Saturday, April 27, 2019

Restoran, kedai kek gagal tunjuk sijil halal

MyMetro
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


RESTORAN terkenal dan beberapa premis yang menjual kek di Perlis dikesan gagal mematuhi prosedur penyediaan makanan halal yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Azizan Sulaiman berkata, premis berkenaan gagal menunjukkan sijil halal selain penyediaan makanan di dapur meragukan pihaknya.

“Mereka mengambil orang Islam bekerja untuk menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan di meja makan tetapi di bahagian dapurnya sangat meragukan pengguna Islam.

“Saya bukan mahu menimbulkan isu perkauman, tetapi perkara ini agak sensitif dalam kalangan umat Islam dan premis itu seharusnya berusaha mendapatkan sijil perakuan halal daripada JAKIM sekiranya benar mereka tidak menghidangkan makanan dan minuman yang meragukan.

“Saya ada bertemu dengan pengusaha premis dan mereka mendakwa, walaupun tukang masak bukan beragama Islam, namun mereka tidak meletakkan bahan berunsur haram dalam makanan, tetapi apa salahnya jika mereka mengikuti prosedur JAKIM dan dapatkan sijil perakuan halal untuk dipamerkan kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui di sebuah majlis di Dataran Sheikh Ahmad, hari ini.

Azizan berkata, pemilik premis itu perlu lebih peka kerana tindakan mengambil pekerja Islam khususnya di bahagian perkhidmatan pelanggan seakan memperdayakan pengguna.

Katanya, pihaknya menggesa supaya setiap pengusaha makanan di negeri ini tidak menipu pelanggan dan lebih jujur ketika mengendalikan premis kepada orang awam.

“Di pihak kami tidak boleh mengambil langkah drastik untuk menutup premis kerana tiada enakmen negeri khusus yang membenarkannya.

“Tetapi saya mengingatkan kepada pengguna supaya selepas ini untuk lebih peka sebelum mengunjungi restoran atau premis yang tidak mempunyai logo halal atau gagal mempamerkan sijil perakuan halal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 10:19 AM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-