amanat baru yang bakal diumumkan kerajaan menerusi Belanjawan 2019.


Artikel ini disiarkan pada
: Jumaat, 2 November 2018 @ 10:04 AM

Wednesday, October 31, 2018

Bajet 2019: Ambank jangka miskin bandar nikmati banyak faedah

Bernama
-October 31, 2018 7:35 AM

Ambank berharap untuk melihat lebih banyak pelaburan dalam Belanjawan 2019. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: AMMB Holdings Bhd (Ambank Group) menjangka lebih banyak manfaat akan diterima golongan miskin bandar termasuk memperkenalkan bayaran bulanan menggunakan pengangkutan awam tanpa had dalam Belanjawan 2019 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

“Kami juga berharap kerajaan akan melihat isu perumahan untuk golongan kurang berkemampuan yang mampu menjadi pemangkin dalam membantu golongan miskin bandar membeli hartanah sendiri di bawah RM100,000, yang mereka sewa dari pihak ketiga,” kata Ketua Pegawai Operasi Ambank Bhd Datuk Sulaiman Mohd Tahir dalam satu kenyataan semalam.

Sulaiman berkata bank juga berharap belanjawan itu menyediakan lebih banyak pengecualian cukai untuk perbelanjaan pendidikan yang semakin meningkat dalam menghadapi situasi sosio-ekonomi dan meringankan beban orang ramai.

“Kami juga berharap untuk melihat lebih banyak pelaburan dan mengurangkan pemotongan dalam meningkatkan sektor pendidikan, selain fokus kepada kepentingan informasi teknologi dengan menggunakan solusi digital dan memperkenalkan sistem kod dalam kurikulum, sebagai contoh.

“Kami optimis Belanjawan 2019 akan berlandaskan dasar yang baik dan inisiatif rasional dan rangka kerja ini menjadi teras untuk ekonomi Malaysia berkembang dan kukuh dalam bersaing secara dinamik dan global,” tambahnya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-