Sunday, January 20, 2019

K'tan sedia hadapi saman kes tanah adat Orang Asli

Diterbitkan Hari ini 10:48 malam


Kerajaan Negeri bersedia menghadapi saman yang akan dikemukakan Kerajaan Persekutuan melalui Peguam Negara, Tommy Thomas mengenai isu Orang Asli di negeri ini.

Menteri Besar, Ahmad Yakob berkata buat masa ini pihaknya sedang menunggu dokumen rasmi berkaitan saman itu daripada pejabat Peguam Negara untuk diperbincangkan oleh Kerajaan Negeri.

“InsyaAllah kita bersedia menghadapi saman itu sebab ini kali pertama berlaku.

“Sekarang ini secara rasmi kita belum terima dokumen rasmi mengenai saman itu dan kita hanya tahu perkara ini melalui media sahaja,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin di JKR 10 di Kota Bharu, hari ini.

Dua hari lepas Jabatan Peguam Negara memfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi masyarakat Orang Asli Temiar terhadap Kerajaan Negeri Kelantan.

Kes saman yang difailkan Kerajaan Persekutuan terhadap kerajaan negeri dan tujuh lagi itu untuk mendapatkan pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor berhampiran Gua Musang dan sebutan bagi kes itu pada 22 Jan ini.

Mengulas isu itu lagi Ahmad berkata pihaknya akan berbincang mengenai isu itu pada Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang akan datang.

Beliau berkata Kerajaan Negeri sebenarnya telah banyak membantu nasib Orang Asli berkenaan mengenai kawasan rayau (mencari rezeki), penempatan dan pertanian.

“Ini yang kita nak tengok apa isunya dan kita bersedia untuk menghadapi saman itu,” katanya.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-