Tuesday, November 19, 2019

Hisham: Bukan saya rancang pertemuan di rumah Azmin

BERITA

Bekas Naib Presiden Umno Hishammuddin Hussein menafikan dakwaan bahawa beliau merancang pertemuan antara Ahli Parlimen pembangkang di kediaman Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali di Putrajaya malam tadi.

"Tuduhan yang saya mengetuai pertemuan antara Azmin Ali dan Ahli Parlimen pembangkang semalam tidak benar sama sekali.

"Bukan saya yang rancang pertemuan tersebut. Namun, jika lembaga disiplin Umno nak siasat saya, saya sedia disiasat. Tiada apa saya hendak sembunyikan," katanya menerusi laman Twitter.

Hishammuddin mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam untuk membuat laporan dengan Lembaga Disiplin selepas berita pertemuan itu tersebar.

Malam tadi sekurang-kurangnya 22 anggota parlimen BN dan lima daripada PKR dilapor berada di kediaman rasmi Azmin di Presint 10, Putrajaya.

Lokman mendakwa Hishammuddin bertindak sebagai "orang tengah" untuk membawa masuk anggota parlimen Umno bagi menyertai Bersatu yang dipimpin Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Mohamed Apandi Ali dalam satu kenyataan berkata lembaga itu menjangka menerima aduan mengenai pertemuan berkenaan.

"Lembaga Disiplin akan segera mengambil tindakan dengan menyiasat perkara itu mengikut prosedur sedia ada dan membuat keputusan sewajarnya.

"Perlu ditegaskan Lembaga Displin parti diberi amanah dan tanggungjawab oleh parti dengan kuasa-kuasa tertentu di bawah perlembagaan Umno dan akan menjalankan tanggungjawab secara tegas, jujur dan saksama “Without Fear or favour"," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-