Saturday, May 9, 2020

Muhyiddin mungkin kalah, tetapi PH tidak akan menang, kata penganalisis

Robin Augustin
-May 9, 2020 10:19 PM
Penganalisis berkata, Umno dan PAS akan memenangi pilihan raya umum sekiranya Muhyiddin tumbang dalam undi tidak percaya.

PETALING JAYA: Umno dan PAS akan menang besar sekiranya Dr Mahathir Mohamad berjaya dalam usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Parlimen, kata 2 penganalisis politik.

“Pengundi Melayu tidak berpihak kepada Pakatan Harapan (PH) yang dilihat gagal memanfaatkan tempoh 22 bulan ketika ia bekuasa susulan perbalahan dalaman. Jadi jika ada undi tidak percaya, Muhyiddin mungkin kalah, tetapi PH tidak akan menang,” kata Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Sebaliknya, sekiranya usul undi tidak percaya itu gagal, maka ia menandakan berakhirnya kerjaya politik Mahathir yang panjang, katanya.

Azmi dan Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya bersetuju sekiranya perdana menteri hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat dan terpaksa mengadakan pilihan raya, 2 parti yang besar kemungkinan akan menang ialah Umno dan PAS yang akan bertanding sebagai satu pasukan.

“PPBM, yang tidak bersama PH, akan berdiri bersendirian, sementara PH tidak mempunyai parti Melayu,” kata mereka.

Mahathir mengemukakan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin apabila Parlimen bersidang pada 18 Mei ini.

Bagaimanapun usul ini dijangka tidak dibahaskan dan diundi kerana urusan kerajaan akan didahulukan mengatasi semua usul lain atau rang undang-undang persendirian.

Azmi berkata, tarikh paling awal usul itu boleh dibahaskan ialah pada Julai, tetapi “pada waktu itu Muhyiddin sudah pun mengukuhkan kedudukannya”.

Katanya, orang ramai tidak mahu pilihan raya umum diadakan sewaktu wabak Covid-19 masih menular dan menyaksikan kegiatan ekonomi hampir terhenti.

“Saya percaya Muhyiddin hampir pasti akan mendapat sokongan daripada Umno, PAS dan GPS” sekiranya usul itu diundi, katanya.

Awang Azman berkata, sebagai perdana menteri, Muhyiddin berada di kedudukan yang baik bagi memperkukuh sokongannya.

“Tetapi sekiranya usul Mahathir berjaya, Muhyiddin akan tewas kerana Umno dan PAS mungkin akan bersama-sama dengan parti komponen Barisan nasional (BN) dan parti lain, tanpa PPBM.

“Sukar bagi PH untuk menang pilihan raya umum, mereka tidak mendapat sokongan akar umbi orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya Muhyiddin boleh membuktikan beliau mendapat sokongan di Parlimen, maka ini bermakna beliau merupakan pemimpin dominan dalam PPBM dan boleh menjadi kelebihan besar dalam pemilihan parti itu.

Turut memburukkan keadaan bagi kumpulan penyokong Mahathir ialah ketidaktentuan politik di Kedah, di mana anak beliau, Mukhriz menjadi menteri besar.

Wujud spekulasi bahawa Mukhriz semakin kehilangan sokongan Adun PPBM di negeri itu selepas kebanyakan pemimpin negeri berkenaan memihak kepada Muhyiddin dalam usahanya membentuk gabungan politik baru dengan Umno dan PAS.

PAS menguasai 15 daripada 36 kerusi DUN di Kedah, sementara Umno mempunyai 2 kerusi. Terdapat 19 Adun yang bertanding atas tiket PH dalam pilihan raya umum 2018, iaitu 7 mewakili PKR, 6 PPBM, 4 Amanah dan 2 DAP.

Azmi berkata, jika Mukhriz dijatuhkan, maka ia akan memberi kesan ke atas pengaruh Mahathir dalam PPBM, tetapi ia bukanlah “pukulan maut”.

“Ia akan mempengaruhi individu atas pagar supaya menyokong Muhyiddin,” katanya.

Awang Azman berkata, jika Mukhriz digantikan sebagai menteri besar, maka ia akan menjadi “perisytiharan perang” oleh Muhyiddin terhadap Mahathir.

“Saya percaya cakap-cakap mengenai perubahan di Kedah bertujuan untuk menekan Mukhriz dan Mahathir, terutama menjelangnya pemilihan PPBM,” katanya.

Mukhriz bertanding jawatan presiden PPBM, sementara Mahathir tidak dicabar untuk jawatan pengerusi parti itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-