Thursday, March 5, 2020

Penganalisis: Strategi Dr M, PH masih di peringkat awal


BERITA

Penganalisis politik, Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata masih terlalu awal untuk menjangka strategi Dr Mahathir Mohamad dan sekutunya susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) minggu lalu.

Katanya, apa yang boleh dilihat kini, Dr Mahathir bersama PH cuba melancarkan serangan balas terhadap Perikatan Nasional yang diketuai perdana menteri, Muhyiddin Yassin dengan meraih sokongan akar umbi dan rakyat.

“Tun (Dr Mahathir) dan sekutu sekarang tengah melancarkan serangan balas iaitu dengan menyatakan kerajaan sekarang adalah kerajaan minoriti dan merosakkan integriti.

“Mereka turut menjelaskan cerita sebenar punca kemelut berlaku waktu mesyuarat Majlis Presiden PH seperti di ceramah umum untuk raih sokongan (rakyat dan ahli parti).

“Masih di peringkat awal, kita tak dapat nak lihat hasilnya,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Kerajaan PH tumbang susulan tindakan beberapa parti politik, termasuk Bersatu yang diketuai Muhyiddin Yassin dan sekumpulan anggota parlimen dari PKR diketuai Azmin Ali berkumpul di hotel Sheraton pada Ahad, 23 Feb lalu.

Perkara itu berlaku dua hari selepas mesyuarat tertutup Majlis Presiden PH bagi membincangkan peralihan kuasa daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Berikutan pertemuan di hotel Sheraton itu, Dr Mahathir mengumumkan peletakan jawatannya sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu, manakala Bersatu pula membuat keputusan keluar dari PH.
Yang di-Pertuan Agong kemudian melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri sementara.

Dalam tempoh itu, Mahathir mengumumkan hasrat membentuk kerajaan merentasi parti, memaksa PH mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

Bagaimanapun PH mengubah semula keputusan dengan menamakan semula Mahathir sebagai calon perdana menteri mereka.

Bagi menyelesaikan krisis berkenaan, Agong memanggil semua anggota parlimen bagi menentukan siapakah calon perdana menteri yang mendapat sokongan majoriti anggota dewan.

Selepas seminggu pergolakan politik berlaku - dengan sokongan yang berubah-ubah dan kedua-dua pihak saling mendakwa memiliki majoriti - Yang di-Pertuan Agong akhirnya melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan.

Muhyiddin membentuk kerajaan baru dengan mendapat sokongan Umno, PAS, kumpulan Azmin yang keluar dari PKR dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Langkah Muhyiddin itu dianggap sebagai pengkhianatan oleh Dr Mahathir sehingga membawa kepada kejatuhan kerajaan PH dan kembalinya Umno menjadi kerajaan.

Muhyiddin selepas dilantik sebagai perdana menteri berkata beliau tidak mengidam jawatan berkenaan dan hanya mahu menyelamatkan keadaan ekoran krisis politik yang melanda negara.

Usul undi tak percaya harus dilakukan secara teliti

Sementara itu, Prof Kartini Aboo Thalib dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut menjelaskan usul undi tidak percaya harus dilaksanakan dengan penuh teliti jika PH mahu menjadi kerajaan semula.

“Rasanya jika PH masih mahu mengadakan undi tidak percaya, mereka harus atur strategi untuk pastikan mendapat undi yang mencukupi sementara dewan rakyat masih tunda.

“Kumpulkan betul MP (anggota parlimen) yang terlibat,” katanya.

Terdahulu, Anwar berkata usul tersebut akan dibawa oleh anggota parlimen PH dalam sidang Dewan Rakyat kelak, yang kini ditangguhkan sehingga Mei.

Tambahnya, PH bersepakat untuk kembali mencalonkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-