-January 5, 2020 4:09 PM
Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, pihak yang menentang pengenalan tulisan Jawi di sekolah sebagai keterlaluan sehingga menyentuh perasaan orang Melayu.
SERDANG: Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan tulisan Jawi tidak sepatutnya dijadikan isu sehingga menggugat perpaduan rakyat di negara ini.
Presiden PKR itu pada masa sama turut menyifatkan mereka yang menentang pengenalan tulisan Jawi di sekolah sebagai keterlaluan sehingga menyentuh perasaan orang Melayu.
“Ia (tulisan Jawi) adalah khazanah, kadang-kadang yang menentang itu pun agak keterlaluan menyentuh perasaan orang Melayu, seolah-olah Jawi sudah kuno. Sangskrit kuno, tapi orang masih belajar. Latin kuno, tapi dalam banyak ilmu masih perlu dikuasai.
“(Belajar tulisan Jawi) bukan untuk dikuasai sehingga menjadi tulisan kebangsaan, tapi untuk kita ketahui, harus ada,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penghargaan murid cemerlang UPSR sekolah Tamil Selangor di Serdang hari ini.
Anwar berkata, pengajaran tulisan Jawi di sekolah yang hangat diperkatakan itu hanyalah pengenalan asas tulisan itu dan tidak lebih daripada itu.
“Saya tidak fikir bahasa Melayu itu tidak dapat dikuasai tanpa sedikit pengetahuan tentang asalnya. Ini khazanah bahasa kebangsaan, bukan hanya satu serpihan.
“Yang diperkenalkan itu (tulisan Jawi) juga tidaklah sehingga satu bab. Hanya 2, 3 halaman untuk sekadar kenal. Saya tidak fikir itu jadi masalah.
“Sekadar nak bagi pandangan setuju atau tidak setuju itu tidak mengapa, tapi tidak perlu hangatkan. Kalau kita hangatkan, ia digambarkan seperti menghina sejarah khazanah bahasa dan orang Melayu. Ini tidak sihat,”katanya.
Anwar berkata, isu perbezaan pendapat tentang penggunaan tulisan Jawi boleh diselesaikan dengan dialog, bukannya berkeras menunjukkan siapa ingin juara.
“Kalau boleh dileraikan diadakan dialog jangan tunjuk kekuatan. Kalau kita nak tunjuk kekuatan, ada tindak balasnya.
“Jika ini yang berlaku, negara rugi sebab sepatutnya negara bicara soal mutu pendidikan. Persaingan berlaku dalam konteks ekonomi dunia dan keperluan kita kuasai bidang pendidikan,” katanya.
Pengenalan tulisan Jawi dalam 3 halaman buku teks Bahasa Malaysia untuk pelajar Tahun Empat mendapat bantahan, antaranya daripada kumpulan pendidikan Cina, Dong Zong dan Jiao Zong.
Kumpulan berkenaan pada mulanya merancang untuk mengadakan kongres berhubung tulisan Jawi bagi menyatakan bantahan berkenaan, bagaimanapun dibatalkan selepas polis berjaya mendapat perintah mahkamah menghalangnya atas sebab keselamatan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.