Wednesday, February 26, 2020

Apa salah terima kerajaan campuran sementara tunggu PRU-15?



MASIH bergolak. Itu suasana politik semasa tanah air ketika ini. Sehingga kini, belum ada kata sepakat diputuskan bagi menamatkan huru-hara politik yang tercetus sejak beberapa hari lalu.

Mesyuarat demi mesyuarat terus berlangsung. Masing-masing mungkin dengan agenda sendiri. Hakikatnya, tidak sukar untuk membuat keputusan sekiranya kepentingan rakyat yang diutamakan.

Malangnya apa yang tergambar adalah setiap parti politik mahu pelbagai kehendak mereka dipenuhi.

Hal rakyat hanya sebagai alasan untuk mereka menghalalkan cara. Perlu diingat kita kini berada di tahun 2020.

Usaha parti-parti politik pembangkang mahu menyerahkan mandat kepada rakyat supaya diadakan pilihan raya umum semula secara dasarnya memang langkah baik.

Kita faham, mandat yang diterima daripada rakyat wajar diserahkan kembali kepada rakyat.

Namun, keadaan ekonomi semasa yang terjejas teruk, memungkinkan perkara tersebut sukar dilakukan. Untuk mengadakan pilihan raya umum memerlukan perbelanjaan yang sangat besar.

Bukan satu atau dua juta ringgit tetapi beratus juta ringgit. Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sahaja memakan kos RM500 juta. Itu angka rasmi dikeluarkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya, yang tidak rasmi, mungkin lebih besar.

Dalam situasi sekarang, wang itu lebih bermanfaat digunakan untuk kebajikan rakyat – bukan memuaskan hati pemimpin-pemimpin politik. Lagi pun, PRU-15 hanya dua atau tiga tahun lagi.

Sekiranya cadangan awal Tun Dr. Mahathir Mohamad (seperti digembar-gemburkan) mahu mewujudkan kerajaan campuran atau diistilahkan sebagai Perikatan Nasional diterima, ini dapat mengimbangi tindakan-tindakan pentadbiran yang selama ini menimbulkan kemarahan rakyat.

Menerima kemasukan parti-parti pembangkang dalam kerajaan sedia ada, diyakini dapat membantu kerajaan melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

Malaysia ketika dipimpin Dr. Mahathir sebelum ini, telah terbukti mampu melepasi cabaran ekonomi. Di kala dunia hilang punca, beliau bekerja dan menyelesaikan kekusutan itu dengan baik.

Kini, negara berdepan dengan masalah yang sama. Tiada ruginya membiarkan beliau sekali lagi mengemudi negara untuk mengharungi liku-liku yang kita percaya beliau mempunyai jawapannya.

Kita juga percaya Dr. Mahathir benar-benar mahu menyelamatkan Malaysia. Jika tidak, beliau boleh sahaja mengekalkan jawatan dengan Kabinet sedia ada. Mungkin juga benar, halangan-halangan dalaman mendorong beliau membuka laluan kepada kerjasama parti-parti lain untuk membantu.

Mengambil kira kemungkinan-kemungkinan ini, janganlah dibiarkan beliau bersendirian.

Kewujudan Perikatan Nasional juga bukan muktamat kepada persoalan ini. Parti-parti gabungan boleh sahaja dihadkan kerjasamanya sementara menunggu PRU-15.

Bermakna, dalam tempoh itu, kerjasama atau muafakat yang terjalin hanya membabitkan dasar tanggungjawab mentadbir urus negara – membantu rakyat melepasi fasa sukar ekonomi semasa.

Bagi rakyat kebanyakan, mereka sebenarnya tidak kisah siapa yang menjadi pemerintah. Selagi keadilan dapat ditegakkan, letak lah parti apa pun, rakyat dapat menerimanya.

Kekalahan Barisan Nasional (BN) dan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14 telah membuktikan perkara ini. Namun, jangan dikhianati kepercayaan yang diberi.

Jika Dr. Mahathir memilih meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri untuk mengajak parti-parti lain ke arah menyelamatkan negara, ini lah masanya harapan itu disambut dengan hati terbuka.

Ketepikan sementara ego diri. Kerana sebagai Perdana Menteri interim, Dr. Mahathir masih mempunyai kuasa prerogatif dalam menentukan barisan Kabinet dalam kerajaan pimpinannya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-