Showing posts with label Statut Rom. Show all posts
Showing posts with label Statut Rom. Show all posts

Thursday, May 16, 2019

Malaysia secara rasmi dikeluarkan dari Statut Rom

News | Diterbitkan Hari ini 9:42 pagi


Malaysia secara rasminya telah dikeluarkan daripada senarai penandatangan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Dalam kenyataan dikeluarkan semalam, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengakui penarikan Malaysia daripada Statut Rom berikutan notis awal dari Kementerian Luar Negeri.

"Pemberitahuan yang diterima daripada Menteri Luar Negeri Malaysia berbunyi seperti berikut: '... Kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk menarik balik Instrument Of Instruction daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa pada 5 April 2019.

"Oleh itu, Malaysia membatalkan semula surat penyertaannya dan penarikan ini akan berkuatkuasa serta merta.

"Meskipun demikian, Malaysia tetap komited terhadap kedaulatan undang-undang untuk mengadili para pelaku pembunuhan beramai-ramai, jenayah kemanusiaan, jenayah perang; dan jenayah pencerobohan.

"Ini adalah sejajar dengan dasar kerajaan baru untuk menguatkan prinsip kebenaran, hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang, keadilan, tadbir urus yang baik, integriti dan kebertanggungjawaban," kata kenyataan PBB yang memetik notis penarikan balik Malaysia .

Semalam, nama Malaysia masih disenaraikan dalam senarai penandatangan Statut Rom di laman web PBB.

Dalam satu kenyataan Wisma Putra berkata Malaysia kesal kerana masih disenarai sebagai negara yang meratifikasi statut berkenaan seperti disiarkan di laman web PBB, meskipun telah mengemukakan surat penarikan.

Malaysia menarik diri daripada Statut Rom pada 5 April selepas mendapat bantahan daripada orang awam dan pembangkang selain gagal mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja.

Statut Rom: Apa status tarik diri Malaysia?

HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
16 MAY 2019


KERAJAA digesa tampil memberi penjelasan mengenai status Malaysia dalam Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Ini kerana sehingga 14 Mei 2019, nama Malaysia masih lagi tercatat sebagai negara yang menerima pakai (accession) statut berkenaan berdasarkan laman sesawang United Nations (UN) Treaties Collection.

Walhal, soal penarikan diri Malaysia telah pun diumumkan oleh Perdana Menteri sendiri pada 5 April yang lalu. Kerajaan juga menyatakan penarikan diri telah dimaklumkan secara rasmi melalui surat Kementerian Luar Negeri bertarikh 29 April 2019. Perkara itu dikatakan akan dimuktamadkan selepas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu melengkapkan prosedur penarikan diri Malaysia.

Apakah sebenarnya pendirian tersebut masih tidak dimaklumkan secara rasmi kepada UN, atau tindakan pengumuman penarikan diri tersebut 'sengaja' dilakukan bagi meredakan tekanan bertali arus dalam kalangan rakyat di negara ini?

Saya menggesa agar Malaysia memantau dengan teliti segala aspek agar tidak berlaku kecuaian yang akhirnya terus mengikat Malaysia dengan triti Statut Rom. Hal ini adalah penting kerana hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum tarikh kuat kuasanya iaitu pada 1 Jun 2019.

Rakyat Malaysia tidak akan memaafkan sesiapapun yang telah menjerumuskan Malaysia ke dalam bahaya Statut Rom ini lebih-lebih lagi jika Malaysia gagal menangani penarikan diri dari ratifikasi ini dengan sempurna atau berlindung disebalik alasan karenah birokrasi di PBB.

Kerajaan didesak untuk segera tampil memberikan penjelasan berkenaan status Malaysia dalam Statut Rom. Sikap sambil lewa dan berdolak dalik kerajaan dalam isu ini jelas tidak dapat diterima oleh rakyat. Beri penjelasan atau tunggu kebangkitan rakyat seterusnya!

“Islam Memimpin”

HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu

Saturday, May 4, 2019

TMJ di hati pendemo

News | Diterbitkan Hari ini 12:57 tengahari

Gerakan Pembela Ummah (Ummah) sekali lagi menggerakkan orang ramai untuk turun berhimpun di ibu negara, kali ini bagi menyertai himpunan "mempertahankan kedaulatan Islam".

