Thursday, May 9, 2019

Anwar beri amaran perkauman boleh jejaskan Malaysia baru

News | Diterbitkan Hari ini 11:27 tengahari


Presiden PKR, Anwar Ibrahim memberi amaran bahawa usaha Pakatan Harapan (PH) untuk mengembalikan Malaysia ke landansannya akan musnah sekiranya hubungan antara kaum di negara ini tidak ditangani dengan baik.

"Alhamdulillah, hari ini adalah ulang tahun pertama pentadbiran PH dan juga ulang tahun pertama negara ini berjaya menundukkan kebobrokan, kebejatan dan keangkuhan.

"Namun, harus diingatkan juga bahawa masalah hubungan antara kaum dan agama di negara ini dilihat semakin meruncing tatkala Pakatan Harapan sedang menjelmakan perubahan dan reformasi yang didambakan.

"Ancaman api perkauman dan kejumudan tidak harus dipandang enteng dan dikesampingkan, malah jika dibiar ia mampu meroboh segala usaha dalam meletakkan negara ini kembali ke landasannya," kata Anwar dalam perutusan khasnya sempena ulang tahun pertama pentadbiran PH, hari ini.
Anwar yang juga anggota Parlimen Port Dickson berkata, usaha PH dalam menggagas reformasi juga harus dimaknai dengan dasar-dasar ekonomi yang mengangkat dan membebaskan masyarakat.

"Tekad dan iltizam politik juga harus diselaraskan agar ia benar-benar memberi dampak yang menyeluruh agar kekayaan itu tidak hanya berlegar dalam kalangan mereka yang kaya dan berpangkat sahaja, malah ia mesti mengesankan mereka yang menderita, terpinggir dan melarat," katanya.

Mengakhiri perutusannya, Anwar mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad atas penggabungan keempat-empat parti PH sekali gus bersama-sama membawa perubahan politik ke negara.

"Saya secara peribadi ingin menyatakan penghargaan buat Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusaha menggembeleng seluruh tenaga dan pihak dari kalangan pembangkang ketika itu dalam usaha merubah landskap politik negara ke tahap yang kita kecapi hari ini.
"Justeru marilah bersama-sama kita merapatkan saf dan kembali membetulkan tekad dalam memaknai perubahan yang diimpikan," katanya.

PH menangi pilihan raya umum ke-14, pada 9 Mei tahun lalu dengan menewaskan BN yang memerintah selama 60 tahun serta melantik Mahathir untuk menerajui pentadbiran negara.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-