Monday, February 18, 2019

Muhyiddin yakin Dr M berkata benar, PAS pula terperangkap

Kow Gah Chie
Diterbitkan Hari ini 6:55 petang


PRK SEMENYIH | Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yakin Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bercakap benar ketika mendakwa PAS tidak akan memberi sokongan kepada BN di Semenyih.

Muhyiddin yang juga menteri dalam negeri berkata beliau juga percaya dengan kenyataan didedahkan Mahathir itu membuat PAS berasa seperti terperangkap.

"Apabila dia terperangkap, macam biasalah, dia boleh bohong dan nafikan. Itu yang kita tahu apa yang berlaku dengan PAS," katanya.

Ditemui media di Beranang hari ini Muhyiddin berkata kenyataan Mahathir itu tidak direka-reka dan perdana menteri bukan seseorang yang tidak memahami bahasa Melayu.

Justeru, katanya, sudah tentu dakwaan dibuat Mahathir itu benar.

Terdahulu Muhyiddin ditanya wartawan mengenai kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan ketika menjelaskan pertemuannya - bersama Abdul Hadi Awang dan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar - dan Mahathir di Kuala Lumpur pada 14 Feb lalu.

Kata Takiyuddin PAS tidak pernah berjanji untuk tidak memberikan sokongan kepada Umno dan BN dalam PRK Semenyih yang akan berlangsung pada 2 Mac ini.

Sebaliknya kata Takiyuddin PAS memberikan jaminan sokongan kepada Mahathir jika pengerusi Bersatu itu berdepan dengan cubaan penyingkiran melalui undi tidak percaya oleh parti dalam PH.

Menurut Muhyiddin beliau mengakui sukar memahami PAS yang mendakwa keadaan PRK di Semenyih berbeza berbanding Cameron Highlands.

"Dia kata Semenyih tak sama dengan Cameron Highlands. Maknanya di Cameron Highlands dia sokong Umno. Di Semenyih dia kata tak sama dengan Cameron Highlands, maka maknanya tak sokong, atau sokong sikit-sikit?

"Saya tak faham sebab orang berbohong ini susah kita nak faham," katanya sambil ketawa kecil.

[Berita lanjut menyusul]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-