Perhimpunan yang dikatakan sudah mendapat kelulusan pihak berkuasa itu dijangka bermula pada jam 2 petang nanti dan dijadualkan berakhir sekitar jam 6 petang.

Ummah yang mengetuai himpunan itu akan bermula di Masjid Jamek selepas solat Zuhur dan akan berakhir di Sogo yang akan menghimpunkan kesemua pemimpin NGO dan parti politik terbabit.
Ia merupakan himpunan kedua dianjurkan Ummah yang merupakan gabungan NGO Islam setelah kejayaan perhimpunan membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) tahun lalu.

Program anjuran Ummah itu turut mendapat sokongan pemimpin Umno dan PAS yang telah menyatakan kesediaan untuk mengerahkan anggota parti masing-masing.

Menurut Timbalan Pengerusi Ummah Kamaruzaman Mohamad, perhimpunan hari ini akan menyentuh isu-isu semasa yang didakwa mengancam kedaulatan negara dan kedudukan agama Islam, seperti Statut Rom, kematian anggota Bomba dan pelbagai isu lain yang bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Ia ditambah lagi dengan penahanan pendakwah bebas, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu yang didakwa menghina agama Hindu.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin dalam satu wawancara minggu lalu menegaskan pihak berkuasa tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menghina agama selain menyifatkan perhimpunan berkenaan sebagai usaha untuk menghasut umat Islam di negara ini.

LANGSUNG

2.20pm: Sogo - Kira-kira 700 orang berhimpun sambil duduk di Jalan Tuanku Abdul Rahman berdekatan dengan Sogo sementara menunggu peserta perhimpunan yang sedang berarak dari Masjid Jamek tiba.

Dalam tempoh menunggu itu, peserta perhimpunan mendengar ucapan dari Sekreteriat Perhimpunan Ummah mengenai sebab mereka berhimpun hari ini.

Mereka juga menyanyikan lagu kebangsaan, Negaraku.

Cuaca di hadapan Sogo agak mendung namun peserta tetap berganjak dari terus mendengar ucapan berkenaan.

TMJ di hati pendemo

2.13pm: Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim popular di kalangan peserta hari ini.

Ramai yang membawa poster dan plakad memuji putera raja itu yang dilihat tidak berlaga angin dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad,terutamanya dalam isu Statut Rom.

Peserta mula berarak

1.52pm: Sogo - Laungan “Daulat Tuanku” dan “ Allahuakbar” bergema di hadapan pusat beli belah Sogo oleh peserta perhimpunan Ummah.

Kira-kira 400 peserta perhimpunan dari Umno dan PAS mula membanjiri hadapan pusat membeli belah itu.
Sementara itu bekas ketua Pemuda Umno Wilayah, Mohd Razlan Rafii dalam ucapannya berkata antara sebab mereka berhimpun hari ini kerana arwah anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim tak dibela.

“Hari ini hari bomba, sepatutnya bersama Bomba, bersama tunang tapi beliau mati sia-sia, kalau kita tak pertahankan siapa nak (pertahankan),” katanya sambil menerima sorakan peserta perhimpunan itu.

Orang ramai dijangka bakal bertambah kerana ingin mendengar kumpulan busking menyanyi kurang 10 meter dari peserta perhimpunan Ummah berkumpul.

Malaysiakini difahamkan seramai 30 anggota trafik mengawal lalu lintas sepanjang perhimpunan ini berlangsung.

Dianggarkan seramai 60 anggota polis dari pelbagai balai polis seperti Sentul, Dangi dan Cheras mengawal keadaan hari ini.

Selain itu seorang anggota unit amal memaklumkan seramai 200 anggotanya mengawal perjalanan perhimpunan hari ini.

Keadaan trafik di hadapan Sogo agak sesak namun terkawal dengan bantuan polis trafik.

Peserta mula berarak

1.50pm: Masjid Jamek: Peserta Himpunan sudah mula bergerak ke pusat beli-belah Sogo sambil melaungkan “Hidup Islam”, Bangkit Ummah dan Hidup Islam.

KL akan penuh, kata Lokman

1.14pm: Sogo - Kira-kira 50 orang berkumpul di hadapan pusat beli belah Sogo dengan memakai kemeja-t putih dengan tulisan “Daulat tuanku rakyat bersama tuanku” yang memaparkan gambar raja-raja Melayu.
Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam yang turut bersama kumpulan berkenaan tidak boleh menjangkakan berapa ramai yang akan turun hari ini.

