Monday, January 21, 2019

Chef Wan mohon maaf pada Najib kerana 'terlepas cakap'

Diterbitkan Hari ini 1:16 tengahari 


Chef Wan hari ini mengaku terlepas cakap berhubung kenyataannya yang berkata mahu menampar muka bekas perdana menteri Najib Razak.

Dalam kenyataan di Instagram yang mempunyai 500,000 pengikut, cef selebriti itu memohon maaf secara terbuka kepada Najib dan menjelaskan beliau berkata demikian kerana emosi.

"Kepada Najib, pagi ini saya memohon maaf secara terbuka kerana bahasa yang kasar yang saya telah gunakan sewaktu saya merasa amat marah.

"Ya, saya tidak mahu menjadi manusia yang tidak mengenang jasa yang tidak menghargai sumbangannya kepada negara ini.

"Mari berlaku adil, beliau adalah ahli politik dan beliau perlu berdepan semua (kritikan) ini secara terbuka.

"Tetapi jika kita buat kesalahan yang besar kita mesti telan maruah diri kita untuk mengaku kesilapan diri seperti yang saya lakukan pagi ini. Ya, saya mengaku saya silap bila dirasuk syaitan dan naik marah,” kata Chef Wan, seperti tangkap layar kenyataan itu yang disiarkan Astro Awani.

Akaun Instagram Chef Wan ketika berita ini ditulis hanya dapat diakses oleh pengikutnya.

Semalam, ketika hadir berkempen untuk Pakatan Harapan (PH) di Felda Sungai Koyan 1 di Jelai, Cameron Highlands, media melaporkan Chef Wan yang menyatakan rasa kecewanya kepada BN, khususnya kepada Najib yang merupakan bekas pengerusi gabungan itu.

Pertahan kritikan

Untuk rekod, ia bukan kali pertama Chef Wan yang membesar di petempatan Felda menyatakan rasa kecewanya berhubung agensi kerajaan itu.

Pada 2017, Chef Wan berkongsi kekecewaan sama selepas membaca laporan media termasuk siasatan SPRM ke atas agensi itu.

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad ketika itu menyatakan penghargaan kepada Chef Wan kerana menurutnya beliau "berani berkata benar dan menegakkan keadilan di saat mengekalkan pendiriannya untuk tidak berpihak kepada mana-mana parti politik."

Sementara itu, dalam kenyataan permohonan maafnya hari ini, Chef Wan bagaimanapun tetap mempertahankan kritikannya terhadap BN dan Najib berhubung isu Felda.

"Tidak bermakna apa yang saya hujahkan semalam tidak betul kerana saya sanggup berdiri atas nama Allah untuk menyatakan kebenaran.

"Kepada penyokong Najib, saya cuma boleh kata, jangan jadi batu api," katanya.

Mengulas berhubung kenyataan Chef Wan semalam, Najib sekadar berkata beliautidak mempunyai sebabuntuk melayan perkara itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-