Tuesday, July 16, 2019

Nazri: Tak salah jika saya sokong Anwar

Shakira Buang 
Diterbitkan Hari ini 4:42 petang


Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz menganggap Presiden PKR, Anwar Ibrahim seorang reformis negara dan tidak teragak-agak untuk memberikan sokongan kepadanya.

Malah, Nazri berkata bukan perkara pelik sekiranya beliau memberi sokongan kepada Anwar memandangkan bekas timbalan perdana menteri itu pernah memimpinnya sewaktu dalam sayap Pemuda Umno.

"Anwar adalah Reformis. Saya sokong Anwar, takkanlah dalam Umno tidak boleh sokong beliau. Beliau adalah ketua Pemuda (Umno) saya dahulu. Tidak ada salahnya, memandangkan saya tetap bersama Umno,” katanya.

Kenyataan itu hadir ketika Nazri dilihat lantang mempertikaikan keputusan BN melantik bekas perdana menteri, Najib Razak yang berdepan tuduhan di mahkamah sebagai pengerusi Lembaga Penasihat BN.

Nazri berkata, bekas perdana menteri itu sudah diberikan peluang dua kali untuk mengetuai Umno dan BN, namun akhirnya gagal dan menyaksikan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan dalam pilihan raya umum lalu.

Kritikan Nazri itu menyebabkan terdapat pihak tertentu di dalam Umno yang mencadangkan bekas menteri pelancongan itu dipecat dari parti.

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa pula berpandangan tidak ada keperluan untuk Umno mengambil tindakan terhadap NAzri.

Mengulas lanjut, Nazri berkata, sokongan terhadap Anwar boleh dibuat menerusi hasil mesyuarat kaukus reformasi dan tadbir urus yang dipengerusikan sendiri oleh Anwar.

“Kita hendak buat yang terbaik buat Malaysia, saya ada pengalaman sebagai menteri, pernah jaga parlimen dan saya hendak buat yang terbaik.

“Dengan jadi ahli kaukus saya boleh sokong (Anwar), kalau tidak sokong Anwar, takkanlah saya masuk kaukus Parlimen ini,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen hari ini berkata tiada perbincangan mengenai penyertaan Nazri dalam PH, kerana menurutnya, orang ramai sedia maklum Nazri merupakan penyokong tegar Umno.

“Bila dia kata hendak masuk PKR, dia bincang dengan saya sepatah pun tidak. Tidak pernah sebut bab itu. Tidak ada sebut, dia kata dia Umno tegar. Saya tidak pernah pelawa sesiapa,” katanya.

Manakala diminta mengulas pelawaan agar PAS menyertai gabungan kerajaan, Anwar berkata beliau tidak pernahmembuat pelawaan itu.

"Saya tidak pelawa sesiapa,” katanya ringkas.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-