“Kita tak boleh jangka tapi bakal penuh.

“Seluruh Malaysia kita dah buat seruan suruh orang datang,” katanya.

Kebanyakan yang hadir tidak melepaskan peluang untuk berswafoto dengan Lokman.

Turut kelihatan beberapa gerai dibuka menjual kemeja-T dan mafla dengan tulisan “penyatuan ummah” dan “himpunan perpaduan Ummah”.

[Laporan langsung menyusul]

Wednesday, May 1, 2019

Siasat forum Statut Rom bukan bermaksud dakwa - PM

Annabelle Lee
Diterbitkan Hari ini 12:17 tengahari


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata siasatan polis terhadap penganjur forum Statut Rom baru-baru ini bukan bermaksud untuk menghalang kebebasan bersuara.

Beliau menegaskan peranan polis memastikan keselamatan dan siasatan berkenaan tidak semestinya disusuli tindakan pendakwaan di mahkamah.

"Polis di sini untuk melindungi kita. Apabila orang cuba mencetuskan masalah, mereka akan berusaha mencari tahu.

"Ini tak bermakna siasatan itu akan mendakwa orang (tetapi) tetapi mereka (polis) mesti tahu sama ada terdapat cubaan untuk membangkitkan masalah atau tidak.

"Itulah sebabnya mereka perlu siasat. Ini tidak bermaksud ia akan diikuti dengan pertuduhan," katanya ketika ditanya media selepas memberi ucaptama pada Persidangan Belia Al Sharq di Kuala Lumpur pagi ini.

Kerajaan sebelum ini menarik diri daripada meratifikasi Statut Rom tetapi mengubah keputusan selepas menerima bantahan pelbagai pihak, termasuk Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Mahathir berkata keputusan itu berpunca daripada kekeliruan yang dicipta individu tertentu "yang hendak memukul orang sesuka hati dan melakukan perkara seperti itu" .

Forum bagi membincangkan Statut Rom Sabtu lalu dianjurkan oleh para pelajar dengan menampilkan ahli akademik, aktivis dan juga Peguam Negara Tommy Thomas.

Ditanya hari ini jika siasatan di bawah Akta Hasutan akan menghalang orang ramai daripada membincangkan topik tersebut, Mahathir berpendapat kebebasan mesti datang dengan tanggungjawab.

"Kita ada kebebasan untuk bercakap tapi kebebasan bercakap ada batasnya.

"Kalau kamu lakukan sesuatu yang akan menyebabkan masalah bagi orang, jika kamu menghina orang, tentu saja ini tidak termasuk dalam kebebasan bercakap," katanya.

[Berita penuh menyusul]

Monday, April 29, 2019

Hina Raja-Raja: Apakah AG akan dakwa diri sendiri, soal Umno

News | Diterbitkan Hari ini 7:01 malam 


Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki mengalu-alukan kesedian pihak polis untuk menyiasat sebuah forum membibcangkan Statut Rom di Universiti Malaya (UM) baru-baru ini yang didakwa bukan sahaja menghasut tetapi menghina institusi Raja-Raja.

Walau bagaimanapun, Asyraf Wajdi memmbangkitkan persoalan siapakah yang akan membuat pendakwaan terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas selepas polis selesai menjalankan siasatannya.

"Persoalannya apa akan berlaku selepas kertas siasatan di peringkat PDRM selesai dan diangkat ke Pejabat Peguam Negara?

“Apakah Peguam Negara akan mendakwa dirinya sendiri? soal Ayraf dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, katanya adalah lebih beretika jika Tommy meletakkan jawatan selaku peguam negara sebelum dipecat oleh Yang di-Pertuan Agong.
"Bagi Pemuda Umno, Tommy Thomas sudah tidak layak memegang jawatan peguam negara kerana beliau boleh dianggap bersubahat bahkan langsung tidak mempertahankan Raja-raja Melayu tatkala panelis forum menyalah gunakan kebebasan bersuara yang mereka miliki untuk menukar forum awam ini menjadi satu medan terbuka bagi membangkitkan kebencian dan penghinaan terhadap Raja-raja Melayu di hadapan peguam negara tersebut,” katanya.

Hari ini, Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya akan memanggil beberapa individu yang dikaitkan dengan forum itu termasuk penganjur untuk memberi keterangan.

