Buy Muslim Produck First

Buy Muslim Produck First
Barangan Muslim pasti halal

Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Monday, September 23, 2019

Penggadaian perjuangan PAS

Zairil Khir Johari
Diterbitkan Hari ini 11:50 tengahari


ULASAN l Seminggu yang lalu, kita telah menyaksikan pemeteraian kerjasama politik secara formal antara dua parti pembangkang terbesar di negara ini, iaitu PAS dan Umno.

Sebagai tanda komitmen mereka terhadap gabungan ini, Presiden PAS Abdul Hadi Awang telah mengisytiharkan bahawa partinya tidak akan bertanding melawan Barisan Nasional BN) pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pula menyuarakan harapannya bahawa penyatuan ini “tidak terputus di tengah jalan” dan “hendaklah dipupuk, disubur dan dipertahankan untuk selama-lamanya”.
Namun adakah gabungan ini benar-benar boleh berjaya memandangkan kedua-dua parti ini merupakan musuh sengit yang telah saling bertentangan selama enam dekad?

Muafakat perkauman berasaskan fitnah

Tampaknya jelas kerjasama antara PAS dan Umno ini bertujuan untuk menghimpunkan sokongan orang Melayu semata-mata bagi menentang Pakatan Harapan (PH) yang kini menjadi parti pemerintah.

Mereka tidak berminat untuk memupuk sokongan rakyat Malaysia yang lebih inklusif dengan menawarkan agenda pembangunan yang lebih baik kepada negara ini. Sebaliknya, sentimen perkauman berasaskan fitnah yang menjadi modal mereka.

Contohnya sentimen yang cuba dibangkitkan melalui dakwaan Naib Presiden Umno Ismail Sabri bahawa pengurusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) termasuk pensijilan halal kini terletak di bawah seliaan Kementerian Kewangan yang dipimpin oleh seorang menteri DAP yang berketurunan Cina.
Sebagai seorang mantan menteri, Ismail tentunya sedar bahawa kenyataannya itu tidak benar dan langsung tidak logik, namun begitulah tahap terdesaknya mereka.

Terbaru, Hadi membuat tuduhan melulu terhadap DAP sebagai kuasa “paling besar” dalam Kerajaan Persekutuan PH yang ingin “mengumpul kekayaan untuk orang Cina sahaja, bukan untuk semua”.

Kesanggupan PAS dan Umno untuk menabur fitnah demi mengapi-apikan sentimen orang Melayu jelas membuktikan bahawa penjalinan kerjasama ini adalah cubaan terdesak untuk menghidupkan kembali kerelevenan politik kedua-dua parti itu dan bukanlah untuk kemaslahatan mana-mana bangsa atau rakyat Malaysia secara amnya.

Musuh tradisi dengan sejarah pahit

Hakikatnya, PAS dan Umno merupakan musuh tradisi yang bersaing untuk demografi pengundi yang sama. Di mana Umno bertanding di situ PAS akan beradu, dan sebaliknya. Malah, walaupun kedua-dua parti ini sudah mewujudkan kesefahaman sejak sebelum pilihan raya umum yang terakhir lagi, merekah masih bertembung di hampir kesemua kerusi yang ditandingi.
Apakah selepas ini mereka akan dengan tiba-tibanya bersetuju bukan sahaja untuk berkempen bersama tetapi juga untuk mengagihkan kerusi secara adil antara kedua-dua parti?

Bagaimana pula dengan penerimaan ahli akar umbi masing-masing yang harus dikorbankan demi cita-cita politik pemimpin?

Gabungan antara PAS dan Umno ini bukanlah kali pertama mereka bekerjasama secara rasmi. Pada awal tahun 1970an, PAS di bawah kepimpinan Asri Muda telah membuat keputusan untuk menyertai gabungan BN yang baru diwujudkan ekoran keputusan Pilihan Raya Umum tahun 1969 yang kurang memberangsangkan bagi Kerajaan Perikatan.

Namun keahlian PAS dalam BN hanya mampu bertahan satu pilihan raya sahaja. Walaupun berjaya mewujudkan kerajaan gabungan bersama Umno di negeri Kelantan pada Pilihan Raya Umum 1974, pertelagahan politik antara PAS dan Umno di negeri itu telah mengakibatkan pengisytiharan darurat dan akhirnya pengambilalihan kuasa oleh Kerajaan Persekutuan.
Setelah menyedari bahawa mereka telah ditikam belakang, PAS bertindak menarik diri daripada BN pada tahun 1977. Namun ia sudah terlambat dan natijahnya PAS mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum 1978, termasuk di Kelantan. Sejak dari itu, PAS dan Umno kekal bermusuhan sehinggalah terbentuk Piagam Muafakat Nasional ini.

Apakah PAS tidak ingat atau berpura-pura lupa akan sejarah dan pengalaman pahit antara mereka dan Umno? Apakah PAS sedar bahawa Umno hanya mempergunakan mereka apabila Umno lemah? Apakah yang menyebabkan PAS merasakan Umno tidak akan mengulangi strategi yang sama setelah mereka berjaya kuat kembali?

Penggadaian prinsip

Akhir sekali, PAS yang bergelar sebagai parti yang menegakkan keluhuran nilai-nilai Islam dilihat tergamak untuk menggadai prinsip-prinsip kebenaran dan keadilan dengan persekongkolan mereka dengan Umno serta pemimpinnya seperti Najib Razak yang masih memegang jawatan sebagai pengerusi lembaga penasihat BN.

Bagaimanakah boleh PAS bekerjasama dengan parti dan pemimpin yang bukan sahaja telah melakukan banyak kerosakan terhadap Malaysia, malah terhadap institusi Melayu-Islam di negara ini?
Sebagai sebuah parti yang sepatutnya memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam, apakah mereka boleh memaafkan pengkhianatan Umno yang telah mengakibatkan kerugian berbilion ringgit kepada Lembaga Tabung Haji, Felda dan juga MARA yang akhirnya akan ditanggung oleh orang Melayu dan Islam di seluruh negara?

Jika PAS dengan mudahnya dapat menolak ke tepi semua salah laku Umno demi mengejar kuasa semata-mata, maka Piagam Muafakat Nasional ini adalah penggadaian besar perjuangan PAS.

Tidak hairanlah sekiranya sejarah akan berulang pada masa depan.

ZAIRIL KHIR JOHARI adalah Adun Tanjong Bunga dan juga penolong setiausaha publisiti kebangsaan DAP dan naib pengerusi DAP Pulau Pinang.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-