Sunday, January 12, 2020

Rehatkan ‘kuda tua’ Karim, Najib beritahu pengundi Kimanis

Jason Santos dan Durie Rainer Fong
-January 12, 2020 9:04 AM
Bekas perdana menteri Najib Razak menyampaikan ceramah di kampung Pimping, Kimanis, malam tadi.

KIMANIS: Najib Razak mengkritik calon Warisan bagi pilihan raya kecil (PRK) Kimanis, Karim Bujang malam tadi, dengan bertanya apakah yang telah dilakukan oleh bekas Adun Bongawan selama 5 penggal itu untuk pengundi.

Najib menyifatkan Karim sebagai “kuda tua” yang tidak lagi mampu berbuat apa-apa, menyebabkan kira-kira 500 khalayak yang menghadiri ceramah di Kampung Pimping di sini ketawa.

“Calon Warisan kuda tua. Jika ia kuda tua, ia harus ‘disembelih’.

“Dia wakil rakyat selama 5 penggal. Apa yang dia buat?,” soal bekas perdana menteri itu.

Karim, 67, merupakan Adun Bongawan dari 1990 hingga 2013 semasa beliau masih bersama Umno. Beliau berdepan calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Alamin, dalam PRK KImanis Sabtu depan.

Najib berkata, Kimanis memerlukan pemimpin lebih muda dan calon Umno, Mohamad, yang berusia 48 tahun boleh menjadi suara penduduk serta BN di Parlimen.

Beliau berkata, kemenangan BN dalam PRK Kimanis akan membuktikan bahawa Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum ke-14 kerana “penipuan dan fitnah”.

Bekas presiden Umno itu juga berkata, pemimpin BN tidak pernah cuba mencuri hak Sabah, dengan menambah bahawa beliau bertanggungjawab memperkenalkan dasar yang menghendaki sekurang-kurangnya 90% guru sekolah di Sabah mestilah merupakan rakyat negeri itu.

Katanya, beliau merupakan perdana menteri pertama yang berusaha mengambalikan hak Sabah, bukan Dr Mahathir Mohamad, yang pernah memegang jawatan itu selama 22 tahun sebelum ini.

“Kita juga memulakan perbincangan mengenai Perjanjian Malaysia, tetapi malangnya kita tidak dapat memulakan proses itu. Bagaimanapun memang menjadi niat kerajaan BN untuk memberikannya (hak Sabah),” katanya.

Najib juga berjanji untuk menamatkan program Pas Sementara Sabah (PSS) sekiranya BN berjaya menawan semula Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-15 akan datang.

Dalam pada itu, pengerusi Umno Sabah, Bung Mokhtar Radin menegaskan PSS tidak dimulakan oleh BN dengan berkata, Warisan-PH beria-ria mahu menyalahkan BN sehingga mereka “mendorong Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin supaya berbohong”.

“Ia satu penipuan untuk menutup kesilapan mereka,” katanya.

Beliau berkata, rancangan PSS tidak pun melepasi tahap perbincangan jawatankuasa teknikal Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai Pendatang Tanpa Izin.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-