Tuesday, July 16, 2019

Jangan munafik, kata Azmin pada Shamsul

M Fakhrull Halim
Diterbitkan Hari ini 8:00 malam


Pergeseran dalaman PKR terus menyaksikan pertembungan antara pemimpinnya, dengan yang terbaru, Mohamed Azmin Ali mengingatkan Shamsul Iskandar Md Akin agar tidak menjadi "munafik".

“Jangan jadi munafik,” kata Azmin ringkas diiringi ketawa kecil.

Azmin yang merupakan timbalan presiden PKR berkata demikian selepas ditanya pemberita berhubung cadangan Shamsul agar pemimpin politik yang dikaitkan dengan tuduhan salah laku supaya bercuti.

Azmin kemudiannya berlalu pergi meninggalkan lobi parlimen tanpa mengulas lanjut berkenaan hal tersebut.

Dalam kenyataan media sebelum itu, Shamsul yang merupakan ketua penerangan PKR menggesa pemimpin politik yang dikaitkan dengan salah laku supaya bercuti sementara daripada menjalankan tugas rasmi sehingga siasatan ke atas mereka selesai sepenuhnya.

Meskipun tidak menyebut secara langsung, kenyataaan Shamsul itu dipercayai merujuk kepada Azmin yang dikaitkan dengan video seks sejenis bersama bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

“Contohnya, jika seseorang pegawai kerajaan berhadapan siasatan pihak berkuasa, beliau akan dilepaskan daripada tugas hakiki buat sementara waktu dan jika didakwa di mahkamah, beliau akan digantung tugasan serta merta.

“[...] Saya menyeru agar pemimpin-pemimpin yang didakwa terlibat dengan salah laku agar bercuti secara sukarela bagi memberi laluan kepada siasatan dijalankan secara sepenuhnya,” kata Shamsul dalam kenyataan itu.

Jangan bersembunyi di belakang PM

Tambah Shamsul, tindakan itu penting bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas dengan bebas dan adil.

"...serta menunjukkan kepada masyarakat bahawa pemimpin-pemimpin ini tidak cuba berselindung di sebalik jawatan tinggi, kedudukan di dalam parti apatah lagi di belakang perdana menteri sebagai perisai pertahanan mereka," katanya.

Shamsul juga menegaskan bahawa jasa bakti serta kedudukan seseorang itu tidak boleh mengaburi kedaulatan undang-undang.

"Undang-undang harus 'buta' dari ketidakadilan apatah lagi memilih bulu.

"Atas sebab-sebab tersebut serta bagi memastikan integriti pihak PDRM dan SPRM sentiasa terpelihara, sudah tiba masanya untuk anggota pentadbiran untuk berpegang kepada prinsip yang dilaungkan mereka," katanya.

Azmin dikaitkan skandal seks sejenis dengan Haziq setelah beberapa rakaman video seks yang didakwa mirip wajahnya tersebar sejak sebulan lalu.

Haziq mengaku merupakan individu dalam video tersebut manakala Azmin menafikan dirinya terlibat dan mendakwa ia adalah komplot untuk memusnahkan karier politiknya.

Semalam, Haziq bersama lima orang lagi direman bagi membantu siasatan kes video seks tersebut.

Keenam-enam mereka direman bagi membantu siasatan bawah Seksyen 292A Kanun Keseksaan, berkaitan pengedaran bahan lucah yang jika sabit kesalahan boleh dihukum sehingga tiga tahun penjara, denda atau kedua-duanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-