Katanya siasatan setakat ini dilakukan di bawah Akta Hasutan dan pihaknya akan melihat sekiranya terdapat undang-undang berkaitan yang boleh digunakan bagi membantu siasatan.

Selain Tommy, antara yang hadir pada forum yang diadakan di Universiti Malaya itu adalah Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR Syed Husin Ali, penyelaras koordinator G25 Noor Farida Ariffin, pakar perlembagaan Shad Saleem Faruqi dan peguam Lim Wei Jiet.
Mengulas lanjut, Asyraf juga menyenaraikan tiga kebencian dan penghinaan utama terhadap Raja-Raja yang dikatakan berlaku dalam forum itu.

Pertama, katanya, mendakwa Raja-Raja merasa terancam dan tidak memberi perkenan kepada ratifikasi Statut Rom kerana mahu melindungi diri mereka daripada jenayah kemanusiaan yang mereka lakukan.

Kedua, mendakwa Raja-Raja dari Johor ke Perlis bukan keturunan Raja sebenarnya tetapi adalah keturunan daripada orang yang diletakkan sebagai Raja oleh British. Ketiga, mendakwa Raja-Raja menentang, menceroboh dan melanggar perlembagaan negara, termasuk dianggap sebagai antara perompak kekayaan negara.

Saturday, April 27, 2019

Najib jawab kenapa kerajaan BN setuju tapi tak ratifikasi Statut Rom

FMT Reporters
-April 27, 2019 4:26 PM

Bekas perdana menteri Najib Razak.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak membidas kenyataan Peguam Negara, Tommy Thomas bahawa kerajaan Pakatan Harapan menyambung keputusan meratifikasi Statut Rom susulan persetujuan pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.

Menerusi kiriman Facebook, Najib mengakui kerajaan semasa di bawah pentadbirannya pernah membincangkan mengenai perjanjian itu kerana ia menjadi tugas kerajaan membincangkan dan mempertimbangkan konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Namun, mengapa perbincangan kerajaan BN pada Mac 2011 masih tidak diratifikasi 7 tahun kemudian sehingga PRU14? Tentu ada sebabnya,” katanya merujuk pilihan raya umum ke-14.

“Ini kerana kerajaan BN mendengar dan menerima nasihat dari peguam negara pada masa itu bahawa ia ada kemungkinan akan bercanggah dengan perlembagaan dan undang-undang negara,” tambahnya.

Hari ini, Thomas menerusi satu forum menegaskan keputusannya menasihati Putrajaya meratifikasi Statut Rom kerana keputusan itu pernah diputuskan Kabinet pada 2011.

Tommy berkata, berdasarkan perspektif perundangannya yang jelas, adalah sukar untuk tidak meratifikasi statut berkenaan, sekaligus menafikan tuduhan dan berita palsu yang dibawa pihak tertentu membabitkan Statut Rom.

Najib menambah, kerajaan BN berbeza dengan kerajaan PH kerana pentadbirannya tidak pernah mengumumkan Malaysia akan meratifikasi Statut Rom kepada dunia, dan kemudiannya menarik balik daripada meratifikasi perjanjian tersebut.

Kerajaan BN juga, katanya, tidak pernah menandatangani dokumen untuk meratifikasi statut Rom.

Tuesday, April 9, 2019

Sila, TMJ jawab amaran Dr M

News | Diterbitkan Hari ini 7:48 malam 


Tunku Mahkota Johor (TMJ) “mempersilakan” Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengambil tindakan terhadapnya selepas mengkritik usaha kerajaan untuk meratifikasi Statut Rom.

“Sila,” kata Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Twitter baginda sebentar tadi.

“If i have to go down kerana menegakkan perlembagaan/constitution, raja-raja Malayu, dan Islam.

“Dengan apa-apa cara pun. Kamu tahu di mana hendak cari saya.”

Baginda menulis demikian ketika mengulang tweet Malaysiakini yang melaporkan amaran Mahathir itu.

Mahathir petang ini menegaskan tiada siapa di negara ini yang melampaui undang-undang, termasuk Tunku Ismail.

Menjawab soalan di lobi parlimen, katanya Tunku Ismail boleh memberi pandangan asalkan tidak buat kenyataan yang dianggap hasutan.

Tunku Ismail juga mempertahankan tindakannya memberikan pandangan seperti rakyat biasa.

