Tuesday, July 16, 2019

‘Tentu Dr M tak mahu dikenang sebagai pemecah Melayu’

Oleh Athirah Huda Zalhe
tyrazalhe 16/07/2019

Bagaimana merawat perasaan orang Melayu yang telah dihina Tun?


BANGI, 13 Zulkaedah 1440H, Selasa – Sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengejutkan negara berpelukan dengan seterunya, Lim Kit Siang, tidak mustahil perdana menteri membuat satu lagi kejutan, kembali ke tempat asal dan meninggalkan musuh ketatnya, demi menyatukan orang Melayu.

Bercakap perkara itu, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya mengakui Dr Mahathir Mohamad sebenarnya mampu membentuk semula perpaduan dalam kalangan orang Melayu.

Beliau berkata, di usia 94 tahun, sudah pasti Dr Mahathir tidak mahu nama beliau dicatatkan dalam sejarah sebagai ‘pemecah bangsa Melayu’.

“Orang Melayu tidak akan mengampunkan beliau jika beliau pergi dalam keadaan nasib orang Melayu dihina dan dikeji bangsa lain.

“Jika ini berlaku, saya yakin 1,000 tahun lagi anak cucu orang Melayu akan terus mencemuh beliau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Dr Mahathir mempelawa semua parti politik Melayu, termasuk UMNO, untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menguatkan kuasa politik orang Melayu.

Dr Mahathir berkata, banyaknya parti politik Melayu menyebabkan potensi untuk mereka menang dalam pilihan raya semakin tipis.

Mengulas seruan Dr Mahathir itu, Aminuddin berkata, sebagai rakyat khususnya orang Melayu, pelawaan untuk perpaduan pemimpin-pemimpin Melayu sememangnya menjadi doa dan harapan mereka setiap hari.

“Orang Melayu sudah muak melihat perpecahan yang berlaku. Kebimbangan bahawa hak mereka dan agama Islam akan terhakis kini menjadi kenyataan. Sedikit demi sedikit keistimewaan orang Melayu dan kedaulatan agama Islam mula dirobek-robek.

“Orang Melayu tidak lagi sanggup menunggu lagi empat tahun untuk mengundi kembali kerana dalam empat tahun lagi seribu satu macam perkara boleh berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, Aminuddin mempersoalkan keihklasan Dr Mahathir dalam menyatukan kuasa politik Melayu, sedangkan beliau sendiri yang memecahkannya dengan membentuk Bersatu.

“Jika semua parti Melayu (UMNO, PAS dan Bersatu) bergabung dalam satu gabungan baru, apa akan jadi pada PH? Bolehkah PKR dan DAP menerimanya?

“Saya tidak ada jawapan kepada persoalan-persoalan ini. Sukar untuk kita menjangkakan apa yang sedang difikirkan oleh Tun,” katanya.

Aminuddin berkata, bukanlah perkara mengaibkan atau salah untuk pemimpin-pemimpin Melayu duduk semeja dan berfikir secara mendalam seruan Dr Mahathir itu.

“Sudah pasti di sana ada keburukan dan kebaikannya yang harus ditimbangi. Ada liku-liku yang harus ditempuhi terutama dalam meyakinkan rakyat bahawa ia akan membawa kebaikan kepada Melayu dan Islam.

“Bagaimana merawat perasaan orang Melayu yang telah dihina dan dilekehkan oleh Tun sebelum ini? Apakah gurisan ini mampu ditampung atau darahnya akan terus menitis dijiwa dan sanubari orang Melayu?,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-