Tuesday, October 22, 2019

Nasharudin mengaku tak bersalah



Bekas timbalan presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, hari ini mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas didakwa dengan 33 tuduhan di Mahkamah Masjitret Shah Alam.

Nasharudin yang sebelum ini pernah menjadi anggota parlimen sebanyak dua kali dituduh melakukan tiga pengubahan wang haram, serta 30 kesalahan pecah amanah.

Jumlah wang yang terlibat bagi semua pertuduhan tersebut hampir mencecah nilai RM4 juta.

Untuk tuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, beliau didakwa menyalurkan dana Kementerian Kewangan - sebanyak RM302,069.60 - untuk Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) kepada tiga penerima lain melalui akaun syarikat miliknya, Wasatiyyah Centre For Peace Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Nasharudin pada Nov dan Dis 2018, iaitu kira-kira tiga bulan selepas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, mengarahkan operasi GMM ditamatkan.

Nasharudin dilantik sebagai pengerusi eksekutif GMM pada 28 Okt 2015 sehinggalah operasi organisasi itu ditamatkan pada 31 Jul 2018.

Sementara itu 30 tuduhan pecah amanah dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Tuduhan itu didakwa dilakukan Nasharudin di antara 2015 dan 2018. Ia membabitkan dana sebanyak RM3,721,683.80 yang dikaitkan dengan kedudukan beliau sebagai pengerusi Yayasan Nassar.

Pertuduhan itu dibacakan pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Allan Suman Pillai dan Mohd Zaki Mohd Salleh di depan hakim Rozilah Salleh.

[Berita lanjut menyusul]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-