Sunday, May 17, 2020

Kronologi politik Kedah

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor melafazkan sumpah memegang jawatan Menteri Besar di hadapan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Menteri Besar Kedah yang ke-14 di Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah,Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini. - Foto BERNAMA

ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ke-14 hari ini, sekali gus menamatkan andaian dan teka-teki mengenai perubahan kerajaan negeri ini.

Perubahan pentadbiran kerajaan Kedah sebenarnya berkait rapat dengan kemelut politik negara pada Februari lalu yang menyaksikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) disusuli dengan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Susulan perkembangan itu, beberapa negeri iaitu Johor, Melaka dan Perak turut mengalami perubahan pentadbiran kerajaan dan Kedah yang ditadbir Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak terkecuali.
Muhammad Sanusi menandatangani selepas Mengangkat Sumpah Menyimpan Rahsia Kerajaan sebelum menerima Watikah Pelantikan Menteri Besar Kedah pada Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Menteri Besar Kedah yang ke-14 di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini. - Foto BERNAMA

Berikut kronologi politik Kedah bermula Februari lalu hingga hari ini.

*24 Februari: Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan parti itu keluar daripada PH.

*26 Februari: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir meminta supaya diberi masa, sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung politik di Kedah susulan kemelut politik negara.

*27 Februari: Mukhriz mengumumkan pembentukan kerajaan campuran antara PH dengan BERSATU di Kedah.

*3 Mac: Mukhriz yakin terus kekal menerajui pentadbiran kerajaan negeri sebagai Menteri Besar dan menjelaskan PH dan BERSATU mempunyai cukup kerusi DUN.

*4 Mac: Mukhriz bertekad mempertahankan Kedah, yang menjadi satu-satunya negeri diketuai Menteri Besar daripada BERSATU.

*6 Mei: PAS Kedah menyatakan keyakinan untuk mengambil alih pentadbiran negeri itu daripada kerajaan PH campur BERSATU yang dipimpin Mukhriz.

*12 Mei: Dua ADUN Kedah daripada PKR mengisytiharkan keluar parti untuk menjadi ADUN BEBAS, dan menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Mereka adalah ADUN Lunas Azman Nasrudin dan ADUN Sidam Dr Robert Ling Kui Ee.

*12 Mei: Ketua Pembangkang DUN Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan seramai 19 daripada 36 ADUN Kedah mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Mukhriz.

Muhammad Sanusi berkata mereka merangkumi 15 ADUN PAS, dua UMNO dan dua lagi ADUN PKR yang telah mengumumkan keluar parti.

Beliau mendakwa empat ADUN Bersatu juga menyatakan telah hilang kepercayaan kepada Mukhriz.

*13 Mei: Mukhriz dalam sidang media menegaskan beliau masih Menteri Besar Kedah dan kerajaan negeri pimpinannya beroperasi seperti biasa.

*13 Mei: Media melaporkan sebanyak 23 Akuan Bersumpah ADUN Kedah dipersembahkan kepada Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah oleh presiden UMNO, PAS dan BERSATU di Kuala Lumpur.

*15 Mei: Semua 36 ADUN Kedah menghadap Sultan Sallehuddin di pejabat baginda di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

*17 Mei: Mukhriz umum melepaskan jawatan Menteri Besar Kedah selepas hilang sokongan majoriti ADUN Kedah.

*17 Mei: ADUN Jeneri Muhammad Sanusi Md Nor mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ke-14 selepas pelantikannya diperkenan Sultan Kedah. 

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-