Tuesday, October 22, 2019

Saifuddin: Bukti konkrit akan didedah, Hisham tahu apa beliau ‘lakukan’

FMT Reporters
-October 21, 2019 11:20 PM
Saifuddin Nasution berkata bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein tahu sepenuhnya tentang apa yang beliau telah mulakan.

PETALING JAYA: Bukti konkrit mengenai percubaan untuk menukar kerajaan Pakatan Harapan (PH), tanpa DAP dan Amanah, akan didedahkan pada masa yang sesuai kelak, kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail hari ini.

Saifuddin berkata bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein yang menjadi perhatian sejak minggu lalu juga tahu sepenuhnya tentang apa yang beliau telah mulakan.

“Apabila tiba masa nanti, kami akan dedahkan apa yang kita ada,” kata beliau kepada pemberita di Shah Alam, lapor Star Online.

“Hishammuddin tahu apa yang telah beliau lakukan. Dan, saya berhenti di sana (buat masa sekarang),” kata Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Ketika ditemui di bangunan Parlimen petang tadi, Hishammuddin berkata, kritikan dan sikap diperlihatkan pemimpin PH berhubung dakwaan peralihan kerajaan tanpa DAP dan Amanah membuktikan pemimpinnya takut dengan bayang-bayang sendiri.

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, kenyataan pemimpin PH berhubung isu berkenaan adalah tidak masuk akal memandangkan ia hanya satu spekulasi yang sehingga kini masih belum dibuktikan kesahihan.

“Saya tidak memegang sebarang kedudukan. Jika ada bukti, sila tunjukkan dan apa yang saya boleh lakukan. Sekali lagi ini adalah satu spekulasi. Saya boleh rasakan, mereka ketika ini berasa tidak selamat, takut dengan bayang-bayang sendiri.

“Apabila dia (PH) takut dengan bayangan sebdiri, selalunya mereka akan tuduh orang lain. Dia tidak cermin dirinya sendiri. Maka saya yang menjadi mangsa,” kata beliau.

Isu mengaitkan Hishammuddin muncul semasa Presiden PKR, Anwar Ibrahim membangkitkan nama “Sembrong”, yang merujuk kepada pemimpin Umno itu, semasa membahaskan Belanjawan 2020.

Susulan itu, Majlis Setiausaha PH menggesa Hishammuddin menghentikan kempen beliau cuba mengetengahkan idea kerajaan baru tanpa DAP dan Amanah.

Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Abdullah berkata, kecenderungan kepada politik dan pentadbiran berasaskan kaum adalah “politik usang” yang bercanggah sama sekali dengan politik “inklusif” dipelopori PH.

Gesaan membidas Hishammuddin itu ditandatangani bersama empat setiausaha agung dan setiausaha organisasi komponen PH iaitu Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Marzuki Yahya (PPBM), Anuar Tahir (Amanah) dan Anthony Loke (DAP).

Dua hari lalu Saifuddin menegaskan PKR mempunyai bukti yang menunjukkan terdapat percubaan untuk mensabotaj.

Saifuddin juga menafikan ada isu antara parti-parti di PH.

“Tidak ada masalah sama sekali. PH adalah utuh dan kerajaan berfungsi,” kata Saifuddin, hari ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-