“Macam Rakyat biasa saya berhak tanya Soalan dan beri pendapat. I’m all yours. Habiskan apa yang kamu mulakan,” katanya.

Friday, April 5, 2019

Tarik diri dari Statut Rom tunjuk kerajaan lemah, kata Charles

Predeep Nambiar
-April 5, 2019 10:34 PM

Charles berkata tiba-tiba menarik diri daripada Statut Rom menunjukkan kerajaan tunduk pada tekanan.

GEORGE TOWN: Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago hari ini membidas langkah kerajaan menarik diri daripada Statut Rom, mengatakan ia menghantar mesej yang salah kepada pengundi, pelabur dan anggota Asean.

Beliau berkata dengan memperakui statut itu, Malaysia boleh memainkan peranan penting di Asean dengan menghukum mereka yang terlibat dengan pembunuhan kaum terhadap Rohingya, dan bentuk-bentuk ekstremisme lain.

Statut Rom merupakan perjanjian antarabangsa yang mewujudkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), pelengkap kepada undang-undang sedia ada untuk mendakwa individu yang melakukan pembunuhan etnik, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.

Santiago, yang mempengerusikan kumpulan ahli-ahli Parlimen Asean untuk hak asasi manusia berkata, penarikan balik perakuran itu menunjukkan kelemahan dan kerajaan yang tunduk kepada tekanan.

Beliau berkata episod terbaru ini mengingatkannya kepada kekecohan sekitar cadangan Malaysia menandatangani Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Beliau berkata ketika itu pun tiada rundingan dibuat dengan orang ramai sebelum memutuskan untuk tidak menandatanganinya.
Santiago di Festival Pelarian di George Town hari ini.

Santiago berkata ICERD, seperti Statut Rom, tidak memberi kesan buruk pada mana-mana orang, tetapi Malaysia terlalu cepat melepaskannya selepas ditekan.

“Semua ini menunjukkan kelemahan. Ia menunjukkan anda tidak memikirkannya sedalam-dalamnya; ia menunjukkan apabila ditekan, anda mengalah.

“Ini akan memberi mesej yang salah kepada orang awam yang mengundi kamu, pelabur dan rakyat yang menyokong kamu. Rakyat bergantung kepada budi bicara anda untuk membuat keputusan yang menguntungkan negara.

“Ini akan memberi kesan pada perdana menteri dan jemaah menteri, dan anda menyebabkan jemaah menteri kelihatan lemah. Hanya kerana ada orang cuba merosakkan keadaan, anda tarik balik,” katanya ketika ditemui di Festival Pelarian hari ini.

“Mereka tidak mendekati orang ramai dan akibatnya, anda terpaksa patah balik. Ini menjatuhkan air muka menteri dan kerajaan,” katanya merujuk kepada Menteri Luar Negeri, Saifuddin Abdullah, yang menandatangani Statut Rom di PBB pada Mac.

Santiago berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berani memansuhkan kekebalan raja-raja daripada pendakwaan tetapi tertanya mengapa dia “tunduk”. “Apa yang sudah berubah?” katanya.

“Jika anda berkelakuan lemah, adakah orang ramai akan menyokong kamu?”

Keliru

Sementara itu, bekas wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia, Edmund Bon berkata, penarikan diri itu akan menyebabkan banyak kekeliruan, sama ada serta merta atau selepas setahun.
Edmund Bon berkata ini pertama kali sebuah negara cepat-cepat meninggalkan statut itu selepas menandatanganinya.

Beliau berkata apabila Filipina membuat keputusan menarik diri daripada statut itu, ia hanya berkuat kuasa setahun kemudian.

Bon berkata ini pertama kali sebuah negara cepat-cepat meninggalkan statut itu selepas menandatanganinya.

Beliau berkata mengikut Perkara 127 Statut Rom, ia mengikat selama 1 tahun bermula Jun tahun ini.

Bon berkata kalau ada tempoh tenggang 1 tahun, Malaysia boleh membuat aduan mengenai isu Rohingya, Uighur, MH17 ditembak jatuh, Palestin dan Yaman.

“Kalau jenayah dilakukan dalam tempoh 1 tahun itu, Malaysia boleh membawa kes ke ICC.”

Pengkritik perjanjian itu berkata menandatanganinya melanggar Perlembagaan Persekutuan kerana ia akan memberi kesan pada raja-raja Melayu, hak Melayu dan kesucian Islam.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-