Saturday, May 2, 2020

Operasi buru pendatang tanpa izin sebahagian langkah Covid-19, kata KPN

Bernama
-May 2, 2020 7:58 AM

Pihak berkuasa menahan ratusan pendatang asing yang tinggal di kawasan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR: Polis akan melaksanakan operasi besar-besaran bersama agensi keselamatan dan penguatkuasaan lain bagi memburu pendatang tanpa izin ketika penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata operasi itu juga bertujuan membendung dan menyekat penularan Covid-19.

Beliau berkata, pendatang tanpa izin sukar dikesan jika dijangkiti Covid-19 kerana tidak mempunyai sebarang dokumen sah dan mampu menyebabkan penularan virus itu apabila mereka bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.

“Selagi PKP masih dilaksanakan, polis tidak akan membiarkan mana-mana pihak yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah bergerak bebas.

“Jadi, itulah tujuan utama Jabatan Imigresen melakukan operasi besar-besaran secara bersepadu bersama PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dibantu Kementerian Kesihatan (KKM) di beberapa lokasi di ibu negara,” katanya kepada Bernama semalam.

Beliau berkata, sukar untuk mengesan kontak mana-mana pendatang tanpa izin yang dijangkiti Covid-19 kerana tiada dokumen perjalanan sah dan pada masa sama mereka menyebarkan virus itu kepada orang lain yang seterusnya mampu mewujudkan kluster baru.

“Berbanding warga asing yang berada di negara ini secara sah, mereka ini mudah dikesan kerana pihak berkuasa mempunyai maklumat tentang lokasi kediaman serta tempat kerja, selain mengetahui butiran majikan mereka.”

Beliau berkata, jika pendatang tanpa izin ditahan, mereka akan dikumpulkan sekaligus memudahkan pihak berkuasa mengawal pergerakan mereka, selain menjaga mereka di satu lokasi yang ditetapkan sehinggalah PKP berakhir.

“Apabila tempoh PKP berakhir kelak, maka terpulang kepada kerajaan untuk memutuskan sama ada meneruskan tindakan susulan mengikut undang-undang yang ditetapkan Jabatan Imigresen atau mengusir mereka kembali ke negara asal melalui proses-proses yang ditetapkan.”

Semalam, Jabatan Imigresen dan agensi penguatkuasaan lain melakukan serbuan di sekitar Masjid India dan menahan ratusan pendatang tanpa izin yang tinggal di kawasan itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-